Setiap kali Belanjawan dibentangkan, ahli-ahli ekonomi dan penyelidik di seluruh pelusuk negara akan membangkitkan isu kekurangan hasil oleh Kerajaan Malaysia. Pembatalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan ( GST ) dikatakan menjadi punca mengapa hasil yang dijana oleh Kerajaan semakin berkurangan tatkala negara terpaksa berbelanja besar tambahan lagi ketika menghadapi pandemik.
Pada tahun hadapan, Malaysia yang akan berbelanja sekitar RM332 bilion dijangka mengalami defisit fiskal sebanyak 6.0%. Hasil Malaysia pada tahun ini diunjurkan berkurang dari RM225 bilion pada 2020 kepada RM221 bilion susulan krisis kesihatan yang berlanjutan.
Pada tahun hadapan, kerajaan Malaysia diramalkan meraih hasil sebanyak RM234 bilion iaitu bersamaan dengan 14.3% daripada keseluruhan saiz ekonomi negara. Jumlah ini jauh lebih kecil berbanding peratusan hasil yang dijana Kerajaan pada tahun 2009 iaitu bersamaan dengan 22.3% daripada saiz ekonomi.
Isu ini mendapat perhatian daripada Bank Dunia di dalam laporan ‘ Aiming High, Navigating the next stage of Malaysia’s Development ‘. Badan ini menyatakan bahawa pendapatan yang dihasilkan oleh Putrajaya terlalu rendah jika dibandingkan dengan negara-negara berpendapatan tinggi yang lain.
Seperti contoh, Kerajaan Kanada meraih pendapatan sebanyak 39% daripada keseluruhan saiz ekonomi manakala Kerajaan New Zealand pula menjana 38% daripada keseluruhan ekonomi mereka. Menurut Bank Dunia, purata hasil Kerajaan oleh negara-negara berpendapatan tinggi adalah sebanyak 36%.
Meningkatkan hasil kerajaan adalah satu langkah penting bagi pentadbiran sesebuah negara itu melaksanakan program-program sosial dan pembangunan buat rakyat mereka. Negara-negara yang disebut diatas misalnya mempunyai jaringan keselamatan sosial yang luas terhadap rakyat mereka.
New Zealand umpamanya mempunyai subsidi penjagaan kanak-kanak selain elaun tunai kepada pelajar universiti. Bantuan pengangguran serta pencen turut disediakan. Begitu juga dengan Kanada yang menyediakan pelbagai skim bantuan seperti bantuan perumahan serta bantuan-bantuan am yang lain.
Kesemua ini dibiayai melalui hasil cukai yang dipungut kerajaan. Kanada mengenakan cukai GST sebanyak 5% manakala New Zealand pula sebanyak 13%. Cukai pendapatan pula dikenakan tinggi meskipun memperoleh gaji pada kadar upah minimum ( kerana upah minimum yang sudah pun tinggi ).
Manakala di Malaysia, anda hanya mula membayar cukai pendapatan jika bergaji lebih RM3,500 sebulan. Menurut kenyataan di Parlimen, hanya 15% daripada keseluruhan pekerja di Malaysia yang membayar cukai pendapatan.
Ini bermaksud, sebahagian besar daripada pekerja Malaysia memperoleh pendapatan yang begitu rendah. Data terbaru menunjukkan separuh daripada 13.5 juta pekerja di Malaysia memperoleh gaji kurang dari RM2,062 sebulan.
Melangkaui GST
Ramai ahli ekonomi menyarankan Kerajaan untuk memperkenalkan semula GST bagi meluaskan sumber percukaian negara setelah pentadbiran Pakatan Harapan memansuhkan cukai ini sejurus mereka merampas Putrajaya.
Namun disebabkan situasi ekonomi yang kurang memberangsangkan, pengenalan cukai GST bukanlah satu langkah yang dialu-alukan. Hal ini kerana perubahan struktur cukai lebih afdal dibuat ketika ekonomi berada pada fasa kitaran yang sihat.
GST di Malaysia umpamanya diperkenalkan pada tahun 2015 iaitu tujuh tahun setelah Malaysia terjerumus di dalam Krisis Kewangan Global.
Satu lagi perkara yang kian kali dibangkitkan adalah isu ketirisan. Kebimbangan ini ada asasnya, Indeks Persepsi Rasuah oleh Transparency International menunjukkan bahawa prestasi Malaysia semakin buruk saban tahun. Pada tahun 2020, kedudukan Malaysia jatuh enam anak tangga ke kedudukan ke-57.
Keputusan ini selari dengan dapatan Ipsos dimana hanya 19% rakyat Malaysia berpendapat bahawa ahli politik boleh dipercayai. Manakala tahap kepercayaan terhadap menteri kerajaan hanyalah sebanyak 24%.
Kajian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pula mendapati berlaku ketirisan di dalam agihan kontrak terhadap kontraktor Bumiputera. 10% hingga 15% daripada nilai kontrak diagihkan kepada pelobi atau orang tengah manakala 13% hingga 15% lagi diagihkan kepada kumpulan politik dan birokrat.
Laporan Ketua Audit Negara ( LKAN ) 2020 yang terbaru menunjukkan bertapa besarnya ketirisan yang berlaku di dalam negara kita. Sebanyak RM620 juta kerugian wang awam dapat dikenalpasti di dalam LKAN 2020 yang merangkumi sebahagian kecil sahaja perbelanjaan Kerajaan.
Sebagai contoh, sebanyak RM499 juta dibayar kepada kontraktor projek Rangkaian Trunk Radio Bersepadu Kerajaan meskipun tidak memenuhi KPI yang ditetapkan. Kerajaan juga dilaporkan telah membayar kos pekerja syarikat konsesi meskipun 12 daripada 38 pekerja yang dinamakan bukanlah pekerja syarikat konsesi tetapi anak syarikat yang lain.
Di dalam audit yang lain, LKAN mendapati bahawa berlaku ketirisan yang besar di dalam perolehan di Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Ladang Semenyih. Menurut audit, kontrak rundingan terus bernilai RM871,500 di sekolah tersebut mempunyai kos anggaran semasa sebanyak RM170,342 sahaja.
Sekolah terbabit dilaporkan membayar RM140,000 bagi kos memasang bidai tingkap kepada kontraktor dimana kos anggaran sebenar hanyalah sekitar RM18,614 sahaja. Kos mengecat bangunan juga dicaj pada harga yang mahal sebanyak RM190,200 sedangkan LKAN menganggarkan kos sebenar hanya sekitar RM22,162.
Isu-isu ketirisan seperti ini yang menjadi barah dalam perolehan kerajaan menyebabkan rakyat menentang pengenalan cukai-cukai baru. Bagi mereka, cukai-cukai yang dikutip akhirnya akan dibazirkan dan hanya menguntungkan sebilangan pihak sahaja.
Sedangkan matlamat asal percukaian adalah untuk memastikan kebajikan rakyat terjaga melalui program dan inisiatif Kerajaan.
Di dalam Belanjawan 2022, kerajaan telah memberi komitmen bahawa negara akan melaksanakan amalan fiskal yang mampan. Sudah pasti meluaskan sumber percukaian adalah satu aspek penting dalam memastikan kewangan negara berada di dalam keadaan sihat.
Namun di sudut lain, Kerajaan juga perlu memastikan bahawa ketirisan seperti ini dapat dielakkan agar setiap ringgit wang yang dikutip Kerajaan dapat dikembalikan kepada rakyat Malaysia.