New Zealand telah menamatkan arahan ‘Alert Level 4’ pada 27 April 2020 yang boleh diibaratkan seperti Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia. Arahan ini mengambil masa selama 33 hari berkuatkuasa bermula 26 Mac 2020 dimana penduduk New Zealand diarahkan untuk duduk di rumah dan hanya keluar untuk melakukan perkara penting seperti membeli barang dapur ataupun melakukan rawatan kesihatan.
Langkah New Zealand dalam mengendalikan krisis Covid-19 ini mendapat pujian ramai pihak dimana kerajaan New Zealand berjaya melandaikan lekuk dengan efektif. Pada hari yang ke-33 ( hari terakhir Alert Level 4 ), bilangan kes baru yang dicatatkan hanya 5 kes. Angka ini menunjukkan New Zealand berjaya mengurangkan 93% bilangan kes baru dari 78 kes pada hari pertama.
Sebagai perbandingan ringkas, Malaysia pada hari pertama menerima 117 kes baru dan hanya berkurang 28% kepada 84 kes pada hari ke-33
Sehingga 27 April 2020, New Zealand mencatatkan 1,469 kes dengan 19 kematian.
Tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan untuk New Zealand juga amat pendek iaitu selama 33 hari. Malaysia pula telah melanjutkan PKP kepada 8 minggu ataupun bersamaan dengan 55 hari namun pelbagai sektor ekonomi dibenarkan bermula 4 Mei 2020. Satu tindakan yang janggal kerana bercanggah diantara satu sama lain. Jiran kita, Singapura pula melaksanakan arahan circuit breaker selama 56 hari bermula 7 April 2020 hingga 1 Jun.
Apakah rahsia kejayaan New Zealand?
Kedudukan geografi New Zealand terletak bersendirian di barat daya Lautan Pasifik Selatan, memberikan kelebihan buat New Zealand dalam menangani Covid-19 ini. New Zealand tidak mempunyai sebarang sempadan darat dengan mana-mana negara sekaligus menjadikan cara termudah untuk memasuki New Zealand hanyalah melalui pengangkutan udara. Ini membolehkan New Zealand menumpukan seluruh tumpuan mereka untuk saringan di pintu-pintu masuk utama iaitu di Auckland dan Christchurch.
Populasi dan taburan penduduk New Zealand turut memudahkan kerja New Zealand dalam memerangi Covid-19. Populasi New Zealand hanya satu perenam populasi Malaysia iaitu sekitar 5 juta orang, lebih kecil berbanding populasi rakyat Malaysia di Lembah Klang. Hanya satu bandar di New Zealand yang mempunyai lebih dari 1 juta penduduk iaitu Auckland manakala bandar-bandar lain mempunyai jumlah penduduk yang kecil.
Kelebihan natural ini memberikan New Zealand untuk berada setapak di hadapan dalam menentang virus global ini.
Komunikasi yang Cekap
Teknik komunikasi kerajaan New Zealand amat efisien dalam menyampaikan mesej kepada rakyat. Sebagai contoh, kerajaan memperkenalkan rajah ‘ sistem Alert ‘ pada 16 April bagi memberikan rakyat New Zealand gambaran apa yang akan dilalui rakyat New Zealand dalam menghadapi Covid-19. Sebaliknya di Malaysia, pengumumkan PKP dilakukan tanpa sebarang makluman awal kepada rakyat.
Liputan internet yang tinggi melebihi 90% dalam kalangan rakyat New Zealand turut dimanfaatkan oleh kerajaan New Zealand. Sejak awal, kerajaan NZ telah memulakan kempen ‘ Unite Against Covid-19 ‘ dimana platform Youtube digunanakan. Kompilasi video yang menyeru untuk rakyat New Zealand duduk di rumah turut dikeluarkan dengan menampilkan personaliti terkenal New Zealand seperti Taika Waititi ( pengarah Jojo Rabbit ), TJ Perenera ( bintang All Blacks ) dan Benee ( penyanyi ).
Bagi memudahkan urusan mencari maklumat berkaitan Covid-19, kerajaan New Zealand telah mewujudkan satu laman web khas berkaitan Covid-19.
Menurut laporan berita tempatan, kerajaan New Zealand memperuntukkan $15 juta ( RM40 juta ) di dalam pakej rangsangan ekonomi untuk membiayai aktiviti kempen ‘ Unite Against Covid-19 ‘.
