British – Kartel Candu di Malaya

Share it
Kedai Candu di Malaya – Gambar oleh BritishEmpire.co.uk

Tanah Melayu sememangnya terkenal dengan kekayaan khazanah alam yang menjadi punca utama pendapatan British selama lebih satu abad. Pada tahun 1926, dagangan British dari Tanah Melayu dianggarkan berjumlah £264 juta, lebih besar daripada dagangan koloni-koloni British di seluruh dunia.

Pada tahun 1938 dimana dagangan Malaya jatuh lebih separuh kepada £121 juta, angka ini lebih besar berbanding jumlah dagangan dari semua negeri jajahan British di Afrika. Bahkan angka ini menyamai separuh daripada dagangan di India. Tidak hairanlah Malaya dikenali sebagai ” Dollar Arsenal of the British Empire “.

Namun di sebalik angka-angka besar hasil daripada pendudukan British di Malaya, terselit sebuah kisah yang jarang diceritakan kepada umum mengenai operasi British sebagai kartel candu terbesar di Malaya.

Candu pada mulanya dibawa oleh imigran-imigran Cina yang tiba di Malaya yang kebanyakannya datang sebagai buruh kasar. Pada awalnya, majikan-majikan diberikan lesen untuk menjual candu kepada pekerja-pekerja mereka di Malaya yang pada ketika itu dianggap sebagai sebuah tabiat normal.

Di Tanah Melayu, candu juga popular dalam kalangan pembesar-pembesar Melayu dan dianggap sebagai sebahagian daripada gaya hidup elit.

Menyedari potensi keuntungan yang lumayan dalam industri ini, pihak British terus mengambil peranan sebagai pengimport tunggal dan memperkenalkan Opium Revenue Farming System pada tahun 1890. Penjajah British membawa masuk candu-candu yang ditanam di India untuk disasarkan kepada buruh kasar Cina di Tanah Melayu.

Hasil Candu di Negeri-Negeri Selat

Data pada tahun 1898 menunjukkan terdapat 61,750 pengguna candu Cina di Negeri-negeri Melayu Bersekutu. Terdapat juga 1,300 orang Melayu yang turut menjadi pengguna candu.

Di Negeri-Negeri Selat, hasil dari penjualan candu telah meningkat daripada $694,505 pada tahun 1875 kepada $5,346,000 pada tahun 1905. Candu memainkan peranan penting buat ekonomi Negeri-Negeri Selat kerana sebahagian besar wang yang dikutip datang dari hasil penjualan candu.

Pada tahun 1875, peratusan hasil candu berbanding hasil keseluruhan British di Negeri-Negeri Selat hanyalah 45.1%. Namun lima tahun kemudiannya, hasil candu telah meningkat ke paras tertinggi iaitu 56.7% dari keseluruhan pendapatan Negeri-Negeri Selat.

Gabenor Sir F. Weld pada tahun 1882 sanggup mengorbankan pendapatan yang lebih tinggi bagi memastikan harga candu kekal rendah agar pengguna dapat terus membelinya. Namun tidak bagi Frank Swettenham, beliau pada tahun 1904 telah meningkatkan harga candu bagi memaksimumkan pendapatan daripada jualan candu.

Pasaran candu British bukan sahaja di Malaya tetapi terletak juga di China. Bahkan pada tahun 1839, berlaku Perang Candu diantara Dinasti Qing dan British apabila Qing telah memusnahkan candu yang diimport secara haram di Humen.

Dinasti Qing tewas dalam peperangan tersebut dan terpaksa menandatangani perjanjian “berat sebelah” yang pertama iaitu Perjanjian Nanjing yang menyebabkan tanah Hong Kong diletakkan dibawah bidang kuasa British.

Pedagang British juga tidak perlu lagi akur dengan Sistem Canton dan mendapat hak untuk berdagang sesuka hati di lima pelabuhan persetiaan (treaty ports).

Pada tahun 1858, sebuah lagi perjanjian “berat sebelah” iaitu Perjanjian Tianjin dimeterai setelah Dinasti Qing tewas sekali lagi dengan pihak British (dan Perancis). Dinasti Qing terpaksa menghalalkan pengimportan candu pada tahun yang sama.

Import Candu ke China Meningkat Sehingga 6,500 tan pada Tahun 1880

Pada tahun 1880, China dilaporkan mengimport 6,500 tan candu dari India yang dibawa oleh pedagang British, meningkat dari 4,232 tan pada tahun 1863 iaitu lima tahun selepas penggunaan candu dihalalkan.

Perdanganan candu di China, Tanah Melayu dan jajahan-jajahan lain telah menyalurkan keuntungan yang lumayan kepada empayar British. Antara syarikat yang meraih laba besar dari perdagangan candu adalah Jardine Matheson, kini sebuah konglomerat yang tersenarai di bursa saham di London dan Singapura. Syarikat ini dahulu merupakan pengeksport utama candu di China yang juga merupakan arkitek utama kepada Perang Candu di sana.

Manakala di Malaya, tauke-tauke Cina kebiasannya diberikan monopoli oleh pihak British untuk menjual candu kepada imigran-imigran Cina.

Hasil jualan candu mendatangkan keuntungan luar biasa dalam kalangan tauke-tauke ini. Sehinggakan ada saudagar dari Pulau Pinang mempunyai pegangan monopoli jualan candu di Singapura. Ada juga saudagar kaya dari Singapura yang mempunyai kepentingan di dalam monopoli candu di Hong Kong.

Namun hasil keuntungan daripada perniagaan candu tidak kekal lama.

Di Britain, terdapat gerakan anti candu yang menentang perdagangan candu oleh British sejak tahun 1874. Gerakan ini berjaya menerima sokongan ramai pada awal abad ke-20 dan telah mencapai matlamat mereka apabila British menghentikan perdagangan candu di India dan China pada tahun 1913.

Di Negeri-Negeri Selat, jualan candu secara besar-besaran mula berkurangan apabila kerajaan British menghentikan sistem lesen menjual candu pada tahun 1926 sekaligus mengakibatkan jumlah kedai runcit candu jatuh daripada 700 buah kedai kepada 50 buah kedai.

Kisah kartel-kartel dadah kini sering dijadikan siri drama oleh penyiar kandungan video di internet. Namun tidak ramai yang mengetahui sebuah empayar gagah juga pernah menjadi kartel dadah terbesar bukan saja di Malaya bahkan juga di dunia. ‘Kartel-kartel’ ini juga tidak teragak-agak untuk melancarkan perang jika operasi mereka terganggu.