Belanjawan 2022 yang dibentangkan Jumaat minggu lalu mendapat reaksi bercampur baur dalam kalangan pemerhati ekonomi. Dengan saiz Bajet sebesar RM322.1 bilion, kerajaan sudah pasti berharap ia dapat merancakkan ekonomi negara pada masa hadapan untuk mendapatkan pertumbuhan positif yang maksimum.
Kedudukan fiskal kerajaan sudah pastinya lebih terikat dengan defisit hampir RM100 bilion pada tahun hadapan. Kerajaan mengunjurkan defisit fiskal akan berkurangan pada tahun-tahun mendatang kepada purata 4.5% berbanding 6.0% untuk tahun 2022.
Belajar dari kesilapan lalu, kerajaan pada tahun ini agak konservatif di dalam meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia. Pertumbuhan ekonomi tahun 2022 diunjurkan sekitar 4.5% hingga 5.5% pada tahun hadapan berbanding Bajet 2021 dimana Kementerian Kewangan pada awalnya mengunjurkan pertumbuhan diantara 6.5% hingga 7.5% sebelum menurunkan unjuran kepada 3.0% hingga 4.0%.
Hasil kerajaan untuk tahun hadapan dianggarkan sekitar RM234 bilion, lebih rendah berbanding hasil yang dikutip pada tahun 2019 dimana kerajaan merekodkan hasil sebanyak RM264 bilion.
Perbelanjaan berkembang yang dilaksanakan kerajaan ini dijangka tidak akan berlanjutan untuk tempoh beberapa tahun yang akan datang. Hal ini kerana sebahagian besar perbelanjaan kerajaan dibiayai melalui hutang yang telah memberi tekanan terhadap pengurusan fiskal dalam jangka masa panjang.
Meskipun hutang negara berada di bawah paras statutori 65% ( RM890.7 bilion ) pada akhir Jun tahun ini, Namun dari sudut perbelanjaan khidmat hutang, kadar perbelanjaan untuk tujuan ini telah meningkat melangkaui 15% berbanding keseluruhan perbelanjaan operasi.

Pada tahun 2019, Malaysia hanya membelanjakan sekitar RM32.9 bilion ( 12.5% ) daripada keseluruhan perbelanjaan operasi untuk tujuan membayar faedah hutang. Pada tahun hadapan, bayaran khidmat hutang akan melonjak kepada RM43.1 bilion ( 18.5% ).
Ini bermaksud di dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kerajaan perlu mencari jalan lain untuk menambah sumber hasil kerajaan ataupun terpaksa mengurangkan perbelanjaan.
Komponen lain yang memberi tekanan fiskal kepada kerajaan adalah pembayaran pencen yang menelan belanja sebanyak RM28 bilion ( 12% berbanding perbelanjaan operasi ) pada tahun hadapan, meningkat berbanding RM25.9 bilion ( 9.8% ) pada tahun 2019.
Cukai Makmur
Setelah menolak sebarang pelaksanaan cukai keuntungan luar biasa pada tahun lalu, kerajaan akhirnya mengambil keputusan untuk memperkenalkan cukai makmur, sebuah cukai one-off yang dikenakan buat syarikat-syarikat besar.
Kadar 33% cukai korporat bakal dikenakan bagi pendapatan bercukai melebihi RM100 juta, lebih tinggi berbanding kadar cukai korporat semasa iaitu pada 24%.

Menurut Timbalan Menteri Kewangan II, pelaksanaan cukai makmur akan menambah pendapatan negara sekurang-kurangnya sebanyak RM3 bilion. Rekod di Bursa Malaysia menunjukkan pada tahun lalu, terdapat sekitar 125 syarikat yang meraih keuntungan kasar melebihi RM100 juta.
Langkah ini sudah pasti akan memberi kesan terhadap agihan dividen pada tahun hadapan yang mungkin memberi kesan kepada orang ramai. Syarikat terbesar di Malaysia seperti Maybank misalnya dimiliki sebahagian besar ( 67% ) oleh GLIC melalui Permodalan Nasional Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Kumpulan Wang Persaraan.
Syarikat-syarikat gergasi lain seperti Public Bank, CIMB Group dan Tenaga Nasional juga tidak terkecuali daripada pegangan besar institusi-institusi kewangan ini.
Reaksi pasaran turut negatif dengan pengenalan cukai ini. Pada Isnin lalu, indeks KLCI telah menjunam 30 mata ataupun bersamaan kira-kira RM30 bilion nilai modal pasaran susulan pengumuman pelaksanaan cukai ini. Sudah pasti bukan trade-off yang baik buat kerajaan di dalam usaha mengorek sekitar RM3 bilion hasil daripada cukai ini.

Alternatif lain…..
Kerajaan sudah pasti boleh memikirkan alternatif lain yang lebih tertumpu kepada sektor-sektor yang merekodkan keuntungan luar biasa. Industri sarung tangan misalnya telah meraih keuntungan berlipat ganda. Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan bahawa industri sarung tangan telah merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM13.3 bilion pada tahun lalu, meningkat 12 kali ganda berbanding tahun sebelumnya.
Jika kerajaan mengenakan cukai sebanyak RM3 bilion buat industri ini, keuntungan mereka masih jauh lebih besar berbanding apa yang direkodkan pada tahun sebelumnya iaitu RM1.1 bilion pada tahun 2019.
Rujuk artikel ini : Syed Saddiq Desak Kenakan Cukai Keuntungan Luar Biasa Kepada Syarikat Pengeluar Sarung Tangan
Gaji Minimum Tidak Disemak Semula
Gaji minimum Malaysia yang kekal tidak berubah untuk tempoh lebih dua tahun masih lagi dikekalkan oleh kerajaan. Bagi pemilik modal, langkah ini memberi ruang untuk terus menggajikan pekerja tanpa tambahan kos selain menggalakkan perusahaan untuk mengambil pekerja baru sekaligus mengurangkan kadar pengangguran.
Walaubagaimanapun, dari sudut jangka masa panjang. Langkah membiarkan gaji minimum kekal bertakung sudah pasti akan mengagalkan usaha Malaysia untuk menaikkan pendapatan isi rumah kepada lebih RM10,000 sebulan seperti mana yang terkandung di dalam Rancangan Malaysia Ke-12.
Begitu juga dengan sasaran untuk menaikkan pampasan pekerja kepada 40% berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar.
Menaikkan gaji minimum tatkala dunia dilanda krisis bukanlah sesuatu yang asing. Negara-negara lain seperti New Zealand, Turki dan Australia antara negara yang meningkatkan gaji minimum buat pekerja mereka pada tahun lalu.
Isu gaji juga perlu dilihat secara bergandingan dengan soal simpanan masa tua rakyat. Tambahan lagi setelah Ketua Pegawai Strategi KWSP mendedahkan hanya 3% pencarum mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara pada masa depan kelak setelah kerajaan membenarkan pengeluaran simpanan persaraan.

Prospek 2022
2022 bakal menjadi tahun pemulihan yang sebenar buat Malaysia selepas pemulihan yang tertangguh akibat penularan luar biasa Covid-19 pada tahun ini. Jika dilihat pada angka-angka perdagangan, perusahaan-perusahaan besar telah merekodkan prestasi yang memberangsangkan.
Sehingga September tahun ini, nilai perdagangan Malaysia telah merekodkan pertumbuhan 23% kepada RM1.6 trilion berbanding tempoh yang sama tahun lalu. Tidak mustahil negara bakal mencapai nilai dagangan melebihi RM2 trilion menjelang akhir tahun dan akan meneruskan momentum pada tahun hadapan.
Namun bagi golongan pekerja, tahun 2022 mungkin akan mula memberi sinar kepada mereka. Gaji dijangka kekal rendah sementara menunggu aktiviti ekonomi kembali bergerak pada kadar maksimum sebelum lebih ramai pekerja digajikan.
Sektor-sektor hiburan seperti kelab malam, konsert dan sebagainya mungkin akan terpaksa menunggu untuk sedikit masa lagi sebelum dibenarkan beroperasi.