Tinjauan KKM : 16% Responden Tolak Vaksin, 17% Masih Tidak Pasti

Share it

” Sesungguhnya Allah telah menurunkan penyakit dan penawar, dan Dia telah menjadikan bagi tiap-tiap penyakit itu penawar, maka kamu semua berubatlah dan janganlah kamu semua berubat dengan ( perkara-perkara ) yang haram. “

Itu antara petikan hadis yang mungkin menjadi antara hujah penolakan vaksin terutamanya dalam kalangan mereka yang digelar anti-vaksin. Penolakan vaksin sudah lama di Malaysia bahkan pernah menjadi topik hangat beberapa tahun lalu berikutan kandungan vaksin serta kaedah pembiakan vaksin yang melibatkan janin dan sebagainya walaupun banyak fatwa dikeluarkan mengenai keharusan vaksin.

Di Malaysia, kajian terbaru oleh Kementerian Kesihatan Malaysia menunjukkan hanya 67% rakyat Malaysia bersetuju untuk menerima vaksin Covid-19. Manakala 16% tidak bersetuju untuk menerima vaksin berikutan keraguan mereka terhadap kesan serta bahan yang digunakan di dalam vaksin tersebut.

Sebanyak 17% pula tidak pasti sama ada ingin menerima ataupun tidak vaksin Covid-19. 83.2% responden di dalam kumpulan ini menyatakan mereka risau dengan kesan sampingan manakala 78% daripada mereka menyuarakan keraguan terhadap keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan Coronavirus.

Seramai 212,006 responden mengambil bahagian di dalam tinjauan ini.

Adakah angka ini representatif?

Jika angka ini representatif, ini bermaksud lebih 10.5 juta rakyat Malaysia berpotensi untuk menolak vaksin yang bakal diberikan kepada rakyat Malaysia bermula hujung Februari ini. Namun bagi pihak KKM, usaha lebih keras perlu diambil untuk memastikan 17% mereka yang berada di atas pagar ini bersetuju untuk menerima vaksin yang akan diberikan kelak.

Jika kumpulan ini dapat dipujuk, maka tahap penerimaan vaksin dalam kalangan rakyat Malaysia akan meningkat kepada 83%, satu angka yang baik bagi mencapai imuniti kelompok.

Persoalan sama ada golongan anti-vac ini lebih besar berbanding dapatan kajian KKM juga perlu diteliti. Hal ini kerana tinjauan yang dilakukan KKM dibuat secara atas talian dimana pandangan kelompok tanpa capaian internet mungkin diketepikan.

Vaksin Ringankan Beban Kesihatan, Tetapi Tidak Selesaikan Masalah

Israel telah memulakan langkah vaksinasi sejak penghujung Disember lalu dan sehingga kini, sebanyak 3.4 juta dos telah diberikan kepada rakyat mereka. Menurut analisis awal, kadar jangkitan selepas dua minggu adalah 33% lebih rendah buat warga emas yang menerima vaksin berbanding mereka yang tidak menerima.

Ini meringankan beban sistem kesihatan kerana golongan warga emas merupakan kumpulan yang paling risiko menerima kesan yang kritikal hasil dari jangkitan Covid.

Di Malaysia, vaksin dijangka diberikan bermula penghujung Februari ini dengan pekerja kesihatan akan menjadi kumpulan pertama yang menerima suntikan. Sebanyak satu juta dos akan diterima Malaysia dari syarikat Pfizer pada suku pertama manakala 1.7 juta dos lagi akan diterima pada suku kedua.

Sebanyak 5.8 juta dan 4.3 juta dos vaksin akan diterima pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia juga telah menandatangani perjanjian dengan Pharmaniaga dan Duopharma bagi mendapatkan bekalan vaksin dari Sinovac, Sputnik V dan AstraZeneca berjumlah 24.8 juta dos.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin menjelaskan jika anda seorang dewasa yang sihat berumur 60 tahun dan kebawah, kebarangkalian tinggi anda akan menerima vaksin tersebut selepas Oktober tahun ini.

Walaupun tahap keberkesanan yang tinggi dilaporkan melalui ujian klinikal vaksin ini. Namun ia bukan bermaksud rakyat Malaysia boleh menjalani kehidupan seperti sebelum Covid. Penggunaan pelitup muka serta penjarakkan fizikal masih diperlukan meskipun orang ramai telah menerima vaksin.

Negara pula perlu mengambil masa yang lama untuk mewujudkan imuniti kelompok. Menurut laporan The Economist, Malaysia hanya mencapai tahap vaksinasi sebanyak 60% daripada populasi pada suku kedua 2023. Ini bermaksud pemulihan ekonomi secara menyeluruh tidak akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.

Kehadiran vaksin mungkin menjadi satu-satunya jalan keluar dari krisis kesihatan ini dimana angka harian kini mencatatkan lebih 3,000 kes baru. Namun begitu, tiada siapa yang tahu bilakah proses vaksinasi akan menunjukkan hasil positif tatkala sistem kesihatan dan ekonomi kita semakin tenat hari demi hari.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *