
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap hampir dua jam untuk membentangkan dokumen Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Parlimen tengah hari tadi bagi merangka hala tuju Malaysia untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Dokumen setebal 211 muka surat itu menyasarkan kadar pertumbuhan ekonomi tahunan di antara 4.5% hingga 5.5% dari tahun 2026-2030, dengan sasaran Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak RM77,200.
RMK-13 Malaysia turut menetapkan untuk Kerajaan mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada 3% menjelang tahun 2030.
Pampasan Pekerja (CE) pula disasarkan pada kadar 40%.
RMK13 memberi penekanan yang tinggi terhadap meningkatkan darjat hidup rakyat, terutamanya dengan sasaran untuk melonjakkan lagi gaji rakyat kepada RM3,500 sebulan (penengah).

Liku Sepanjang Jalan Buat Malaysia
Walaupun sasaran yang ditetapkan realistik, namun kejayaan indikator-indikator ini memerlukan usaha luar biasa daripada Kerajaan MADANI untuk tempoh lima tahun yang akan datang.
Pertumbuhan ekonomi tahunan di antara 4.5% hingga 5.5% dari tahun 2026-2030 menuntut lonjakan besar daripada industri tempatan, apatah lagi dunia kini berhadapan dengan perang dagang yang dimulakan Amerika Syarikat dan ketegangan geopolitik.
Untuk tahun 2025, ekonomi Malaysia sudah pun terkesan dengan pertumbuhan diunjurkan sekitar 4.0% hingga 4.8%, lebih rendah berbanding sasaran awal Bank Negara pada sekitar 4.5%-5.5%.
Perlu diingatkan, anggaran pertumbuhan 5.1% dari tahun 2020-2025 (RMK12) disumbangkan oleh low-base effect, susulan penurunan aktiviti ekonomi pada tahun 2020 akibat pandemik Covid-19.
Pertumbuhan ekonomi yang tinggi untuk tempoh lima tahun yang akan datang bakal menjadi semakin sukar kerana aktiviti ekonomi telah pun kembali normal.
Sasar 40% Pampasan Pekerja Menjelang 2030, Sasaran Sejak Tahun 2015
RMK13 sekali lagi menyasarkan pampasan pekerja sebanyak 40% menjelang tahun 2030.
Pampasan pekerja merupakan indikator yang mengukur bahagian upah, gaji dan bonus yang diterima pekerja.
Secara mudahnya, sasaran pampasan pekerja sebanyak 40% bermaksud pekerja menerima RM40 daripada setiap RM100 nilai yang dijana ekonomi.
Kerajaan kelihatan sudah memulakan langkah dalam mencapai objektif ini terutama sekali lagi pengenalan dasar gaji progresif, pelaksanaan gaji kehidupan wajar terhadap pekerja-pekerja syarikat GLC serta caruman KWSP terhadap pekerja migran untuk mengurangkan kebergantungan majikan terhadap pekerja asing.
Namun, usaha yang agresif perlu terus dilakukan Kerajaan bagi memastikan sasaran ini dicapai dengan memperkukuhkan kuasa rundingan pekerja serta meningkatkan lagi gaji minimum pada kadar yang lebih tinggi.

Sasaran 40% sebenarnya telah ditetapkan sejak RMK11 lagi iaitu pada tahun 2015, tetapi sehingga kini, Malaysia masih lagi berhadapan dengan bahagian pampasan pekerja yang rendah.
Hakikatnya, pampasan pekerja yang diterima Malaysia pada tahun 2023 iaitu pada 33.1% adalah lebih rendah berbanding pampasan pekerja yang diterima pada tahun 2015 ataupun tahun 2020, iaitu pada kadar 34.9% dan 37.4%.
Negara Berpendapatan Tinggi Tidak Bermakna Apa-Apa Jika Tidak Dinikmati Rakyat
Memetik ahli ekonomi terkenal, Amartya Sen, Perdana Menteri mengakui bahawa pembangunan mesti diterjemahkan kepada kebebasan untuk melalui kehidupan yang bermakna, bukan semata-mata meningkatkan pendapatan negara.
Walau bagaimanapun, sasaran untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi tetap dikekalkan dengan GNI per kapita sebanyak RM77,200.
Malaysia merancang untuk menawarkan produk-produk bernilai tinggi melalui pelaksanaan inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam Pelan Hala Tuju Industri Negara (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETP), Strategi Semikonduktor Kebangsaan (NSS) dan beberapa Pelan-pelan Hala Tuju yang lain.
Selain itu, Kerajaan juga memfokuskan kepada sektor pertumbuhan baru perlihan tenaga, ekonomi hijau ekonomi biru dan ekonomi kitaran dalam terus memacu ekonomi negara.
Semua inisiatif-inisiatif sedia ada ini menunjukkan Kerajaan sudah pun mempunyai strategi-strategi yang tersusun dalam mencapai sasaran menjelang tahun 2030.
Tetapi, perancangan tanpa pelaksanaan yang jitu tidak akan membuahkan sebarang hasil.

Sebagai contoh, PEMANDU sebelum ini menerima ratusan juta ringgit daripada Kerajaan Malaysia untuk membawa Malaysia ke negara berpendapatan tinggi melalui Program Transformasi Ekonomi (ETP) menjelang tahun 2020.
Tetapi hingga detik ini, Malaysia masih lagi bergelut untuk mencapai status ini.
Ketika ini, GNI per kapita Malaysia berada pada paras RM54,793, 8% lebih rendah berbanding had minimum RM59,647 ($14,005) untuk mencapai status negara maju. Pada tahun 2020, jurang ini adalah sebesar 20%.
Had mininum GNI untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi akan ditetapkan oleh Bank Dunia setiap tahun menggunapakai formula 40-48-12 yang merujuk kepada 40% negara berpendapatan tinggi, 48% negara berpendapatan sederhana dan 12% negara berpendapatan rendah.
Pertumbuhan ekonomi domestik yang pantas bukannya satu-satunya faktor penentu bagi Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi. Kerajaan juga perlu memastikan kedudukan matawang Ringgit kekal kukuh dan tidak menyusut dengan mendadak kerana Bank Dunia mengira had ambang negara berpendapatan tinggi berasaskan kadar tukaran dolar Amerika.
