Bagaimana Pekerja Asing Dieksploitasi di Malaysia

Share it
6.7 juta pekerja asing di Malaysia

Isu kebanjiran pekerja asing di Malaysia sudah sejak sekian lama menjadi topik perbualan masyarakat kita. Gambaran terhadap pekerja asing juga rata-rata negatif, ada juga yang menyalahkan buruh-buruh asing ini terhadap masalah struktur yang dihadapi di negara ini.

Misalnya dengan tuduhan pekerjaan-pekerjaan untuk orang tempatan kini telah dimonopoli oleh pekerja asing. Ataupun kebanjiran warga asing dikaitkan dengan peningkatan kes jenayah di sesuatu kawasan itu. Hakikatnya, dakwaan-dakwaan sedemikian tidak disertakan dengan hujah yang kukuh.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, bilangan pekerja asing yang berada di Malaysia adalah seramai 2.3 juta orang. Walaubagaimanapun, angka ini tidak mengambil kira bilangan pekerja asing yang tidak berdaftar secara sah.

Bilangan Pendatang Asing Tanpa Izin ( PATI ) di Malaysia tidak dapat dipastikan kerana data yang tidak komprehensif. Namun kenyataan Menteri Sumber Manusia, Richard Riot beberapa tahun lalu menganggarkan bahawa terdapat sekitar 6.7 juta pekerja asing sah dan tidak sah di Malaysia.

Jumlah ini jauh lebih tinggi berbanding bilangan pekerja asing yang berdaftar. Angka ini juga menunjukkan bilangan pekerja asing di Malaysia bersamaan dengan 40% daripada keseluruhan tenaga buruh di negara ini.

Kebanjiran pendatang asing di negara ini telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan warga kita. Sudah pasti, jika disebut pendatang ataupun pekerja asing, yang digambarkan di benak fikiran adalah mereka yang datang daripada Bangladesh, Indonesia, Nepal ataupun Myanmar. Bukannya mereka yang berkulit putih yang dilabel sebagai ‘ekspatriat’.

Pekerja asing dikerah bekerja lebih masa

Meskipun perkara ini merunsingkan majoriti rakyat Malaysia, namun hakikatnya, bagi kelompok elit di negara ini, warga asing merupakan sumber keuntungan perniagaan mereka. Penggunaan buruh asing tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding pekerja tempatan kerana tidak perlu membayar gaji yang setara dan kos lain seperti caruman KWSP.

Pekerja-pekerja asing boleh dikerah bekerja lebih masa dan berat dengan lebih mudah kerana mereka tinggal secara berkelompok. Isu tempat tinggal pekerja asing yang sesak juga telah mendapat liputan meluas sebelum ini apabila terdapat penularan jangkitan Covid-19 pekerja asing di sebuah syarikat sarung tangan tempatan sekaligus mewujudkan kluster terbesar di negara ini.

Sudah pasti, segala kemarahan terhadap isu membabitkan warga asing hanya ditujukan kepada warga asing itu sendiri, bukannya majikan mereka yang tidak memberikan layanan yang baik dan mengeksploitasi pekerja-pekerja mereka.

Lebih malang buat pendatang asing tanpa izin kerana mereka dikerah bekerja tanpa upah dan pembelaan yang sewajarnya. Bagi pihak majikan, ” Nothing to Lose “, kerana pekerja-pekerja asing yang tinggal secara tidak sah ini tidak akan mampu menuntut hak-hak mereka dan mengemukakan aduan secara rasmi atas sebab status mereka.

Apa yang lebih menyedihkan bagi sebilangan pekerja asing tanpa izin di Malaysia, status tanpa izin mereka wujud bukannya semata-mata kerana mereka telah menyelinap masuk ke negara ini secara tidak sah. Tetapi adakalanya majikan mereka tidak memperbaharui permit pekerjaan mereka sekaligus menjadikan mereka sebagai pendatang asing tanpa izin.

Dan apabila pihak berkuasa membuat operasi kelak, mereka inilah yang bakal ditangkap sambil pihak media membuat rakaman operasi untuk disiarkan pada sesi berita jam 8 malam. Manakala bagi pihak majikan, ” business as usual “.

Masalah Yang Tidak Akan Selesai

Masalah kebanjiran pekerja asing ini tidak akan selesai selagi tidak ada kesanggupan politik dan ekonomi daripada kerajaan. Pelbagai pihak meraih keuntungan susulan lambakan pekerja asing di Malaysia.

Bagi majikan, mereka mampu menggajikan pekerja pada kadar yang jauh lebih murah. Bagi sebilangan penguatkuasa korup, pekerja asing juga menjadi lubuk mereka membuat duit. Manakala bagi kerajaan, kemasukan pekerja asing secara sah memberikan mereka hasil melalui levi yang dikenakan.

Rakyat Malaysia perlu menyalurkan rasa amarah mereka kepada tempat yang betul bukannya secara terus kepada pekerja asing.

Layanan terhadap pekerja asing di Malaysia juga perlu ditambahbaik terutamanya dari segi tempat tinggal dan suasana kerja. Perkara ini jika tidak ditangani akan memberikan masalah kepada keseluruhan masyarakat seperti mana yang terjadi sebelum ini.

Rakyat Malaysia perlu sedar bahawa layanan terhadap pekerja asing merupakan cerminan struktur sosial di negara ini. Jika pekerja asing tidak mendapat layanan yang sewajarnya, layanan warga tempatan yang berada di tingkat piramid yang paling bawah sekali juga tidak jauh beza daripada layanan yang diterima mereka.

Mereka juga bakal ditindas kelak.