edotco, Carsome & AirAsia Digital Tersenarai Sebagai Unicorn Malaysia

Lokasi Syarikat-syarikat Unicorn di Asia Tenggara

Laporan Credit Suisse, ASEAN Unicorn menyenaraikan tiga syarikat tempatan sebagai syarikat persendirian dengan penilaian melebihi $1 bilion ( RM4.15 bilion ). Tiga syarikat tersebut adalah edotco, Carsome dan AirAsia Digital.

edotco merupakan penyedia perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi yang telah didokong oleh Axiata. Syarikat ini mempunyai kepakaran bagi menyediakan penyelesaian di dalam perkhidmatan menara telekomunikasi termasuklah dari sudut operasi dan penyelenggaraan.

Menurut Reuters, edotco dinilai sekitar $2 hingga $2.2 bilion pada tahun lalu dan mempunyai cawangan di pelbagai negara termasuklah di Bangladesh, Kemboja, Sri Lanka dan Myanmar.

Laporan Credit Suisse mendapati syarikat ini telah berjaya meraih dana sebanyak $700 juta melalui transaksi yang dijalankan pada tahun 2017. Turut melabur di dalam syarikat ini adalah Kumpulan Wang Amanah Pekerja ( KWAP ) dan Khazanah Nasional.

AirAsia Digital turut tidak terlepas berada di dalam senarai ini dengan penilaian sebanyak $1 bilion. Tiga entiti utama syarikat ini iaitu Teleport, BigPay serta AirAsia.com telah mewujudkan sebuah SuperApp yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggan.

Pada tahun 2020, AirAsia Digital dilaporkan merekodkan hasil sebanyak $108.5 juta.

Dengan penilaian sebanyak $1.3 bilion, Carsome juga tersenarai dalam kalangan tiga unicorn Malaysia. Syarikat yang diasaskan pada tahun 2015 ini telah meraih dana sekitar $285 juta dengan $170 juta diraih pada September lalu. Antara syarikat yang melabur di dalam startup ini adalah MediaTek, Catcha Group serta Penjana Capital.

Teknologi Kewangan & e-Dagang Sektor Yang Menyumbang Kepada Kewujudan Unicorn di Rantau ini

Menurut Credit Suisse, Carsome telah menguruskan lebih 100,000 urusniaga jual beli kenderaan dengan nilai transaksi sekitar RM3.3 bilion pada tahun 2019. Walaubagaimanapun, seperti syarikat-syarikat startup lain, Carsome masih merekodkan kerugian pada tahun tersebut sebanyak RM245 juta.

35 Unicorn ASEAN

Negara-negara ASEAN yang merupakan sebuah rantau yang pesat membangun telah berjaya mewujudkan 35* syarikat unicorn. Syarikat teknologi kewangan dan e-dagang seperti Akulaku, Ovo, Matrixport dan Lazada antara nama-nama besar yang mempunyai penilaian melangkaui $1 bilion.

*tidak termasuk Grab dan Kredivo yang berada di dalam proses penyenaraian

67% daripada unicorn-unicorn di Asia Tenggara terletak di Singapura dan Indonesia. Manakala Malaysia dan Vietnam masing-masing mempunyai tiga unicorn diikuti Filipina ( dua buah syarikat unicorn ) dan Indonesia ( sebuah syarikat unicorn ).

Antara faktor yang mendorong kepada pertambahan bilangan unicorn di rantau ini adalah kewujudan lebih banyak populasi kelas pertengahan susulan perkembangan ekonomi yang memberangsangkan sejak sepuluh tahun lalu.

Selain itu, penembusan telefon pintar dan sambungan internet di negara-negara ASEAN turut membolehkan syarikat-syarikat unicorn ini menawarkan perkhidmatan mereka secara atas talian dengan kebanyakan unicorn di rantau ini menawarkan perkhidmatan perniagaan mereka terus kepada pengguna.

Senarai Penuh Syarikat Unicorn di Asia Tenggara

Unicorn Malaysia…

Dengan infrastruktur yang secara relatifnya lebih baik berbanding negara-negara jiran, penyenaraian tiga syarikat unicorn tempatan bukanlah sesuatu yang membanggakan buat Malaysia. Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi ( MOSTI ) beberapa minggu lalu juga telah menyasarkan untuk mewujudkan lima buah lagi syarikat unicorn dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun demikian, isu ekosistem buat syarikat-syarikat baru mungkin akan terus menjadi cabaran dalam usaha mewujudkan syarikat bernilai tinggi pada masa hadapan. Meskipun isu saiz pasaran seringkali menjadi halangan utama buat startup, Singapura telah membuktikan bahawa perkara ini boleh ditangani dengan pendekatan yang baik.

NinjaVan misalnya berjaya mengembangkan perniagaan logistik mereka ke pelbagai negara meskipun pasaran logistik di negara tersebut agak terhad.

Manakala Indonesia pula berjaya menawarkan pelbagai perkhidmatan secara atas talian meskipun tidak mempunyai infrastruktur telekomunikasi yang maju seperti Malaysia. Isu pendapatan yang rendah juga tidak menjadi masalah buat mereka.

Setelah kehilangan Grab kepada Singapura beberapa tahun lalu, Malaysia bukan saja perlu menyokong syarikat-syarikat startup baru ini, tetapi turut perlu memastikan agar mereka mengekalkan ibu pejabat dan operasi mereka di negara ini.

Share via
Copy link