
Pejabat Peguam Negara telah mewartakan pindaan melalui Ordinan Darurat terhadap Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988 semalam dimana telah mendapat reaksi negatif daripada pelbagai pihak.
Pindaan yang dibuat membolehkan kerajaan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tujuan pembelian vaksin Covid-19 ataupun perbelanjaan-perbelanjaan yang berkaitan bagi mencegah penularan penyakit berjangkit ini.
Sejarah Kumpulan Wang Amanah Negara
Dana ini diwujudkan pada tahun 1988 bagi memastikan penggunaan optima hasil sumber-sumber asli negara yang menyusut agar dapat memberi sumbangan yang berterusan dan stabil demi faedah negara dan generasi akan datang.
Petroliam Nasional Berhad ( PETRONAS ) antara pihak yang dinyatakan secara spesifik agar membuat sumbangan ke dalam tabung ini selain mana-mana pihak yang memperoleh royalti dari hasil petroleum ataupun hasil-hasil menyusut yang lain. Pada tahun 2018, PETRONAS telah membuat sumbangan sebanyak RM100 juta ke dalam tabung ini.
Menurut seksyen enam Akta Kumpulan Wang Amanah Negara, terdapat dua situasi dimana wang ini wajar digunakan sebelum berlaku pindaan yang diwartakan semalam iaitu untuk kegunaan tabung pembangunan dan memberi pinjaman ataupun pendahuluan kepada kerajaan.
Berdasarkan penyata kewangan 2018, saiz aset Kumpulan Wang Amanah Negara adalah berjumlah RM16.13 bilion. Skop pelaburan untuk dana ini hanya terhad kepada bon, deposit, emas, ekuiti dan REITS sahaja.
Sejak penubuhannya pada tahun 1988, PETRONAS merupakan penyumbang tunggal terhadap tabung ini dengan sumbangan terkumpul sebanyak RM9.3 bilion.
Kenapa Pindaan Akta Kumpulan Wang Amanah Negara Dipersoalkan?
Objektif asal dana ini diwujudkan adalah untuk membolehkan generasi akan datang meraih manfaat apabila hasil bumi negara telah pun susut kelak. Dana ini hampir serupa dengan Tabung Minyak Norway dimana hasil-hasil minyak di negara itu dilaburkan bagi memberikan pulangan berterusan kepada rakyat Norway.
Pindaan akta yang membenarkan penggunaan dana ini untuk tujuan mengawal penularan Covid-19 kelihatan bertentangan dengan matlamat asal penubuhan dana ini meskipun krisis Covid-19 kian meruncing.

Namun demikian, terdapat beberapa persoalan yang dibangkitkan oleh sebilangan pihak terhadap pindaan akta ini. Hal ini kerana kerajaan telah pun membuat peruntukan yang besar di dalam Belanjawan 2021 bagi membeli vaksin dan membiayai perbelanjaan menentang Covid-19.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, Kerajaan Malaysia telah memperuntukkan sebanyak RM17 bilion untuk Tabung Covid-19 bagi tujuan merangsang ekonomi negara sehingga penghujung tahun 2022.
Selain itu, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi ( MOSTI ), Ahmad Amzad Hashim turut menjelaskan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan telah memperuntukkan RM3 bilion bagi tujuan pembelian vaksin di dalam Belanjawan 2021.
Bahkan pada bulan lalu, akhbar melaporkan peruntukan pelaksanaan vaksin telah ditingkatkan kepada RM5 bilion. Oleh sebab itu, sebilangan pihak mempersoalkan kewajaran untuk kerajaan menggunakan wang dari Kumpulan Wang Amanah Negara bagi tujuan tersebut.
Ketelusan di dalam perolehan vaksin juga dipertikaikan kerana parlimen masih lagi tidak bersidang sekaligus tiada sesi soal jawab diantara wakil rakyat dan ahli pentadbiran kerajaan. Dalam erti kata lain, proses semak dan imbang yang menjadi tunjang demokrasi sudah lagi tidak mengambil tempat.
Persoalan asas lain seperti berapakah kos sebenar pembelian vaksin juga masih tidak didedahkan kerajaan sehingga kini.
Kerajaan kelihatan terus berdepan dengan krisis keyakinan dalam menguruskan pandemik Covid-19. Kuasa luas yang diberikan kepada kerajaan melalui pengisytiharan darurat telah menimbulkan syak wasangka terhadap dasar dan tingkahlaku kerajaan termasuklah mereka yang kini berada di dalam kerajaan. Dengan pilihan raya semakin hampir, rakyat semakin gusar dengan kebarangkalian dana-dana awam digunakan untuk tujuan lain.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY
One thought on “Apakah Itu Kumpulan Wang Amanah Negara? Kenapa Pindaan Akta Dipersoalkan?”
Comments are closed.