94% Kekayaan 40 Bilionair Terkaya Malaysia Datang Dari Sektor Kronisme

Share it

Kekayaan 40 bilionair Malaysia hampir tidak berubah meskipun dunia dilanda pandemik Covid-19 yang memberi impak besar terhadap ekonomi dunia. Nilai kekayaan 40 bilionair Malaysia hanya berkurang RM5 bilion ataupun 1.5% kepada RM330 bilion pada 2020 mengikut senarai yang dikeluarkan oleh Majalah Forbes.

Senarai yang dikeluarkan secara tahunan ini menyaksikan kekayaan bilionair Malaysia menyusut AS$6 bilion dari AS$82 bilion kepada AS$76 bilion. Penyusutan nilai matawang Ringgit dari RM4.09 kepada RM4.28 bagi setiap dollar mengurangkan kesan kemerosotan kekayaan bilionair Malaysia.

Terdapat juga bilionair Malaysia yang meraih laba besar di sebalik Covid-19. Pemilik Supermax, Stanley Thai dan isteri sebagai contoh telah menjadi bilionair apabila nilai saham miliknya meningkat dari RM668 juta kepada RM4.3 bilion dalam tempoh kurang enam bulan namun tidak tersenarai kerana data Forbes dikeluarkan pada bulan Mac tahun ini. [ klik sini ]

Raja gula, Robert Kuok kekal mendominasi tangga teratas orang terkaya di Malaysia dengan nilai kekayaan sebanyak $11.5 bilion ataupun kira-kira RM50 bilion diikuti taikun perbankan, Quek Leng Chan dengan $9.7 bilion ( RM42.2 bilion ). Orang Melayu terkaya, Syed Mokhtar Al-Bukhary menyaksikan pada tahun ini kekayaannya merudum $300 juta iaitu sekitar RM1.3 bilion berbanding tahun lalu dan berada di kedudukan ke-13

Pemilik AirAsia, Tony Fernandes dan Kamarudin Meranun yang masing-masing mempunyai kekayaan lebih $500 juta pada tahun lalu tidak berada dalam senarai 40 orang terkaya tahun ini. Hal ini berpunca daripada kejatuhan mendadak harga saham AirAsia yang terkesan akibat Covid-19.

Etnik Cina kekal mendominasi senarai 40 bilionair terkaya dengan 29 orang diikuti 6 bilionair Melayu. Untuk tahun 2020, hanya tiga bilionair etnik India tersenarai berbanding empat pada tahun lalu manakala tiga orang lagi dari etnik lain.

Hampir keseluruhan kekayaan bilionair-bilionair Malaysia datang daripada sektor-sektor rentseeking. Berdasarkan artikel yang dikeluarkan oleh majalah Economist, sektor-sektor rentseeking terdiri daripada sektor perjudian, pembalakan, pertahanan, perbankan dan sebagainya.

Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan 94% kekayaan 40 bilionair terkaya di Malaysia pada tahun ini datang daripada sektor rentseeking. Angka ini hampir sama seperti yang dicatatkan 10 tahun lalu dimana 96% kekayaan 40 bilionair tempatan dari sektor ini. Kekayaan bilionair yang memperoleh kekayaan dari sektor yang amat terdedah dengan amalan kronisme ini bersamaan dengan 20% KDNK Malaysia ataupun kira-kira RM309 bilion.

Berniaga di dalam sektor rentseeking bermaksud bahawa ahli perniagaan tersebut tidak perlu bekerja keras untuk bersaing kerana industri tersebut melibatkan kawal selia oleh kerajaan. Sebagai contoh, industri perjudian seperti kasino dan nombor ekor dimana kerajaan mengehadkan jumlah lesen yang dikeluarkan sekaligus membolehkan penerima lesen kasino atau nombor ekor dapat beroperasi secara monopoli atau oligopoli.

Syarikat Genting di Malaysia telah memonopoli perniagaan kasino untuk tempoh hampir 50 tahun. Manakala operator nombor ekor di negara ini didominasi oleh hanya tiga syarikat besar iaitu Da Ma Cai, Berjaya Sports Toto dan Magnum. Ini bermakna pengusaha nombor ekor tidak perlu berebut dan bersaing untuk mendapatkan pelanggan sekaligus menjamin keuntungan untuk tempoh yang panjang.

