Benarkah Rakyat Tidak Patuh SOP? Ayuh Lihat Data Bercerita

Rakyat Tidak Patuh SOP
Share it

Tuduhan rakyat tidak patuh Standard Operating Procedure ataupun SOP sudah kerap kali bergema dari pelbagai pihak berautoriti. Bukan itu saja, rakyat juga kadang kala dipersalahkan atas peningkatan mendadak kes-kes baru Covid-19.

Penasihat Kesihatan Awam Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood pula menggesa rakyat mengubah tingkah laku dalam usaha memerangi pandemik ini.

Perubahan tingkah laku dapat dilihat secara kasar dalam kalangan masyarakat. Pemakaian pelitup muka sudah menjadi kemestian manakala solat berjemaah kini dijarakkan. Meskipun begitu, boleh dilihat kadang kala rakyat agak sukar menjaga jarak fizikal bersama orang lain terutamanya di kawasan yang padat seperti pasar raya.

Namun begitu ayat-ayat di atas hanyalah sebuah kenyataan berdasarkan pemerhatian peribadi dan bukannya berasaskan fakta.

Bagi membolehkan kita mengukur tahap kepatuhan rakyat terhadap SOP, Ekonomi Rakyat meneliti data-data yang dikeluarkan oleh Google, Apple dan SELANGKAH.

Data Google sebagai contoh mengukur pergerakan pengguna telefon pintar melalui lokasi. Menurut Google, pergerakan ke kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi telah menurun 50% berbanding garis asas pada 19 Januari 2021 apabila kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Garis asas yang ditetapkan oleh Google adalah berdasarkan data yang dipungut pada 3 Januari sehingga 6 Februari 2020 dimana negara belum terkesan dengan impak Covid-19 ini.

Berbanding sebelum PKP2.0 dimana negara melaksanakan PKP Bersyarat, kadar pergerakan ke atas kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi jatuh dari sekitar 15% kepada 50% sekaligus menunjukkan PKP memberikan impak yang besar kepada pergerakan rakyat.

Data yang dikeluarkan Google melalui Covid-19 Mobility Report menunjukkan tahap kepatuhan rakyat yang tinggi. Sehingga 31 Januari, pergerakan kekal rendah iaitu dibawah 50% berbanding garis asas. Namun laporan terbaru yang dikeluarkan pada 9 Februari menunjukkan berlaku peningkatan pergerakan sebanyak 8% dari -50% kepada -42% berikutan langkah kerajaan membenarkan pelbagai aktiviti ekonomi untuk beroperasi.

Pergerakan ke pejabat juga menunjukkan penurunan sebanyak 30% berbanding garis asas manakala pergerakan ke taman-taman pula jatuh sehingga 60%.

Kesan PKP2.0 jauh lebih kecil berbanding PKP1.0 yang dilaksanakan pada Mac tahun lalu. Data menunjukkan pergerakan ke kedai-kedai peruncitan dan lokasi rekreasi jatuh 78% pada PKP1.0. Pergerakan ke tempat kerja pula jatuh melangkaui 50%.

Apple turut memberikan petunjuk yang serupa mengenai langkah PKP2.0 dimana data mereka menunjukkan terdapat pengurangan pemanduan sebanyak 27% manakala terdapat kejatuhan lebih 40% oleh mereka yang berjalan kaki.

 

Aplikasi SELANGKAH yang menyimpan data perjalanan rakyat Selangor turut melakukan tinjauan dalam mengukur persepsi dalam kalangan masyarakat.

Hampir 92% responden menyatakan bahawa individu di hadapan mereka memakai pelitup muka dengan betul manakala selebihnya mengatakan tidak. Responden bagi soalan ini agak tinggi dimana terdapat lebih 940,000 orang telah menjawab soalan.

Lebih kurang 89% responden juga berpendapat bahawa pengunjung lain yang memasuki premis ( perniagaan ) turut memakai sanitiser sebelum memasuki premis. 91% responden turut menyatakan bahawa pengunjung di premis ketika mereka berada mengamalkan penjarakan fizikal.

Dalam kata lain, data-data tinjauan yang dikeluarkan menunjukkan terdapat perubahan tingkah laku dalam kalangan masyarakat dari segi pergerakan dan tatacara ketika keluar dari rumah. Rakyat juga berpendapat bahawa majoriti besar rakyat di negara ini patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

 

Ahli pentadbiran serta individu-individu yang berautoriti perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan agar ia tidak menjatuhkan motivasi rakyat Malaysia dalam mengekang penularan wabak ini. Mungkin seruan untuk mengubah tingkah laku ini perlu dibuat terhadap segelintir pemimpin yang kerap kali kantoi berada di dalam keadaan tidak patuh SOP.

 

Data SELANGKAH boleh diakses di [ sini ]