Pandemik COVID-19 yang melanda dunia pada tahun 2020 telah meninggalkan kesan yang besar terhadap ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat. Ketika itu, pelbagai sekatan dan kawalan pergerakan dilaksana bagi membendung penularan virus tersebut.
Di Malaysia misalnya, hanya sektor ekonomi tertentu sahaja yang dibenarkan beroperasi mengikut SOP yang ketat. Di samping itu, pergerakan dalam negara turut terbatas mengikut lingkungan kawasan yang ditetapkan serta tujuan yang dibenarkan. Sempadan antarabangsa turut ditutup buat sementara waktu. Kesemua langkah ini telah memperlahankan momentum ekonomi, sekali gus menyebabkan banyak perniagaan yang terpaksa gulung tikar. Akibatnya, ramai yang dibuang kerja ataupun bergelut dengan pendapatan yang lebih rendah.
Ekonomi Semakin Pulih, Namun Tidak Semua Dapat Merasainya
Rangsangan ekonomi yang diberikan menerusi pelbagai suntikan fiskal serta pelaksanaan program vaksinasi secara besar-besaran sepanjang tempoh pandemik telah memberikan ruang kepada pemulihan ekonomi untuk berlaku. Meskipun ekonomi beransur pulih selepas surutnya penularan virus, tidak semua orang mampu menikmati taraf hidup yang lebih baik, ataupun sekurang-kurangnya dapat kembali menikmati taraf hidup yang sama seperti sebelum berlakunya krisis ini.

Baru-baru ini, UNICEF (Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dan UNFPA (Tabung Penduduk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) dengan kerjasama DM Analytics telah menghasilkan sebuah laporan komprehensif bertajuk “Ranjau Sepanjang Jalan” yang membincangkan mengenai impak pandemik COVID-19 terhadap kelangsungan hidup isi rumah berpendapatan rendah yang menetap di 16 buah perumahan awam kos rendah di sekitar Kuala Lumpur.
Kajian dijalankan dari 14 Oktober 2023 hingga 16 November 2023. Ia merupakan kesinambungan daripada projek Keluarga di Pinggiran (FOE) yang dijalankan semasa pandemik COVID-19. Gelombang kajian yang terbaharu ini melibatkan sampel seramai 755 isi rumah, dengan sebahagian daripadanya merupakan responden sama yang pernah menyertai kajian FOE sebelum ini.
Kajian ini mendedahkan beberapa penemuan yang agak membimbangkan, terutamanya membabitkan keperitan yang dihadapi kumpulan-kumpulan rentan seperti wanita, orang kurang upaya (OKU) dan kanak-kanak dalam mengharungi cabaran selepas pandemik COVID-19. Penemuan-penemuan ini menjadi bukti betapa rapuhnya tahap sosioekonomi golongan ini selepas dibadai oleh pandemik COVID-19, sekali gus menuntut intervensi Kerajaan yang lebih proaktif bagi terus menyokong mereka.
Nota: Ada antara analisis yang dilakukan secara longitudinal berdasarkan data siri masa tiga gelombang kajian, iaitu: (i) 2019, (ii) Mac 2021 dan (iii) Oktober 2023. Analisis susulan turut dilakukan dengan menumpukan hanya pada responden-responden yang terlibat dalam kajian terbaharu pada Oktober 2023.
Pendapatan Isi Rumah Sudah Kembali Meningkat, Tetapi Tidak Untuk Golongan OKU

Analisis secara longitudinal menunjukkan tahap pendapatan bagi keseluruhan isi rumah telah pulih memasuki fasa pasca pandemik. Pendapatan penengah isi rumah didapati melonjak hampir 40% daripada RM2,117 (Mac 2021) kepada RM2,928 (Oktober 2023). Pendapatan penengah bulanan ini adalah sedikit lebih tinggi berbanding pendapatan penengah isi rumah 20% terendah di Malaysia (B20), iaitu RM2,559. Bagi isi rumah yang diketuai wanita, mereka turut menikmati peningkatan sebanyak RM300, sekali gus menjadikan penengah pendapatan bulanan mereka mencecah RM1,600 pada Oktober 2023.
Walau bagaimanapun, jika dibandingkan dalam kalangan keseluruhan responden yang menyertai gelombang kajian yang terbaharu ini, pendapatan penengah yang diterima oleh keseluruhan isi rumah adalah RM2,500 sebulan. Antara kesemua kategori, pendapatan penengah isi rumah yang diketuai orang kurang upaya (OKU) adalah yang terendah, iaitu sebanyak RM1,550, hanya RM50 sahaja lebih tinggi berbanding gaji minimum di Malaysia. Situasi ini turut menunjukkan bahawa peluang pekerjaan yang tersedia buat golongan OKU di Malaysia adalah terhad dalam pekerjaan berkemahiran rendah yang menerima gaji yang terlalu sedikit.
Peningkatan pendapatan isi rumah disumbangkan sebahagian besarnya daripada pemulihan yang berlaku dalam pasaran buruh. Jika sebelum ini semasa tinjauan yang dilakukan pada Mac 2021, kadar pengangguran bagi keseluruhan ketua isi rumah mencecah angka dua digit, iaitu 12.0%. Namun, ia telah menurun kepada satu digit, 5.9% dalam tinjauan terbaharu pada Oktober 2023.
30% Wanita Menganggur, Menggambarkan Akses Pasaran Buruh yang Terhad

Walau bagaimanapun, kadar pengangguran kekal tinggi buat ketua isi rumah wanita, iaitu 30%. Data ini turut menunjukkan bahawa meskipun pemulihan pasaran buruh yang berlaku dalam fasa pasca pandemik telah mewujudkan pelbagai peluang pekerjaan, ia tidak semestinya menjanjikan akses pasaran buruh yang sama rata kepada semua golongan.
Lebih malang, kaum wanita di Malaysia sering menjadi mangsa diskriminasi apabila majikan lebih cenderung untuk tidak mengambil pekerja wanita, terutamanya mereka yang sudah berkeluarga. Ketika ini, Malaysia tidak mempunyai sebarang undang-undang bagi menghalang majikan daripada melakukan tindakan diskriminasi terhadap mana-mana jantina ketika memilih pekerja.
Di Malaysia, kadar penyertaan tenaga buruh wanita adalah 56.4% pada Oktober 2023, jauh lebih rendah berbanding lelaki (82.9%). Ini bermaksud, daripada sekitar 12 juta penduduk wanita umur bekerja (15-64 tahun) di negara ini, hanya sedikit sahaja lebih separuh daripada mereka yang menyertai pasaran buruh.
Keadaan ini terus berlaku meskipun rata-rata wanita memiliki tahap pendidikan yang tinggi. Malah, saban tahun, graduan perempuan adalah lebih ramai berbanding graduan lelaki. Pada tahun 2022, 55% daripada seramai 343,767 graduan yang dikeluarkan oleh Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) merupakan graduan perempuan. Situasi ini menggambarkan bahawa pasaran buruh di Malaysia gagal memanfaatkan potensi tenaga kerja berpendidikan tinggi yang terdiri daripada kalangan wanita.
90% Pekerja Yang Bekerja Sendiri Langsung Tiada Perlindungan Sosial KWSP dan PERKESO

Kajian ini turut mendedahkan bahawa meskipun semakin ramai ketua isi rumah sudah kembali bekerja dalam sektor formal, 40% daripada mereka langsung tidak mempunyai sebarang perlindungan sosial berkaitan pekerjaan seperti KWSP dan PERKESO. Lebih membimbangkan, liputan perlindungan sosial adalah hampir tidak wujud dalam kalangan mereka yang bekerja sendiri, apabila lebih 90% langsung tiada apa-apa perlindungan. Liputan perlindungan sosial yang terhad menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko-risiko seperti kehilangan punca pendapatan akibat kemalangan, kematian atau ditimpa penyakit, serta meningkatkan risiko berlakunya kemiskinan di hari tua.
