Pasaran saham sering kali menjadi indikator bagi sesetengah pihak untuk mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara. Indeks Bursa Malaysia yang menjunam sejurus Pakatan Harapan mengambilalih Putrajaya menjadi ‘peluru’ buat bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam mengkritik pentadbiran PH.
Menurut beliau di dalam hantaran Facebooknya, pasaran saham Malaysia telah merekodkan trend menaik sejak tahun 2009 menjadikan Bursa Malaysia sebagai ” the world’s longest bull run “. Indeks Bursa Malaysia telah naik dari sekitar 900 mata pada tahun 2009 kepada hampir 1,900 mata pada April 2018 dengan jumlah nilai pasaran sekitar RM1.9 trilion.
Bursa Malaysia mula menjunam dari sekitar 1,850 mata pada Mei 2018 kepada 1,588 mata pada penghujung tahun 2019. Kejatuhan Indeks Bursa Malaysia sebanyak 14% ini menjadi keluhan ramai pihak apabila ia telah menjejaskan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Amanah Saham Bumiputera mereka. Parti-parti pembangkang menjadikan isu ini sebagai modal dalam mengkritik kerajaan dalam menguruskan ekonomi ketika itu.
KWSP masing-masing mencatatkan dividen sebanyak 6.15% dan 5.45% pada tahun 2018 dan 2019. Pulangan ini jauh lebih rendah berbanding dividen 6.90% yang diagihkan pada tahun 2017. Manakala ASB pula mengagihkan dividen dan bonus sebanyak 7.0% pada 2018 dan 5.50% pada tahun 2019.
Pada tahun 2020, ASB mengumumkan pengagihan dividen terendah di dalam sejarah dengan hanya 4.25%. Sempena ulangtahun ke-30 ASB, agihan ehsan diberikan sebanyak 0.75% kepada 30,000 unit pertama buat penyimpan ASB.
Namun begitu, tatkala ratusan ribu pekerja terjejas dengan krisis Covid-19, pedagang-pedagang saham mula berkongsi keuntungan yang dibuat mereka di media-media sosial. Saham-saham syarikat sarung tangan seperti Top Glove, Supermax dan HartaLega menjadi lubuk mereka membuat duit.
Fenomena yang disebut Glovemania ini memberi impak yang besar buat pasaran saham kita. Pada Oktober lalu, Top Glove dan HartaLega mempunyai modal pasaran setinggi RM77 bilion dan RM62 bilion. Modal pasaran mereka jauh lebih tinggi berbanding Tenaga Nasional yang merupakan satu-satunya pengeluar tenaga di Malaysia dengan modal pasaran sebanyak RM57.5 bilion.
Krisis Covid-19 telah mengakibatkan Bursa Malaysia turun ke paras terendah pada Mac 2020 kepada 1,200 mata yang menyaksikan penurunan indeks sebanyak 25% berbanding awal tahun 2020. Namun begitu, pasaran mula rancak selepas itu dan sehingga kini, indeks Bursa Malaysia telah naik 33% dan telah kembali ke paras sebelum krisis.
Kenaikkan pasaran saham ini juga seiring dengan peningkatan kes Covid baru di Malaysia.
Dalam masa yang sama, data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan menunjukkan ekonomi kekal suram. Pada suku kedua tahun ini, ekonomi menguncup 17.1% berbanding tempoh yang sama tahun lalu manakala pada suku ketiga pula KDNK jatuh 2.7%.
Namun berita-berita kurang enak ini langsung tidak mengakibatkan pasaran saham jatuh.
Fenomena ini tidak hanya berlaku di Malaysia. Bahkan di Amerika Syarikat, Indeks Standard & Poor 500 ( S&P 500 ) telah naik ke paras tertinggi sepanjang zaman dengan kini berada pada 3,735 mata. Berbanding paras terendah pada Mac lalu, indeks ini telah meningkat 66% tatkala lebih 11 juta orang dilaporkan menganggur di Amerika Syarikat.
Bilionair-bilionair seperti Jeff Bezos dan Elon Musk turut mencatatkan peningkatan di dalam kekayaan mereka. Kekayaan Elon Musk sebagai contoh telah meningkat dari $20 bilion pada penghujung tahun 2019 kepada kira-kira $147 bilion pada Disember 2020 manakala kekayaan Jeff Bezos pula meningkat dari $114 bilion kepada $191 bilion dalam tempoh yang sama.
