Belanjawan 2021 – Kerajaan Terlalu Optimis

Belanjawan 2021 - Kerajaan Terlalu Optimis
Share it

Kerajaan Malaysia telah mengumumkan Belanjawan 2021 pada Jumaat lalu yang menyaksikan negara akan berbelanja RM322.5 bilion pada tahun hadapan. Belanjawan ini merupakan belanjawan terbesar yang pernah dibentangkan oleh kerajaan bagi mengharungi krisis Covid-19 yang tidak berkesudahan.

Sebanyak RM236.5 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan operasi seperti membayar gaji penjawat awam, faedah hutang, pencen pesara dan sebagainya. Manakala RM69 bilion lagi diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan seperti membina sekolah ataupun membuat pembelian aset-aset.

Sejumlah RM17 bilion lagi diperuntukan untuk Dana Covid-19 bagi memberi ruang kepada kerajaan melaksanakan langkah-langkah yang diperlukan bagi menangani Covid-19.

Kerajaan telah mengumumkan beberapa inisiatif bagi meringankan beban rakyat Malaysia dalam menghadapi situasi yang sukar ini. Bantuan Prihatin Rakyat sebagai contoh memanfaatkan isi rumah B40 dan M40 yang bakal menerima sehingga RM1,800 pindahan tunai daripada kerajaan dengan jumlah peruntukan RM6.5 bilion.

Kerajaan juga turut meneruskan program subsidi upah secara bersasar kepada sektor pelancongan dan peruncitan selama tiga bulan lagi. Pekerja yang berpendapatan RM4,000 kebawah akan menerima subsidi upah sebanyak RM600 sebulan daripada kerajaan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion.

Namun disebalik inisiatif-inisiatif baik yang dibentangkan di dalam Belanjawan 2021 ini, terdapat kelemahan yang nyata di dalam fundamental Belanjawan kali ini.

Apa yang terserlah adalah kerajaan begitu optimis dengan angka-angka pertumbuhan dan jangkaan ekonomi pada tahun 2021. Sebagai contoh, kerajaan mengunjurkan hasil dari cukai pendapatan sebanyak RM42.4 bilion pada tahun hadapan.

Angka ini adalah tidak realistik dan tidak masuk akal kerana ia 10% lebih tinggi berbanding jumlah hasil yang diperoleh pada tahun 2019 ( RM38.6 bilion ) iaitu sebelum Covid-19 melanda. Selain itu, kerajaan turut memutuskan untuk memotong satu mata peratusan cukai pendapatan bagi mereka yang berpendapatan RM50,001 sehingga RM70,000.

Bagaimanakah kerajaan ingin menambah 10% hasil dari cukai pendapatan sedangkan kerajaan sendiri memotong kadar peratusan cukai pendapatan. Ini tidak mengambil kira kehilangan pekerjaan-pekerjaan berpendapatan tinggi seperti juruterbang dan jurutera kapal terbang yang memberi kesan langsung kepada bilangan pembayar cukai pendapatan.

Unjuran cukai korporat turut menunjukkan kerajaan begitu optimis bahawa pemulihan dan perkembangan ekonomi bakal berlaku dengan pantas pada tahun 2021. Kerajaan mengunjurkan untuk meraih RM64.6 bilion cukai korporat pada tahun hadapan, iaitu lebih tinggi berbanding tahun 2019 iaitu sebanyak RM63.7 bilion.

Keadaan seperti ini memerlukan keajaiban untuk berlaku kerana umum mengetahui bahawa ekonomi negara diramalkan terus suram untuk tempoh beberapa bulan yang akan datang. Dengan jumlah kes Covid baru mencecah empat angka saban hari, aktiviti ekonomi tidak diramalkan tidak akan pulih seperti biasa dalam masa yang tedekat.

Kegiatan pelancongan yang memberi sumbangan RM100 bilion kepada ekonomi negara pada tahun-tahun lalu tidak dapat memberikan sumbangan yang serupa pada tahun hadapan. Sempadan negara kelihatan seperti akan terus ditutup dari kunjungan luar manakala aktiviti pelancongan domestik juga kini semakin terhad sejak gelombang ketiga melanda.

Oleh itu, hampir mustahil bagi kerajaan untuk mengutip cukai korporat setinggi yang diharapkan dengan prospek dari Industri Kecil dan Sederhana yang kian suram.

Selain daripada itu, kerajaan juga mengulangi kesilapan yang serupa seperti dilakukan awal tahun ini dengan memberikan bantuan RM600 kepada kesemua penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

Harus diingatkan bahawa penjawat awam merupakan pekerja dan individu yang paling tidak terkesan dengan Covid-19 ini. Tidak ada seorang pun kakitangan kerajaan yang dibuang kerana kerajaan terpaksa mengecilkan saiz perkhidmatan.

Kakitangan kerajaan juga akan menerima gaji bulanan mereka pada masa yang telah ditetapkan. Ini berbeza dengan keadaan pekerja-pekerja yang makan gaji dimana berkemungkinan besar gaji mereka lambat dibayar disebabkan keadaan ekonomi yang amat genting ketika ini.

Bagi pekerja yang bekerja sendiri seperti Mak Cik Kiah, mereka mungkin tidak dapat berniaga kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat yang dilaksanakan semula. Jika mereka dapat berniaga sekali pun, pendapatan mereka pasti berkurang kerana ramai yang bekerja dari rumah.

Golongan seperti Mak Cik Kiah ini, sering kali dipinggirkan. Jika dahulu, mereka dapat memohon Geran Khas Prihatin sebanyak RM3,000. Kini, tiada lagi bantuan sedemikian terhadap mereka.

Oleh itu, peruntukan yang ada patut digunakan dengan cermat dan sebaiknya. Jumlah bantuan RM600 patut dialihkan kepada golongan seperti Mak Cik Kiah atau mereka yang kehilangan kerja. Jumlah bantuan ini mungkin tidak besar tetapi bagi mereka yang berada di dalam keadaan terdesak, ia lebih bermakna berbanding jika diberikan kepada penjawat awam yang mana pekerjaan mereka terjamin serta tiada kebimbangan gaji masuk lewat.

Peruntukan lain seperti RM85 juta kepada JASA juga perlu diteliti semula bagi memastikan Belanjawan ini diluluskan oleh majoriti ahli parlimen. Harus diingatkan, Belanjawan kali ini merupakan Belanjawan berisiko tinggi kerana terdapat kemungkinan ia akan ditolak oleh ahli parlimen termasuk yang berada di dalam kerajaan.

Kegusaran ini bukan sekadar propaganda politik tetapi realiti yang dihadapi oleh kerajaan semasa. Menteri Kewangan sendiri menyuarakan kebimbangan mengenai risiko Belanjawan 2021 tidak diluluskan yang mana perkara ini tidak sepatutnya menjadi sebuah isu jika kerajaan tersebut benar-benar mempunyai sokongan kukuh majoriti dari ahli parlimen.

Pengundian usul Belanjawan 2021 dijadualkan bakal berlangsung pada 23 November ini bukan sahaja mengenai perbekalan tetapi bakal menjadi pengukur dan petunjuk sokongan ahli parlimen terhadap kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *