Anda Bukar Sekadar Kerjaya Anda

Share it

Kerjaya. Satu perkara yang amat rapat dengan diri anda. Jika kita ingin berkenalan dengan seseorang, soalan pertama yang diajukan adalah ” anda kerja apa? ” . Soalan seperti ini bukanlah khusus dalam masyarakat kita tetapi bersifat universal. ” What do you do? ” adalah ungkapan ice-breaking paling mudah dalam membuka ruang perbualan.

Kerja yang dilakukan sering dianggap sebagai kejayaan dan pencapaian buat seseorang. Jika anda seorang doktor, memperkenalkan diri anda sebagai seorang doktor memberi indikasi bahawa anda seorang yang terpelajar. Kerjaya juga mempengaruhi status sosial seseorang.

Jika dahulu, dan mungkin juga masih terpakai sekarang, berkhidmat di sektor awam dipandang tinggi oleh mak-mak saudara yang berada nun di ceruk kampung. Dengan gaji yang relatifnya tinggi, anda yang bekerja sebagai penjawat awam mungkin menjadi pilihan pertama sebagai calon menantu.

Isunya, meletakkan kerjaya sebagai satu-satunya simbol penting peribadi bukanlah sesuatu yang baik.

Misalannya, jika anda kehilangan kerja, anda bukan sahaja kehilangan mata pendapatan, tetapi anda juga mungkin merasakan bahawa anda kehilangan sebahagian daripada diri anda.

Justeru, kita harus membentuk semula watak dan cara kita menggambarkan diri kita.

Kita ada pelbagai minat yang membentuk identiti diri. Kita mungkin juga ada perjuangan ataupun kepercayaan ideologi yang menjadi sebahagian daripada hidup kita. Siapa diri kita tidak wajar hanya digambarkan dengan jawatan yang kita disandang. Kita lebih daripada itu.

Pengangguran belia meningkat kepada 11.7%

Pengangguran dan Kemurungan

Isu kerjaya ini berkait rapat dengan masalah yang dihadapi oleh golongan muda di negara ini. Kadar pengangguran belia di Malaysia kini berada di paras yang tinggi iaitu 11.7%. Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum krisis Covid-19 iaitu sebanyak 10.2%.

Banyak kajian mendapati pengangguran turut memberi kesan kepada kesihatan mental. Kajian di Amerika Syarikat pada tahun 2010 mendapati bahawa pengangguran telah menyumbang kepada masalah kemurungan terutamanya dalam kalangan remaja.

Bagaimana Pengangguran Menyumbang Kepada Kemurungan?

Pekerjaan bukan sahaja menjana pendapatan kepada seseorang, namun lebih daripada itu. Pekerjaan membenarkan seseorang itu keluar daripada rumah dan berinteraksi dengan orang lain selain mewujudkan rasa stabil di dalam minda.

Ia juga memberikan struktur kepada kehidupan seharian anda melalui rutin pergi balik kerja dan sebagainya.

Namun apabila seseorang itu hilang pekerjaan, individu tersebut bukan sahaja kehilangan sebuah pekerjaan tetapi ia melibatkan aspek-aspek lain juga di dalam kehidupan seharian seseorang. Pertubuhan Kesihatan Mental Kanada memberikan penjelasan lanjut mengenai situasi ini ;

” Apabila anda kehilangan pekerjaan, bukan sahaja pendapatan anda terjejas, tetapi juga hubungan kerja peribadi, struktur harian, dan tujuan hidup. Pengangguran kebiasannya memberi kejutan terhadap keseluruhan sistem. Anda akan mengalami perasaan yang sama dan stres seperti anda benar-benar sakit, melalui penceraian ataupun meratapi pemergian orang yang tersayang. “

Dengan stigma masyarakat yang membelenggu, isu kesihatan mental sering kali dianggap sebagai perkara yang taboo untuk dibicarakan. Namun semua pihak terutamanya kerajaan perlu mengambil peranan yang lebih besar dalam menangani permasalahan yang saling berkait ini.

37.7% Siswazah di Malaysia Bekerja Di Bawah Kelayakan Mereka

Dan bukan saja isu pengangguran perlu ditangani, tetapi krisis underemployment yang semakin meninggi saban hari juga perlu diberi perhatian.