Dua Syarikat Dominasi Hampir Keseluruhan Operasi Pelabuhan di Malaysia – Laporan Suruhanjaya Persaingan

Share it
Dua Syarikat Monopoli Hampir Keseluruhan Operasi Pelabuhan di Malaysia

Suruhanjaya Persaingan Malaysia ( MyCC ) di dalam laporan tinjauan pasaran terbaru mereka terhadap sektor pengangkutan menunjukkan bahawa operasi pelabuhan di Malaysia didominasi oleh dua syarikat sahaja.

Menurut laporan setebal 337 muka surat itu, anggaran pegangan pasaran oleh MMC Corporation Berhad dan Westport Holdings Berhad adalah sekitar 91%. MMC yang merupakan syarikat tersenarai dengan modal pasaran hampir RM6 bilion mengendalikan beberapa pelabuhan di Malaysia termasuklah Northport di Pelabuhan Klang, Pelabuhan Tanjung Pelepas, Pelabuhan Johor dan Pelabuhan Tanjung Bruas di Melaka.

Anggaran kawalan pasaran yang dipegang oleh MMC di dalam sektor pelabuhan adalah sekitar 66% diikuti oleh Westport sebanyak 25% yang mengendalikan pelabuhan barat di Pelabuhan Klang.

Menurut MyCC, rancangan penswastaan pada tahun 1990 telah menyumbang kepada dominasi kedua-dua syarikat berkenaan. MyCC mencadangkan agar berlaku perubahan dasar berkenaan dengan perjanjian konsesi bagi mengurangkan kesan buruk terhadap situasi persaingan di dalam industri pelabuhan.

Pelabuhan merupakan cabang utama logistik negara dimana hampir keseluruhan aktiviti import dan eksport di Malaysia melalui proses ini. Kedua-dua pengendali pelabuhan terbesar di Malaysia iaitu MMC dan Westport meraih hasil sebanyak RM6.5 bilion pada tahun 2020 dengan keuntungan selepas cukai lebih RM1 bilion.

Laporan MyCC turut mendapati tujuh syarikat perkapalan di Malaysia dianggarkan mempunyai pegangan pasaran sebanyak 45%. MyCC berkata terdapat kemungkinan berlaku kerjasama bagi menaikkan caj perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan mereka dalam kalangan pemain industri.

Perodua dianggarkan punyai kawalan pasaran sebanyak 43%

Selain itu, isu waranti kenderaan juga disentuh oleh MyCC di dalam laporan ini. Menurut MyCC, dalam kalangan kenderaan penumpang, Perodua mendominasi pasaran dengan 43% pegangan pasaran diikuti oleh Proton dan Honda masing-masing pada 21% dan 12%.

Langkah pengeluar kenderaan yang membatalkan waranti jika pemilik kereta menggunakan perkhidmatan bengkel-bengkel luar berkemungkinan akan menghalang persaingan di dalam industri pembaikan dan penyelenggaraan kenderaan.

Data yang dikutip oleh MyCC juga mendapati bahawa tempoh waranti yang diperkenalkan oleh pengeluar kenderaan telah dipanjangkan dari sekitar tiga hingga empat tahun pada tahun 2007 kepada lima hingga sembilan tahun pada tahun 2021.

Oleh itu, MyCC mencadangkan agar kerajaan serta persatuan pengguna untuk mendesak pengeluar-pengeluar kenderaan untuk mengeluarkan klausa yang menghalang daripada pembeli untuk menggunakan perkhidmatan bengkel dan servis luar.

Pengeluar kenderaan telah memanjangkan tempoh waranti mereka

Laporan tersebut turut menyatakan terdapat bengkel-bengkel francais 3S/4S yang berada di bawah seliaan syarikat induk menghantar kereta pelanggan yang perlu dibaiki kepada bengkel-bengkel luar apabila mereka tidak mempunyai kemampuan untuk membaikpulih kenderaan tersebut.

Situasi ini menurut MyCC akan menyebabkan pengguna terpaksa membayar pada harga yang mahal kerana terpaksa menghantar kenderaan di bengkel francais agar waranti kereta mereka tidak terbatal. Isu lain yang turut diketengahkan adalah terma dan syarat yang tidak jelas di dalam perjanjian waranti yang mungkin akan menyebabkan salahfaham dan kekeliruan dalam kalangan pengguna.