Tidak hairanlah, kesemua pemilik syarikat perjudian ini tersenarai di dalam kalangan orang terkaya di Malaysia. Pemilik Genting, Lim Kok Thay mempunyai kekayaan berjumlah RM13.9 bilion manakala pemilik Berjaya Sports Toto, Vincent Tan memiliki kekayaan bernilai RM3.3 bilion.

Begitu juga dengan pemilik Magnum Corporations, Surin Upatkoon yang memiliki kekayaan sebanyak RM4.3 bilion. Taikun telekomunikasi, Ananda Krishnan pula menjual Da Ma Cai ( Pan Malaysian Pools Sdn Bhd )  kepada sebuah konsortium yang dikepalai oleh Lim Kok Thay pada harga RM2.1 bilion pada tahun 2011.

Kenapa sektor rentseeking ini cenderung dengan penyalahgunaan kuasa serta rasuah?

Sektor yang melibatkan kawal selia oleh kerajaan ini sering terdedah dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Ini kerana pemilik-pemilik perniagaan akan sedaya upaya berusaha untuk memastikan lesen mereka diperbaharui selain memastikan tiada pesaing lain yang mendapat kebenaran untuk mengoperasikan perniagaan yang serupa.

Dalam kata lain, duit kopi sering diberikan kepada ahli politik dan pihak-pihak yang berkepentingan bagi memastikan status quo mereka kekal. Inovasi juga jarang sekali tercetus melalui syarikat-syarikat yang terlibat dalam sektor ini. Berbeza dengan syarikat-syarikat elektronik antarabangsa lain yang bersaing di pasaran terbuka, mereka terpaksa bertungkus lumus menyiapkan penyelidikan dan pembangunan bagi menarik minat orang ramai menggunakan produk mereka.

 

Bilionair Bukan Simbol Kejayaan

Ada yang berbangga apabila Malaysia mempunyai ramai bilionair yang tersenarai di dalam senarai orang-orang terkaya di dunia. Seperti juga kemiskinan, kekayaan yang ekstrem merupakan satu masalah struktur sistem yang perlu ditangani kerana ia seringkali diselubungi dengan kerja-kerja kotor di belakang tabir seperti apa yang diungkapkan oleh novelis Perancis, Honore de Balzac.

Behind Every Great Fortune Lies A Great Crime

Laporan yang dikeluarkan Oxfam turut menunjukkan bahawa hampir 37% kekayaan bilionair dunia diwarisi manakala selebihnya self-made billionaires. Dapatan ini berbeza dengan persepsi segelintir masyarakat dimana mereka menganggap bahawa bilionair-bilionair ini bekerja keras untuk meraih kekayaan.

Hakikatnya, sebahagian besar bilionair mewarisi kekayaan mereka daripada ibu-bapa mereka selain banyak yang terlibat di dalam sektor perniagaan rentseeking.

Bolehkah Kita Cukaikan Orang Kaya?

Jawapan ringkas, boleh. Namun, realitinya agak sukar untuk melakukan reformasi cukai untuk turut mencukaikan golongan elit ini. Sejak dulu lagi, kerajaan Malaysia begitu berbaik hati dengan orang kaya di Malaysia. Tidak ada sebarang cukai kekayaan seperti cukai warisan harta yang dikenakan terhadap golongan kaya.

Keuntungan modal yang diraih oleh golongan kaya seperti di pasaran saham turut tidak dikenakan kepada mereka ini. Cukai Estet pula dimansuhkan pada tahun 1991 kerana sumbangan hasil kepada kerajaan yang tidak signifikan.

Memperkenalkan cukai untuk golongan kaya lebih sukar berbanding memperkenalkan cukai kepada semua orang. Malaysia pada awal tahun ini memperkenalkan cukai digital manakala pada 2015 telah memperkenalkan GST. Langkah seperti ini lebih mudah berbanding mencukaikan segelintir orang kaya kerana lobi yang kuat oleh golongan elitis terhadap ahli politik dan pihak berkepentingan.