Yang Kaya Semakin Kaya
Di Amerika Syarikat, data yang dikeluarkan oleh Federal Reserve menunjukkan golongan elit Tertinggi 1% mendominasi pasaran ekuiti dengan aset bernilai $15.9 trilion. Manakala kumpulan Terbawah 50% pula hanya mempunyai $0.18 trilion aset di dalam pasaran ekuiti berdasarkan data suku ketiga tahun ini.
Dalam erti kata lain, golongan Tertinggi 1% di Amerika Syarikat mengawal 50% pasaran ekuiti berbanding Terbawah 50% pula hanya mempunyai 0.6% pegangan di dalam pasaran ekuiti.
Meskipun di Malaysia kita tidak mempunyai data seperti ini. Namun data yang dikeluarkan ASB dan KWSP boleh dijadikan sebagai proksi bagi menunjukkan bahawa hanya golongan berada saja yang meraih manfaat daripada kenaikkan pasaran saham ini. ASB sebagai contoh pada tahun 2018 melabur sekitar 74% dari keseluruhan aset mereka di pasaran ekuiti manakala KWSP pula melabur 39% di dalam pasaran ekuiti berdasarkan data terbaru mereka.
Laporan Tahunan ASB pada tahun 2018 menunjukkan bahawa 7.7 juta pemegang akaun ASB hanya mempunyai purata RM553 di dalam akaun mereka. Ini bermaksud jika mereka memperoleh dividen untuk tahun 2020, mereka hanya meraih dividen sebanyak RM28.
Manakala terdapat 23,304 orang pemegang akaun ASB ataupun bersamaan dengan 0.24% dari keseluruhan penyimpan mempunyai simpanan sebanyak RM798,434. Dalam kata lain, jika tahun ini mereka menerima dividen ASB, mereka memperoleh sekurang-kurangnya RM33,900.
Tidak sampai 10% daripada keseluruhan 10 juta penyimpan ASB mempunyai lebih dari RM50,000 simpanan di ASB.
Di KWSP, golongan Terbawah 10% hanya mempunyai kira-kira RM1,062 purata simpanan di dalam akaun persaraan mereka. Sementara itu, golongan Tertinggi 10% mempunyai simpanan 388 kali lebih besar dengan purata simpanan RM421,961.
Kiraan Ekonomi Rakyat menunjukkan simpanan KWSP mempunyai pekali Gini setinggi 0.646. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding pekali Gini untuk jurang pendapatan yang berada pada paras 0.407.
Jurang Ketidaksamaan Akan Semakin Melebar Selepas Covid-19
Jurang Ketidaksamaan diantara golongan kaya dan golongan miskin bakal melebar selepas krisis Covid-19 ini berakhir. Langkah-langkah pencegahan Covid seperti perintah kawalan pergerakan telah memberi impak yang besar kepada golongan bawahan.
Individu seperti Mak Cik Kiah yang menjual nasi lemak di hadapan rumah mengalami kekurangan pendapatan kerana orang ramai tidak keluar rumah. Bartender di hotel-hotel terkemuka pula kehilangan pekerjaan kerana hotel tidak menerima pelancong-pelancong luar.
Manakala mereka yang berkemahiran tinggi seperti eksekutif pula kurang terkesan dengan krisis ini. Kebanyakkan mereka mampu untuk bekerja dari rumah.
Data yang dikeluarkan oleh Bloomberg menunjukkan kekayaan golongan bilionair di Malaysia telah kembali pulih seperti keadaan sebelum Covid. Laporan The Malaysian Reserve beberapa hari lalu juga menunjukkan golongan elit di Malaysia seolah-olah kebal dari sebarang krisis apabila jumlah kapal terbang peribadi yang dijual pada tahun 2020 telah meningkat 100% kepada empat unit berbanding dua unit pada tahun 2019.
Covid-19 juga mengajar kita pasaran saham bukanlah petunjuk yang baik untuk menilai prestasi ekonomi sesebuah negara. Bak kata pepatah Orang Putih, “ The Stock Market Is Not The Economy “. Hanya segelintir individu yang sudah kaya saja yang berjaya meraih keuntungan dari pasaran ekuiti ini ketika ini.
Sementara itu, golongan marhaen di Malaysia terpaksa mengikat perut dalam mengharungi hari-hari yang mendatang. Bahkan, wang simpanan persaraan mereka di hari tua juga terpaksa dikeluarkan bagi menampung perbelanjaan mereka ketika ini.