Bagaimana Donald Trump Menggoncang Ekonomi Dunia Dengan Perang Dagang?

Share it

Era perdagangan bebas yang dijuarai oleh Barat nampaknya semakin menuju pengakhiran. Jika dahulu, negara-negara di seluruh dunia seringkali di ‘brainwash’ oleh negara-negara maju seperti Amerika Syarikat seolah-olahnya perdagangan bebas adalah satu-satunya jalan menuju kemajuan, dimana semua pihak dijanjikan akan mendapat manfaat daripada perdagangan secara terbuka.

Namun, realiti semasa menunjukkan dunia kini semakin menuju ke arah yang berbeza. Perdagangan antarabangsa semakin terhimpit oleh pelbagai dasar perlindungan seperti tarif dan sekatan, yang bukan sahaja menyekat aliran dagangan tetapi juga meningkatkan ketegangan geopolitik antara negara-negara.

Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China merupakan bukti paling kukuh bagi menunjukkan bagaimana dasar perlindungan perdagangan boleh membawa lebih banyak kemudaratan daripada kebaikan. 

Defisit perdagangan ini berlaku kerana AS mengimport lebih banyak barangan daripada China

Sejak 2018, kedua-dua negara ini telah terlibat dalam siri perang dagang yang berlanjutan. Ia bermula apabila Presiden AS ketika itu, Donald Trump, mengenakan tarif 25% ke atas import keluli dan aluminium dari China. Sebagai tindak balas, China mengenakan tarif antara 15% hingga 25% terhadap 128 produk AS, termasuk produk pertanian dan barangan industri yang dianggarkan bernilai sekitar AS$3 bilion. 

Perang dagang ini berlarutan apabila kedua-dua negara terus membalas dendam menerusi strategi tindak balas berulang (tit-for-tat), dengan melancarkan tarif demi tarif ke atas ekonomi masing-masing.

Secara keseluruhannya, tarif yang dikenakan mungkin membawa keuntungan jangka pendek dan memberikan perlindungan kepada industri tempatan untuk berkembang. Namun begitu, dalam jangka panjang, perang dagang ini bukan sahaja tidak membawa keuntungan yang signifikan kepada mana-mana pihak, malah merugikan ekonomi negara-negara yang terlibat. 

Misalnya, analisis Moody’s Analytics menunjukkan bahawa AS mengalami penyusutan KDNK sebanyak 0.3% akibat perang dagang yang berlaku kira-kira enam tahun lalu. Manakala kajian oleh Majlis Peniagaan AS-China (USCBC) pada Januari 2021 mendapati dasar perdagangan Donald Trump telah menjejaskan hampir 250,000 pekerjaan di Amerika Syarikat.

Dasar perdagangan yang bercelaru ini turut membawa kepada ketidaktentuan pasaran saham. Menurut penyelidikan yang dijalankan Bank Rizab Persekutuan New York dan Columbia University, konflik perdagangan yang berlaku ketika era pentadbiran Trump yang terdahulu telah menghilangkan AS$1.7 trilion daripada nilai saham syarikat-syarikat AS.

Di pihak China pula, eksport ke AS merosot dengan ketara, turun 12.5% kepada $419 billion pada tahun 2019, setahun selepas perang dagang bermula. Momentum pertumbuhan ekonomi China juga menjadi lebih perlahan selepas itu, dengan kadar pertumbuhan KDNK mereka tumbuh 6.0% pada tahun 2019, lebih rendah berbanding 6.7% dan 6.9% untuk dua tahun sebelumnya. Antara industri yang paling teruk terjejas ketika itu ialah industri teknologi, termasuk syarikat gergasi seperti Huawei yang turut berdepan tekanan besar akibat sekatan perdagangan. 

Perang Dagang Membebankan Peniaga dan Pengguna

Konflik perdagangan juga meningkatkan kos kepada perniagaan, terutamanya kos untuk menghasilkan barangan. Hal ini berlaku kerana sekatan perdagangan seperti tarif dan duti import akan menyebabkan bahan mentah serta komponen yang diperlukan menjadi lebih mahal. 

