Dividen KWSP 2019 Dijangka Rendah

Share it

Pengumuman dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja ( KWSP ) merupakan salah satu pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia selain daripada pengumuman agihan pendapatan Amanah Saham Bumiputera ( ASB ). Kebiasaannya, dividen KWSP diisytiharkan sekitar pertengahan bulan Februari sehingga awal Mac.

Tabung pencen yang mempunyai saiz dana sebesar RM830 bilion ini mengharungi detik yang sukar pada tahun lalu. Dengan jangkaan penambahan dana dari pencarum sebanyak RM30 bilion pada tahun 2019, KWSP berdepan cabaran yang hebat untuk memenuhi harapan lebih 14 juta ahlinya yang inginkan pulangan yang kompetitif.

Namun suasana pasaran pada tahun lalu kelihatan tidak memberangsangkan. Indeks Bursa Saham Kuala Lumpur terus menjunam pada tahun lepas dengan kejatuhan indeks FBM KLCI sebanyak 6.09%. Ini bermaksud bahawa pasaran saham negara ini meneruskan momentum menurun selepas jatuh 5.91% pada tahun 2018.

Impaknya semestinya dapat dirasai oleh KWSP yang melaburkan kira-kira 36% dana mereka di dalam pasaran ekuiti dengan jumlah pelaburan sebanyak RM347 bilion. Sebanyak 73% daripada pelaburan itu dilaburkan di dalam pasaran ekuiti tempatan sekaligus memberikan tekanan yang kuat buat KWSP untuk mengekalkan prestasi sedia ada.

Tahun lalu, KWSP mengumumkan dividen sebanyak 6.15% untuk simpanan konvensional manakala 5.9% untuk simpanan syariah. Purata dividen yang diisytiharkan oleh KWSP untuk 4 tahun yang lalu bermula 2015 adalah 6.2875% dimana angka ini agak mustahil untuk dicapai pada 2019.

Manakala agihan pendapatan ASB hanyalah 5.5% dimana pulangan ini adalah yang terendah dicatatkan oleh ASB sejak tahun 1990. Oleh itu, agak sukar untuk KWSP memberikan pulangan yang lebih kompetitif untuk tahun 2019 berbanding tahun-tahun lalu dengan mengambil kira saiz dana yang begitu tinggi.

Berapa Jangkaan Dividen KWSP untuk Tahun 2019?

Berdasarkan beberapa laporan suku tahunan yang dikeluarkan oleh pihak KWSP, jangkaan dividen untuk tahun 2019 kelihatan tidak begitu positif. Pendapatan pelaburan kasar untuk tiga suku pertama tahun 2019 merekodkan pendapatan yang lebih rendah berbanding tahun 2018.

Sebagai contoh, KWSP hanya mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM9.7 bilion pada suku pertama tahun lalu dimana jumlah ini jauh lebih rendah jika dibandingkan pada tahun 2018 dimana KWSP mencatatkan pendapatan RM12.9 bilion. KWSP mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM35.5 bilion pada sembilan bulan pertama 2019 dimana jumlah ini lebih rendah jika dibandingkan pada tahun 2018 dimana KWSP mencatatkan pendapatan sebanyak RM39.9 bilion.

Dengan saiz dana yang kian bertambah serta suasana ekuiti yang tidak menentu, agak sukar buat mereka untuk mengumumkan dividen setinggi tahun 2018. Jika dividen KWSP turut menurun 1.5% seperti mana yang berlaku terhadap agihan ASB, dividen KWSP untuk tahun 2019 dijangkakan sekitar 4.65%.

Peruntukan Aset KWSP sehingga Suku Kedua 2019

Follow us on