Anda Perlukan RM2.1 juta Untuk Sertai Kumpulan Terkaya 1% di Malaysia

laporan knight frank
Share it
Anda memerlukan RM2.1 juta Untuk Menyertai Kumpulan Terkaya 1%

Firma hartanah global, Knight Frank di dalam laporan terbaru mereka menyatakan rakyat Malaysia yang ingin menyertai kumpulan elit terkaya 1% pada tahun lalu perlu memiliki aset sekurang-kurangnya RM2.1 juta ataupun $540,000.

Manakala di Singapura, anda memerlukan sekitar RM11.75 juta untuk berada di dalam kelompok tertinggi ini.

Laporan Knight Frank ini turut mendedahkan terdapat jurang yang lebar di dalam kalangan kelompok terkaya secara global. Di Monaco, anda memerlukan sekurang-kurangnya RM32 juta untuk menyertai kumpulan Top 1% manakala di Kenya anda hanya memerlukan sekitar RM80,000.

Had ambang di Malaysia agak tinggi dalam kalangan negara serantau untuk berada di dalam kumpulan terkaya. Di Indonesia dan Filipina, aset sebanyak RM240,000 diperlukan menyertai Top 1% manakala di Vietnam, anda memerlukan RM640,000.

Meskipun dunia mengalami krisis pada tahun lalu, individu super kaya yang mempunyai kekayaan melebihi $30 juta ( RM120 juta ) telah meningkat 2.4% kepada lebih 520,000 orang. Kadar faedah yang rendah telah mengakibatkan harga hartanah melambung naik lantas meningkatkan jumlah individu yang mempunyai kekayaan melebihi RM120 juta.

Terdapat 16,442 individu di Malaysia yang mempunyai aset melebihi RM4 juta

Terdapat peningkatan sebanyak 16% golongan super kaya di China pada tahun 2020 diikuti Sweden dan Singapura pada kadar 11% dan 10%. Laporan ini turut menyatakan bahawa golongan super kaya di Asia akan meningkat 39% di dalam tempoh lima tahun akan datang.

Kebanyakkan pasaran saham utama dunia mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan pada tahun lalu. China CSI300 sebagai contoh telah meraih peningkatan sebanyak 27% manakala US S&P 500 tumbuh 16%.

Meskipun begitu, terdapat pasaran saham yang turut menjunam pada tahun lalu seperti Europe Stoxx 50 dan UK FTSE 100. Di Malaysia, indeks pasaran saham kita meningkat sedikit pada kadar 2.4% pada tahun lalu selepas jatuh 6.0% pada 2019.

Tinjauan yang dijalankan terhadap pengurus dana dan pegawai bank peribadi turut menunjukkan reaksi positif dalam kalangan golongan kaya ini. 49% daripada responden menyatakan bahawa klien mereka iaitu golongan kaya meraih peningkatan kekayaan pada tahun lalu manakala hanya 24% menyatakan kekayaan klien mereka merosot.

Seramai 27% responden pula menyatakan bahawa kekayaan klien mereka tidak berubah. Perkara ini menunjukkan bahawa pandemik Coronavirus ini tidak memberikan kesan yang besar terhadap kelompok elit.

Majoriti responden berpendapat klien mereka akan menambah kekayaan pada tahun ini

Meskipun begitu, krisis Coronavirus yang berlanjutan menjadi kebimbangan besar golongan kaya di dalam usaha mewujudkan dan memelihara kekayaan mereka. Rata-rata menyatakan peluang pasca-pandemik pula menjadi satu tarikan utama buat mereka untuk terus menambah kekayaan.

Golongan kaya juga kekal optimis mengenai prospek kekayaan mereka pada tahun ini. 71% daripada responden menyatakan kekayaan klien mereka bakal meningkat manakala hanya 8% menyatakan aset kekayaan klien mereka bakal jatuh.

Jumlah individu yang mempunyai kekayaan melebihi $1 juta ataupun RM4 juta adalah seramai 48 juta di seluruh dunia pada tahun 2020, menurun lapan peratus dari 53 juta orang pada tahun yang sebelumnya.

Di Malaysia, individu yang mempunyai aset bernilai RM4 juta dan ke atas adalah seramai 16,442 orang. Angka ini lapan peratus lebih rendah berbanding pada tahun 2019 dimana terdapat 17,936 orang mempunyai kekayaan melebihi RM4 juta.

Laporan ini turut mendedahkan bahawa Malaysia mempunyai 606 individu yang mempunyai aset melebihi RM120 juta. Jumlah ini tidak jauh beza berbanding jumlah golongan kaya pada tahun 2019 iaitu seramai 628 orang.

Untuk tempoh lima tahun akan datang, individu yang mempunyai aset melebihi RM4 juta dianggarkan meningkat 36% kepada 22,354 orang di Malaysia. Manakala individu yang mempunyai kekayaan melebihi RM120 juta pula dijangka meningkat kepada 801 orang.

Pandemik Covid-19 yang berterusan merupakan kebimbangan utama golongan elit

Seramai lebih 600 pengurus dana dan pegawai bank disoalselidik oleh Knight Frank untuk menyediakan laporan ini. Responden-responden ini dilaporkan menguruskan dana berjumlah $3.3 trilion untuk golongan kaya. Laporan Knight Frank ini membuktikan bagi golongan elit, ” all is good “ meskipun jutaan manusia terkesan akibat pandemik Covid-19 pada tahun lalu.