Kepimpinan yang Mantap dan Demokrasi yang Kukuh
Seperti Dr Noor Hisham di Malaysia, Ketua Pengarah Kesihatan New Zealand, Ashley Bloomfield turut menerima pujian rakyat New Zealand atas kecekapan beliau mengendalikan krisis ini.
Namun apa yang membezakan Malaysia dan New Zealand adalah kestabilan politik. Meskipun Parti Buruh New Zealand mengemudikan kerajaan atas kerjasama dengan NZ First dan bersandarkan sokongan ‘ confidence and supply ‘ dari Parti Hijau, pemerintahan Buruh Keenam kekal utuh tanpa pergolakan politik di tengah-tengah penggal.
Berbeza dengan di Malaysia, tatkala negara sedang bergelut dengan krisis dahsyat ini, Malaysia telah kehilangan hampir seminggu akibat kemelut politik yang melanda Malaysia pada penghujung Februari. Perkara-perkara ini sememangnya membantutkan usaha-usaha dalam menangani Covid-19
Dari segi respon ekonomi, New Zealand mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai $12.1 bilion seminggu sebelum arahan duduk rumah dikeluarkan. Ini membolehkan bantuan disalurkan secepat mungkin yang mana masalah ‘tiada wang’ ketika menghadapi Alert Level 4 dapat diselesaikan.
Sebagai contoh, pada hari pertama ‘ Alert Level 4 ‘, kerajaan New Zealand telah membayar $1.5 bilion subsidi upah kepada majikan untuk diagihkan kepada pekerja. Di Malaysia, meskipun pakej rangsangan ekonomi telah diumumkan lebih awal oleh Tun Mahathir, namun ia tidak merangkumi langkah dalam menghadapi PKP. Pakej rangsangan ekonomi kedua pula hanya dilakukan 10 hari selepas PKP dilaksanakan. Sehingga hari ini, Menteri Kewangan melalui laporan LAKSANA belum mendedahkan kepada umum berapa jumlah susbidi upah yang telah dibayar kepada majikan.
Bancian atas talian dibuat oleh sebuah media New Zealand turut menunjukkan bahawa 61% pengguna Facebook di New Zealand bersetuju untuk perintah Alert Level 4 dilanjutkan. Ini menunjukkan kecekapan kerajaan New Zealand dalam menyalurkan bantuan sekaligus menyebabkan rakyat tidak gusar untuk terus berada di rumah.
New Zealand juga terkenal sebagai sebuah negara yang terbaik dalam segenap aspek. Sebagai contoh, New Zealand sentiasa berada di kedudukan teratas dalam Indeks Persepsi Rasuah. Selain itu, New Zealand juga diiktiraf sebagai negara paling islamik berdasarkan nilai-nilai yang ditekankan oleh Islam. Pengiktirafan sebegini menunjukkan bahawa masyarakat di New Zealand mempunyai nilai disiplin yang tinggi.
Meskipun tiada ancaman denda dikeluarkan oleh kerajaan New Zealand, penduduk di negara ini patut dengan arahan kerajaan untuk tidak melakukan aktiviti-aktiviti sosial di luar rumah. Pengusaha-pengusaha pasaraya menyediakan hand sanitiser untuk pelanggan manakala pelanggan pula kelihatan faham dengan kepentingan untuk menjaga jarak.
Selain itu, konsep gelembung atau bubble yang diperkenalkan oleh kerajaan New Zealand turut difahami oleh rakyat secara amnya. Penduduk di New Zealand perlu tinggal dan hanya berinteraksi dengan gelembung mereka saja, dan tidak boleh memecahkan gelembung mereka dengan berinteraksi dengan orang lain.
Jauh berbeza di Malaysia, bukan sahaja sebilangan rakyat tidak patuh dengan arahan PKP ini, terdapat juga gambar-gambar berkeliaran di media sosial yang menampilkan beberapa orang pemimpin yang dengan jelas melanggar arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Di New Zealand, Menteri Kesihatan yang melanggar arahan ini dengan segera menghantar surat peletakan jawatan sebagai tanda bertanggungjawab terhadap kesalahan tersebut. Namun atas dasar budi bicara Perdana Menteri, beliau telah diturunkan pangkat sebagai menteri paling junior.
Perdana Menteri, Jacinda Ardern pada 27 April telah menyatakan bahawa New Zealand telah berjaya memenangi peperangan menentang Covid-19 apabila tiada lagi penularan komuniti dilaporkan. Bermula 28 April, New Zealand akan memasuki tahap ‘ Alert Level 3 ‘ dimana perniagaan dibenarkan beroperasi dengan interaksi yang minimum.