Bagi setiap individu yang mempunyai pendapatan tersendiri di negara ini, boleh dikatakan majoriti pasti pernah membuat pinjaman kewangan daripada bank. Sebagai contohnya, pinjaman untuk membeli kenderaan, hartanah, memulakan perniagaan, mahupun pinjaman peribadi untuk kegunaan tertentu.
Secara asasnya, menambah hutang dengan membuat pinjaman dari institusi kewangan yang sah seperti pihak bank itu bukanlah sesuatu yang salah. Hal ini kerana tidak semua orang mampu untuk membeli aset seperti rumah atau kereta pertama dengan kaedah bayaran tunai, terutamanya mereka yang baru sahaja beberapa tahun melangkah masuk ke alam pekerjaan.
Namun apa yang membimbangkan, insiden keberhutangan dalam kalangan rakyat Malaysia ini diburukkan oleh gabungan beberapa faktor luaran dan dalaman. Antaranya termasuklah tahap pengetahuan kewangan yang lemah dalam kalangan rakyat Malaysia secara amnya. Menurut laporan Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2019-2023, 1 daripada 3 merasakan diri mereka mempunyai tahap pengetahuan kewangan yang rendah.
Dalam masa yang sama, kebanyakan pekerja di Malaysia masih tersangkut dalam tangga gaji yang begitu rendah, meskipun memiliki kelayakan akademik yang tinggi dan pengalaman bekerja yang panjang.
Sebagai contoh, seorang pekerja yang berusia dalam lingkungan 30-34 tahun di Malaysia hanya menerima penengah gaji sebanyak RM2,392 sahaja. Gaji yang diterima mereka ini lebih rendah daripada gaji kehidupan wajar sebanyak RM2,700 yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2018, meskipun mereka mempunyai pengalaman bekerja hampir 10 tahun (dengan andaian mereka mula bekerja ketika umur 24 tahun sejurus tamat pengajian).
Tidak cukup dengan itu, mereka turut diuji dengan krisis kenaikan kos sara hidup yang saban tahun mencengkam ‘survival’ anak-anak muda ini.
Isu-isu sebeginilah yang menyebabkan ramai rakyat Malaysia terpaksa membuat pinjaman, lantas dibelenggu hutang-hutang yang berisiko menjejaskan kewangan mereka sekiranya tidak diuruskan dengan baik. Nisbah hutang dalam kalangan isi rumah di Malaysia kepada KDNK negara pada ketika ini adalah sekitar 81.2%, menurut BNM.
Umum diketahui, apabila sesebuah pinjaman dilakukan, terdapat dua komponen yang perlu dibayar oleh seseorang peminjam, iaitu bayaran prinsipal serta bayaran faedah. Amalan yang biasa digunakan oleh bank-bank di kebanyakan negara, termasuklah di Malaysia dalam membuat pengiraan bayaran faedah bagi pembiayaan sewa beli (hire purchase) ialah dengan mengenakan Peraturan 78.
Secara mudahnya, Peraturan 78 ini dikira berdasarkan jumlah bulan dalam masa setahun, iaitu 1 ditambah 2, 3, 4 … sehinggalah 12, lalu menyamai angka 78. Disebabkan ini Peraturan 78 turut dikenali dengan nama lain iaitu ‘the sum of the digits’.
Peraturan 78 = 1 + 2 + 3 + 4 + 5 + 6 + 7 + 8 + 9 + 10 + 11 + 12
Menerusi Peraturan 78 ini, bank-bank terlebih dahulu membuat pengiraan bayaran faedah lebih awal berdasarkan tempoh pinjaman yang diambil. Bayaran faedah akan dikira sebanyak 12/78 daripada prinsipal bagi bulan pertama, 11/78 bagi bulan kedua, 10/78 bagi bulan ketiga, sehinggalah di bayaran ansuran terakhir, peminjam perlu membayar faedah sebanyak 1/78 daripada prinsipal.
Peraturan 78 ini sememangnya menguntungkan pihak bank, namun berisiko merugikan peminjam yang ingin melunaskan pinjaman lebih awal dari tempoh perjanjian.
Secara teorinya, pembayaran faedah yang dikira menggunakan Peraturan 78 ini tidak ada bezanya dengan bayaran faedah yang dikira secara dengan kaedah faedah mudah (simple interest), dengan syarat peminjam membayar mengikut jadual yang telah ditetapkan. Di akhir pembayaran ansuran, kedua-dua kaedah ini mempunyai jumlah bayaran faedah terkumpul yang sama.
Namun begitu, masalah akan timbul sekiranya peminjam mahu menamatkan hutang mereka dengan melangsaikan pinjaman lebih awal dari yang sepatutnya. Hal ini kerana mereka sudah pun membuat bayaran faedah yang lebih tinggi semasa awal-awal ansuran. Peraturan 78 ini seolah-olah memaksa peminjam untuk membuat bayaran faedah yang lebih mahal di peringkat awal, lantas merugikan peminjam yang ingin menamatkan hutang mereka dengan lebih awal.