Untuk mengekalkan keuntungan, kebanyakan syarikat akan memindahkan peningkatan kos tersebut kepada pengguna akhir. Ini bermaksud, harga barangan yang dijual di pasaran akan meningkat, sekali gus menambahkan beban kepada para pengguna.

Sebagai contoh, perang dagang yang berlaku pada tahun ini dijangka meningkatkan kos pengeluaran iPhone sehingga 46%, menurut TechInsights. Harga iPhone 16 yang dijual dalam pasaran AS juga diramal menjadi 43% lebih mahal, daripada $799 kepada $1,142, berdasarkan unjuran Rosenblatt Securities.

Globalisasi ekonomi yang berlaku dengan pesat sejak beberapa dekad lalu telah menghasilkan sistem ekonomi dunia yang sangat kompleks dan saling bergantung antara satu sama lain. Oleh yang demikian, sebarang gangguan terhadap aliran perdagangan sudah tentu akan mencetuskan kesan berantai yang reaktif kepada ramai pihak. 

Contohnya, meskipun iPhone merupakan produk telefon pintar dari Amerika Syarikat, kebanyakan komponennya dihasilkan dan dipasang oleh kilang-kilang di China. Justeru, sekiranya berlaku ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, proses pengeluaran iPhone akan turut terjejas dan meningkatkan lagi kos pengeluarannya.

Dilema Tawanan dalam Perang Dagang AS-China

Situasi terbaik dan ‘menang-menang’ untuk kedua-dua pihak ialah untuk bekerjasama, kerana ia akan membolehkan kedua-duanya mendapat manfaat pertumbuhan ekonomi dan perdagangan yang kukuh.

Dari sudut teori ekonomi, implikasi perang dagang ini boleh difahami melalui Teori Permainan (Game Theory), khususnya Dilema Tawanan (Prisoner’s Dilemma). Dalam konteks ini, AS dan China sebenarnya mempunyai dua pilihan, sama ada:

(i) bekerjasama dengan mengekalkan perdagangan bebas, atau

(ii) mengenakan tarif antara satu sama lain.

Jika mereka bekerjasama, kedua-dua negara akan mendapat manfaat daripada perdagangan yang lebih terbuka. Walau bagaimanapun, jika satu pihak mengenakan tarif sementara pihak lain tidak, pihak yang mengenakan tarif mungkin boleh memperoleh keuntungan jangka pendek, sementara pihak satu lagi akan mengalami kerugian. 

Manakala jika kedua-duanya mengenakan tarif, AS dan China akan mengalami kerugian besar kerana terpaksa menghadapi peningkatan kos, gangguan rantaian bekalan dan penurunan aktiviti perdagangan.

Oleh yang demikian, menurut teori ini, keputusan yang terbaik boleh dicapai bagi kedua-dua negara adalah untuk bekerjasama dan tidak mengenakan tarif. Namun dalam realiti dunia sebenar, kerjasama ini kadangkala sukar untuk dicapai, sepertimana yang telah berlaku antara AS dan China, disebabkan oleh rasa kurang percaya dan sifat tamak untuk mendominasi perdagangan. Akibatnya, kedua-dua negara cenderung untuk bertindak balas dengan mengenakan tarif, yang mana akhirnya menyebabkan keadaan lebih keruh untuk semua pihak.

Mampukah Amerika Syarikat Menjadi ‘Great Again’ di bawah Trump?

Terdapat pelbagai spekulasi di sebalik mengapa Trump begitu bersungguh-sungguh mahu menghukum China dan melancarkan perang dagang baharu. Namun, satu perkara yang jelas ialah tindakan tersebut bukan semata-mata didorong oleh faktor ekonomi, tetapi juga sangat berkait rapat dengan agenda peribadi beliau untuk memastikan dirinya terus kekal relevan dalam arena politik AS. 

Perkara ini dapat dilihat dalam kempen-kempen beliau dalam pilihan raya Presiden AS, di mana Trump secara konsisten memainkan naratif anti-China. Beliau menggambarkan seolah-olah China adalah musuh terbesar Amerika Syarikat dengan menuduh negara itu sebagai pencuri kekayaan AS, merosakkan keseimbangan perdagangan dan mengancam pekerjaan rakyat Amerika. 