Penemuan yang agak mengejutkan ialah apabila ketua isi rumah OKU (10%) didapati mempunyai kadar pengangguran yang paling rendah berbanding keseluruhan ketua isi rumah (12%) dan juga isi rumah diketuai wanita (30%). Namun, meskipun mereka mampu mendapatkan pekerjaan, tahap gaji dan upah yang diterima oleh mereka adalah sangat rendah.
Gaji Rendah Menyebabkan Majoriti Isi Rumah Diketuai OKU Terperangkap Dalam Kemiskinan
Akibatnya, insiden kemiskinan mutlak adalah yang tertinggi dalam kalangan ketua isi rumah OKU (67%), berbanding keseluruhan ketua isi rumah (47%) dan ketua isi rumah wanita (54%). Trend yang sama dapat dilihat pada insiden kemiskinan relatif dan tegar.

Meskipun insiden kemiskinan mutlak rata-ratanya menunjukkan penurunan, ia sebenarnya masih lagi tinggi. Misalnya, 59% isi rumah diketuai wanita tergolong dalam kategori miskin mutlak, turun hanya 3% berbanding 62% semasa tinjauan dilakukan pada Mac 2021. Begitu juga dengan kanak-kanak, 4 daripada 10 tinggal di dalam isi rumah miskin. Hampir kesemua isi rumah diketuai wanita dan yang mempunyai kanak-kanak juga didapati berada dalam kemiskinan relatif.
*Kemiskinan tegar adalah isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,109 sebulan
*Kemiskinan mutlak adalah isi rumah berpendapatan kurang daripada RM2,589 sebulan
*Kemiskinan relatif adalah isi rumah berpendapatan kurang daripada RM5,117 sebulan
Peluang pekerjaan yang terhad dan gaji yang rendah menyebabkan kebanyakan isi rumah tidak mampu untuk memperoleh pendapatan yang mencukupi bagi menampung perbelanjaan isi rumah. 74% ketua isi rumah wanita mengakui bahawa pendapatan semasa mereka tidak cukup untuk memenuhi keperluan harian keluarga. Begitu juga dengan ketua isi rumah OKU, hanya 8% sahaja yang merasakan bahawa pendapatan mereka adalah mencukupi. Pendapatan penengah mereka yang hanya RM50 sahaja lebih tinggi berbanding gaji minimum semestinya menyukarkan mereka untuk memenuhi keperluan harian keluarga.
Tekanan Kos Sara Hidup, Tekanan Mental
Situasi ini sekali gus mendedahkan mereka kepada tekanan mental untuk terus berdepan dengan kenaikan kos sara hidup. Apabila ditanya sama ada kesejahteraan mental mereka terjejas dengan kenaikan kos sara hidup, 74% ketua isi rumah menjawab ‘Ya’. Pelbagai kajian lepas telah menunjukkan bahawa golongan berpendapatan rendah adalah lebih terdedah kepada tekanan mental akibat kenaikan kos sara hidup. Hal ini kerana golongan berpendapatan rendah bukan sahaja memiliki sumber kewangan yang terhad, malah mereka juga lazimnya mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang lebih rendah. Situasi ini sekali gus menyebabkan mereka sukar untuk merancang kewangan dengan lebih baik, terutamanya dalam mendepani cabaran kos sara hidup.

Indikator-indikator kesihatan mental turut didapati merosot, malah lebih teruk berbanding ketika pandemik. Misalnya, kadar kemurungan dalam kalangan responden telah meningkat kepada 28%, berbanding 21% ketika pandemik (September 2020). Jika ketika pandemik, 70% responden menjawab mereka ‘Tiada masalah’ kesihatan mental. Namun, peratusan tersebut telah berkurangan kepada 60%. Selain kemurungan, responden turut mengalami isu-isu kesihatan mental yang lain seperti ‘emosi tidak stabil’ dan ‘sukar menumpukan perhatian’. Sesetengah responden juga mengakui mereka terpaksa makan ubat penenang untuk mengurangkan rasa murung dan resah.