Menggunakan contoh yang sama seperti di atas, katakanlah peminjam tersebut berhasrat untuk membayar kesemua pinjaman yang diambil lebih awal pada bulan kedua tempoh pinjaman, berbanding bulan kedua belas seperti yang sepatutnya. Maka, pemberi pinjaman (pihak bank) dalam situasi ini sudah pun meraih keuntungan berdasarkan 23/78 (bulan pertama 12/78 + bulan kedua 11/78) daripada bayaran faedah, atau sebanyak RM1474.36 yang sudah pun dibayar oleh peminjam semasa bulan pertama dan kedua bayaran ansuran.
Masalah pada Peraturan 78 ini turut ditekankan dalam sebuah kertas kajian oleh James H. Hunt, bekas Pesuruhjaya Bank dan Insurans Vermont yang berjudul “The Rule of 78: Hidden Penalty for Prepayment in Consumer Credit Transactions”. Beliau menyifatkan kaedah pengiraan berdasarkan Peraturan 78 ini ibarat mengenakan ‘denda’ kepada peminjam yang ingin melangsaikan hutang mereka lebih awal.
Peraturan 78 juga seakan-akan tidak memberikan pemangkin atau motivasi buat para peminjam yang berkemampuan agar segera melangsaikan hutang mereka. Menamatkan hutang dengan segera wajar digalakkan bagi membolehkan mereka mengurangkan komitmen bulanan yang perlu ditanggung serta memberi ruang untuk membina simpanan masing-masing dengan lebih terancang.
Maka disebabkan ini tidak hairanlah sesetengah negara maju seperti UK, Australia dan New Zealand mengharamkan penggunaan Peraturan 78 ini dalam pengiraan pembayaran faedah pinjaman.
Baru-baru ini, Pasukan Petugas Lembaga Pemantauan Kredit Pengguna (CCOB), sebuah badan berkanun dan kawal selia di bawah Kementerian Kewangan, menyarankan agar pelaksanaan Peraturan 78 dalam industri perbankan komersial di negara ini dimansuhkan. Pemansuhan ini disebut sebagai satu usaha bagi menaik taraf Akta Sewa Beli 1967 supaya lebih selari dengan perkembangan pasaran kewangan semasa yang lebih moden.
CCOB turut cadangkan supaya Peraturan 78 ini digantikan dengan kaedah baki berkurangan (reducing balance method) yang lebih adil buat para peminjam. Menerusi kaedah baki berkurangan ini, bayaran faedah dikira dengan mengambil kira baki pinjaman yang masih tinggal setelah pembayaran dilakukan setiap bulan. Kaedah ini lebih adil berbanding Peraturan 78 yang terlebih dahulu membuat perkiraan bayaran faedah lebih awal tanpa langsung mengambil kira faktor baki pinjaman yang semakin lama semakin berkurangan.
Mengambil contoh dari laporan CCOB tersebut, katakan seseorang itu membuat pinjaman sebanyak RM100,000 selama tempoh 108 bulan (sembilan tahun), dengan kadar faedah 10%. Apabila masuk tahun ketiga (bulan ke-36) dalam tempoh pinjaman, beliau membuat keputusan untuk menamatkan pinjaman lebih awal. Maka, dia harus membayar jumlah yang tertunggak sebanyak RM86,456.51, iaitu RM5,582.24 lebih mahal berbanding sekiranya menggunakan kaedah baki berkurangan (RM80,874.27).
Perbezaan bayaran penyelesaian awal antara Peraturan 78 vs Kaedah Baki Berkurangan
Cadangan daripada CCOB ini harus dipandang serius, dengan menyemak semula rasional di sebalik pelaksanaan Peraturan 78 ini samada hanyalah sebagai satu ‘trick’ dari institusi perbankan untuk mengaut keuntungan tanpa disedari.
Meskipun terdapat rebat yang ditawarkan pihak bank kepada peminjam yang melunaskan baki pinjaman pada tempoh yang lebih awal, namun kiraan rebat ini sering kali tidak dimaklumkan kepada peminjam dengan jelas apabila mereka menandatangani perjanjian untuk mendapatkan pinjaman.
Sebuah akta yang dinamakan sebagai Akta Kredit Pengguna (CCA) juga dijangka dimuktamadkan menjelang akhir tahun ini bagi melindungi pengguna di Malaysia. Lebih-lebih lagi apabila ketika ini terdapat banyak institusi kewangan bukan bank yang menawarkan pinjaman kredit serta pembelian atas talian dalam bentuk hutang menerusi konsep “Buy Now Pay Later”, yang berisiko menjejaskan kewangan rakyat Malaysia sekiranya tidak berhati-hati.
Kerajaan kini sedar bahawa mereka perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal selia industri perbankan di negara ini bagi menjamin kesejahteraan kewangan rakyat Malaysia, terutamanya mereka yang membuat pinjaman dari bank-bank.
Apatah lagi ruang akses terhadap kredit telah semakin meluas seiring dengan perkembangan ekonomi digital. Kekurangan kawal selia daripada pihak berkuasa boleh menimbulkan huru-hara, seperti mana yang berlaku di Amerika Syarikat dan Switzerland dimana bank-bank besar seperti Silicon Valley Bank dan Credit Suisse terperosok di dalam krisis pasaran kewangan.