Trump menggunakan naratif ini untuk menarik sokongan dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat dalam pilihan raya tersebut. Slogan popular beliau, “Make America Great Again”, menjadi kunci utama dalam usaha beliau untuk menunjukkan bahawa tindakannya terhadap China adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan kekuatan ekonomi dan maruah Amerika di mata dunia.

Oleh itu, apabila beliau memenangi jawatan Presiden AS untuk kali kedua, terdapat tekanan politik yang kuat daripada para penyokong beliau, termasuk ahli-ahli perniagaan seperti Elon Musk untuk menunaikan janji-janji tersebut, walaupun perang dagang yang digerakkan sebelum ini ternyata gagal memberikan manfaat yang jelas kepada AS.  

Walaupun kesan negatif daripada perang dagang ini sudah terbukti dengan kukuh, dasar perlindungan nampaknya masih menjadi sebahagian daripada strategi utama ekonomi AS. 

Malah, Donald Trump, yang kembali berkuasa sebagai Presiden AS untuk penggal kedua, dilihat mula melancarkan perang tarif terbaru yang lebih agresif, bukan sahaja terhadap China tetapi juga terhadap negara-negara sekutu seperti Singapura, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU). 

Langkah ini bukan sahaja menggugat kestabilan perdagangan global, tetapi juga menambah ketidaktentuan di tengah-tengah pelbagai krisis geopolitik yang sedang berlaku. Ketika dunia masih bergelut untuk bangkit semula setelah dilanda pandemik COVID-19, di samping konflik-konflik berpanjangan seperti perang Rusia-Ukraine dan pergolakan di Timur Tengah, perang dagang AS-China versi baharu ini hanyalah akan menambah tekanan kepada ekosistem perdagangan antarabangsa. 

Tarif yang semakin tinggi akan menyebabkan kos perdagangan meningkat serta rantaian bekalan terganggu, lantas menambahkan ketidaktentuan terutamanya kepada negara-negara ekonomi yang lebih kecil. Jika situasi ini berterusan tanpa kawalan, dunia mungkin berdepan dengan kemelesetan ekonomi yang lebih besar daripada yang dijangkakan. 

Walaupun perang dagang ini pada asalnya berlaku antara AS dan China, kesan konflik ini turut dirasai di seluruh dunia, terutamanya buat negara-negara yang mempunyai hubungan perdagangan erat dengan kedua-dua negara ekonomi terbesar dunia itu. Negara-negara membangun di Asia Tenggara seperti Malaysia, Vietnam dan Thailand berisiko mengalami penurunan permintaan eksport, ketidaktentuan dalam pelaburan asing, serta ketidakstabilan mata wang dan pasaran saham. 

Sebagai contoh baru-baru ini, pasaran saham di kebanyakan negara telah terjejas dengan dahsyat susulan pengumuman tarif timbal balik yang dilakukan oleh Trump. Analisis Bloomberg mendapati kerugian terkumpul daripada pasaran saham selama tiga hari berturut-turut sejak pengumuman Trump telah menghapuskan kira-kira $10 trilion daripada nilai ekuiti global. Jumlah ini bersamaan dengan kira-kira 10% daripada KDNK dunia dan lebih besar daripada KDNK bagi gabungan 150 buah negara.

Dasar ‘flip-flop’ Amerika Syarikat yang secara tiba-tiba menangguhkan pelaksanaan tarif kepada hampir kesemua negara kecuali China juga telah menyebabkan dunia terus dilanda ketidaktentuan. Perusahaan-perusahaan di seluruh dunia terpaksa mengambil langkah berhati-hati, untuk memastikan keputusan perniagaan mereka tidak menyebabkan kerugian akibat impak pelaksanaan tarif.

Perang dagang AS-China adalah contoh bukti yang jelas dan nyata bagaimana dasar perlindungan seperti tarif dan sekatan perdagangan sebenarnya boleh membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.