Berbeza dengan orang lain, perancangan perbelanjaan golongan berpendapatan rendah seringkali terbatas kerana mereka mempunyai bajet yang terhad. Oleh itu, mereka tidak berpeluang untuk membelanjakan wang bagi tujuan-tujuan lain selain daripada keperluan asas. Memetik kenyataan salah seorang responden, Cik F., 38, seorang suri rumah yang juga merupakan penjaga kanak-kanak kurang upaya:
“Kami betul-betul stress sekarang… Suami pun stress. [Bila tertekan] Saya hanya berdoa. Kami tak mampu untuk pergi “healing“ [bercuti].. Kami takda duit, tak mungkin [untuk pergi bercuti].”
Ramai Isi Rumah dan Kanak-Kanak Terpaksa Berlapar Akibat Kenaikan Harga Makanan
Meskipun ekonomi sudah pulih memasuki fasa pasca pandemik, Malaysia dan juga kebanyakan negara dilanda sebuah lagi krisis, iaitu kenaikan harga bahan makanan yang berterusan. Antara punca utamanya ialah perang Rusia-Ukraine yang telah memburukkan lagi krisis rantaian bekalan di peringkat global yang sudah pun terjejas akibat pandemik COVID-19. Situasi ini sekali gus meningkatkan harga bahan makanan, baja dan tenaga (yang juga merupakan input kepada penghasilan bahan makanan).
Kenaikan kos sara hidup, terutamanya membabitkan barangan makanan di pasaran, telah menjejaskan tahap nutrisi dan pengambilan makanan isi rumah berpendapatan rendah yang menyertai kajian ini. Lebih merisaukan, situasi ini turut melanda kanak-kanak yang sepatutnya membesar dengan nutrisi yang mencukupi dan berkhasiat.
Sebelum pandemik, 55% kanak-kanak sekurang-kurangnya mampu makan antara tiga hingga lima kali sekali. Namun, peratusan tersebut menurun kepada 48% ketika fasa pasca pandemik. Ini bermaksud lebih separuh daripada mereka kini hanya mampu makan kurang daripada tiga kali sehari. Pemakanan yang tidak cukup serta tidak seimbang dari segi nutrisi boleh menjejaskan tumbesaran kanak-kanak secara sihat. Selain itu, ia turut meningkatkan risiko mereka terhadap masalah bantut dan malnutrisi.
Menurut Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019 yang dijalankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), 1 daripada lima, atau sebanyak 21.8% kanak-kanak berusia bawah lima tahun mengalami masalah bantut di negara ini.
Ketua-ketua isi rumah turut ditanya apakah cabaran terbesar mereka dalam menyediakan makanan yang berkhasiat. 62% daripada mereka menyebut harga makanan yang tinggi, manakala 31% menyatakan bahawa pendapatan mereka tidak cukup untuk menyediakan makanan berkhasiat. Ada antara responden (32%) turut mengakui bahawa mereka terpaksa mengurangkan makan sebagai salah satu cara untuk mereka meringankan tekanan kos sara hidup.

Malah, tabiat pemakanan dalam kalangan responden juga didapati berubah antara tempoh semasa dan pasca pandemik. Dari sudut positif, lebih kurang 7 daripada 10 isi rumah mengatakan mereka lebih banyak berbelanja untuk membeli telur — iaitu sumber protein yang paling murah, berbanding 52% semasa pandemik. Begitu juga dengan beras, 7 daripada 10 isi rumah menyatakan mereka lebih banyak membeli beras berbanding 41% semasa pandemik. Walau bagaimanapun, lebih banyak isi rumah yang makan mi segera, naik kepada 46% pasca pandemik, berbanding 40% ketika pandemik.
Subsidi dan Bantuan Sosial Berbilion-bilion Ringgit, Namun Tidak Efektif. Dimanakah Silapnya?
Di Malaysia, pelbagai subsidi telah diperkenalkan oleh Kerajaan bertujuan untuk menyokong kelangsungan hidup rakyat serta mengurangkan tekanan kos sara hidup yang dihadapi. Ia dilaksanakan bagi memastikan harga-harga keperluan asas seperti minyak masak, ayam dan telur dalam pasaran adalah lebih terkawal dan mampu dibeli, khususnya oleh golongan berpendapatan rendah.

Walau bagaimanapun, impak positif daripada pelaksanaan subsidi-subsidi ini biasanya adalah minimal dan terhad. Hanya satu daripada empat responden kajian ini bersetuju bahawa subsidi dan kawalan harga adalah dasar yang paling bermanfaat untuk mereka. Begitu juga dengan subsidi petrol yang diberikan Kerajaan, hanya 7% ketua isi rumah merasakan mereka paling banyak mendapat manfaat daripadanya. Apabila ditanya kepada responden, apakah dasar ataupun bantuan yang mereka paling perlukan, hanya 18% yang berkata mereka memerlukan lebih banyak subsidi.
Penemuan ini sebenarnya tidaklah mengejutkan. Hal ini kerana banyak kajian lepas yang telah menunjukkan bahawa subsidi bahan api yang diberikan secara universal adalah lebih memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi, berbanding golongan berpendapatan rendah. Daripada RM100 yang dibelanjakan oleh Kerajaan untuk subsidi petrol, kumpulan berpendapatan rendah (B40) hanya menikmati RM24 sahaja, berbanding RM35 yang dinikmati oleh kumpulan berpendapatan tinggi (T20).
Isu pemberian subsidi yang kurang efektif di Malaysia ini pernah diulas dalam laporan Malaysia Economic Monitor yang diterbitkan Bank Dunia. Menurut badan antarabangsa yang beribu pejabat di Washington DC itu, Malaysia merupakan negara yang melaksanakan paling banyak langkah kawalan harga di rantau ini.
Tidak dinafikan, subsidi banyak membantu dalam mengawal kadar inflasi di negara ini. Namun, pelaksanaannya seringkali dicemari dengan isu-isu seperti penyeludupan dan pembaziran. Di samping itu, pemberian subsidi secara berterusan juga mengganggu pasaran. Ironinya, gangguan pasaran ini seringkali menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan bahan makanan yang disubsidi tersebut. Hal ini kerana subsidi yang diberi menyebabkan ada sesetengah peniaga mengambil kesempatan dengan menyorok bekalan bahan makanan bersubsidi untuk diseludup ke negara-negara jiran.
Selain subsidi, Kerajaan juga telah memperuntukkan dana berbilion-bilion ringgit untuk program-program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Pada tahun 2022, sebanyak RM2.5 bilion telah dibelanjakan untuk pelbagai program bantuan tunai di bawah JKM.
Walaupun terdapat pelbagai program bantuan sosial di Malaysia, tidak semuanya sampai ke tangan mereka yang benar-benar memerlukan. Dalam kajian “Ranjau Sepanjang Jalan” ini, lebih 70% responden menerima sekurang-kurangnya satu bantuan seperti STR, JKM, zakat dan lain-lain. Namun, kira-kira 30% isi rumah berpendapatan RM2,000 dan ke bawah tidak menerima STR walaupun mereka sebenarnya layak. Hanya 9% isi rumah berpendapatan bawah RM1,000 yang menerima bantuan JKM.
Antara punca berlakunya kes-kes keciciran sebegini ialah disebabkan oleh pelaksanaan dan pengurusan program-program bantuan sosial yang tidak teratur. Menurut kajian Khazanah Research Institute (KRI), pada tahun 2020, terdapat 137 program bantuan sosial dan subsidi yang dikendalikan oleh lebih daripada 20 agensi Kerajaan.
Kewujudan program bantuan sosial yang terlalu banyak menyebabkannya sukar untuk diselaraskan dengan baik. Pertindihan program, yang kadang kalanya berkongsikan matlamat dan kumpulan sasaran yang serupa, juga boleh berlaku. Selain itu, kepincangan pada storan rekod simpanan serta pangkalan data penerima juga menyebabkan insiden keciciran bantuan sosial terus berlaku.
Kegagalan untuk menangani isu-isu penyasaran bantuan sosial ini akan menyebabkan beberapa implikasi negatif. Pertama, ia akan menyebabkan bantuan sosial yang ada tidak dapat sampai ke penerima yang berhak dan layak. Kedua, matlamat bantuan sosial untuk mengurangkan kemiskinan dan merawat masalah ketidaksamarataan dalam kalangan masyarakat akan menemui kegagalan. Ketiga, ia berkemungkinan besar akan menimbulkan rasa tidak puas hati, apabila mereka yang sebenarnya layak, namun tidak menerima bantuan ini, dan sebaliknya, sekali gus merisikokan keharmonian sosial.
Cadangan Dasar
Laporan “Ranjau Sepanjang Jalan” ini menyarankan beberapa cadangan dasar untuk terus melindungi kelangsungan hidup golongan berpendapatan rendah, di samping menambah baik program-program bantuan sosial sedia ada:
1. Menyedari betapa pentingnya supaya kanak-kanak membesar dengan sihat, laporan ini mencadangkan pemberian elaun penjagaan secara universal untuk semua kanak-kanak, yang disalurkan secara terus kepada (bakal) ibu. Amaun yang dicadangkan ialah sebanyak RM200 sebulan untuk semua ibu mengandung dan kanak-kanak sejak lahir sehinggalah berumur bawah 2 tahun (bersamaan tempoh 1,000 hari). Pemberian elaun ini dijangka memerlukan peruntukan sekitar RM2.2 bilion setahun, bersamaan 0.12% daripada KDNK.
2. Dapatan kajian menunjukkan individu OKU adalah golongan yang paling teruk terjejas dalam tempoh pasca pandemik. Oleh yang demikian, elaun perlu diberikan untuk semua OKU bagi membantu meringankan beban mereka, lebih-lebih lagi apabila mereka terpaksa menanggung perbelanjaan-perbelanjaan tambahan yang berkaitan dengan ketidakupayaan seperti kos membeli alat tiruan/alat sokongan. Di samping bantuan terus kepada golongan OKU, laporan ini turut mencadangkan supaya elaun diberikan kepada penjaga utama ahli keluarga OKU. Hal ini kerana kebanyakan penjaga utama ini, terutamanya wanita, biasanya terpaksa berhenti kerja untuk menjaga ahli keluarga mereka yang kurang upaya. Situasi ini menyebabkan mereka tiada pendapatan yang tetap.
3. Pada masa ini, bantuan JKM hanya diberikan kepada isi rumah miskin tegar. Bagi mengukuhkan bantuan sosial, laporan ini mencadangkan supaya bantuan JKM diperluaskan kepada mereka yang di bawah pendapatan garis kemiskinan, atau isi rumah dengan pendapatan bulanan kurang daripada RM2,589. Di samping pengukuhan bantuan sosial, laporan ini turut menyebut betapa pentingnya untuk tenaga kerja perkhidmatan sosial diperkasakan, supaya isi rumah yang jatuh ke miskin dapat dikenal pasti dan diberikan sokongan bantuan sosial serta-merta.
4. Apabila ditanyakan kepada responden kajian apakah dasar yang lebih diperlukan oleh mereka, majoriti memberikan jawapan ‘gaji yang lebih tinggi’ (40%). Tahap gaji yang terlalu rendah pada ketika ini terbukti memberikan tekanan mental yang besar dalam menghadapi cabaran kenaikan kos sara hidup. Ketika ini, gaji minimum yang diwartakan adalah sebanyak RM1,500. Walau bagaimanapun, laporan ini mencadangkan gaji minimum ditingkatkan kepada RM2,102 sebulan, selaras dengan kos sara hidup dan tahap produktiviti pekerja sekarang.