Setiap kali hampir tiba ke penghujung tahun, tumpuan akan terarah pada pembentangan belanjawan negara di Dewan Rakyat. Kebiasaannya, belanjawan atau bajet negara ini akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan pada hari Jumaat sekitar bulan Oktober atau November, sebelum bermulanya tahun fiskal yang seterusnya.
Mungkin bagi yang tekun mengikuti pembentangan bajet pada setiap tahun sudah biasa dengan terma-terma seperti perbelanjaan pembangunan, perbelanjaan mengurus, defisit fiskal dan sebagainya. Namun, untuk mendengar dan memahami ucapan belanjawan yang memakan masa berjam-jam di Parlimen ini bukanlah sebuah aktiviti yang seronok sepertimana menonton drama-drama di Netflix.
Pun begitu, kesedaran rakyat terhadap agenda pembangunan negara merupakan antara perkara yang patut diketengahkan bagi memastikan mereka lebih peka ke manakah wang negara dibelanjakan, serta dalam masa yang sama dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam menilai keberkesanan sebarang program atau insentif yang diumumkan.
Hal ini kerana rakyat adalah pemegang taruh paling terbesar. Sama ada mereka benar-benar akan menerima manfaat ataupun tidak, kesemuanya bergantung pada sejauh manakah kejayaan Kerajaan serta kementerian-kementerian dan agensi-agensi di bawahnya dalam merealisasikan apa yang telah dijanjikan dalam belanjawan tersebut.
Apa Fungsi Belanjawan Negara?
Belanjawan negara atau Rang Undang-Undang Perbekalan mempunyai beberapa fungsi penting dalam mencorak hala tuju pembangunan ekonomi negara dalam masa yang terdekat, terutamanya dari aspek perbelanjaan dan hasil.
Menerusi bajet yang dibentangkan, Kerajaan akan mencadangkan langkah-langkah untuk meningkatkan hasil negara, antaranya melalui mekanisme cukai. Selain itu, belanjawan ini juga akan mengumumkan perbelanjaan-perbelanjaan yang telah dikenal pasti untuk tempoh setahun yang berikutnya, seperti penyelenggaraan dan pembinaan infrastruktur awam, penyediaan perkhidmatan keselamatan dan pendidikan buat rakyat serta anggaran kos pentadbiran melibatkan gaji penjawat awam misalnya.
Bajet tahunan yang diumumkan ini dirangka dengan mengambil kira polisi-polisi ekonomi jangka masa sederhana dan panjang. Secara mudahnya, perancangan pembangunan di Malaysia terbahagi kepada tiga tahap masa, iaitu pendek, sederhana dan panjang.
Bajet tahunan jatuh di bawah kategori perancangan jangka pendek. Sementara itu, Rancangan Malaysia yang dilaksanakan bagi tempoh setiap lima tahun termasuk dalam kategori perancangan jangka sederhana. Model-model ekonomi seperti Dasar Ekonomi Baru (1971-1990) dan Model Baru Ekonomi (2011-2020) merupakan antara contoh perancangan bersifat jangka panjang.
Ketiga-tiga tahap perancangan ini akan bergerak seiring serta melengkapi satu sama lain dalam menuju matlamat pembangunan ekonomi yang sama untuk Malaysia. Tujuan pelan ekonomi ini dipecahkan ke jangka masa pendek dan sederhana ialah supaya lebih mudah untuk Kerajaan mengenal pasti gerak kerja yang perlu dilakukan untuk mencapai objektif ekonomi yang disasarkan dalam perancangan jangka panjang.
Sewaktu ucapan pembentangan bajet, Menteri Kewangan akan membentangkan laporan ekonomi pada tahun tersebut, beserta laporan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan dan laporan Anggaran Perbelanjaan Kerajaan Persekutuan.
Apa Perbezaan Antara Perbelanjaan Pembangunan dan Perbelanjaan Mengurus?
Malaysia mengamalkan sistem ‘dwi-belanjawan’, iaitu perbelanjaan pembangunan yang disediakan oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) di bawah Akta Kumpulan Wang Pembangunan 1966, manakala perbelanjaan mengurus pula diletakkan di bawah Kementerian Kewangan menerusi Akta Tatacara Kewangan 1957.
Perbelanjaan pembangunan lebih tertumpu kepada projek-projek yang bertujuan sebagai pelaburan jangka panjang bagi menyokong pembangunan ekonomi dan sosial. Peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan akan diagihkan kepada empat sektor, iaitu ekonomi, sosial, keselamatan dan pentadbiran am. Antara projek-projek pembangunan ini termasuklah pembinaan dan penyelenggaraan infrastruktur dan kemudahan awam seperti sekolah, jalan raya dan hospital.
Perbelanjaan pembangunan ini akan disalurkan menerusi kementerian-kementerian. Antara kementerian yang sering menjadi penerima perbelanjaan pembangunan yang terbesar ialah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan.
Manakala bagi perbelanjaan mengurus pula merupakan perbelanjaan pentadbiran yang diperlukan secara berterusan dari tahun ke tahun untuk membiayai pengurusan dan pentadbiran negara. Contoh perbelanjaan mengurus termasuklah emolumen, pencen, ganjaran dan gratuiti, hutang, caj perkhidmatan, bekalan dan perkhidmatan, subsidi dan perbelanjaan lain-lain.
Bagaimana Belanjawan Negara Dirancang dan Diluluskan?
Bagi menyediakan perbelanjaan pembangunan, amalan yang biasa dilakukan ialah EPU akan mengeluarkan pekeliling bagi menjemput kementerian-kementerian, agensi-agensi Kerajaan serta badan berkanun yang berkaitan bagi mengenal pasti projek-projek baharu yang perlu dilaksanakan atau sebarang projek sedia ada yang perlu diteruskan. Bahagian Sektoral EPU akan menilai keutamaan projek-projek yang dicadangkan dengan mengambil kira siling perbelanjaan yang telah ditetapkan lebih awal dalam Rancangan Malaysia.
Cadangan projek-projek ini akan dinilai keutamannya dari beberapa aspek, antaranya termasulah sama ada ia selari dengan matlamat pembangunan negara serta amalan pengurusan kewangan awam yang baik. Antara kriteria yang diberikan penekanan termasuklah dari sudut daya maju projek, sejauh manakah ia mampu menyokong pertumbuhan, keperluan sosial, lokasi serta prospek pembasmian kemiskinan.
Seterusnya, perbincangan lanjut akan dijalankan bersama EPU, Kementerian Kewangan serta agensi-agensi berkaitan, sebelum dimuktamad dan diserahkan kepada Kementerian Kewangan. Kementerian Kewangan akan memainkan peranan dengan membentangkan kedua-dua cadangan perbelanjaan pembangunan dan mengurus untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen.
Belanjawan negara atau Rang Undang-Undang Perbekalan akan melalui tiga proses, iaitu pembentangan di Dewan Rakyat, sebelum dibahas dan diundi dalam kalangan ahli-ahli parlimen. Seterusnya, bajet tersebut akan dibawa untuk diluluskan oleh Dewan Negara dan Yang di-Pertuan Agong.
Apa Isu dan Cabaran Dalam Belanjawan Negara?
Secara keseluruhannya, pembentangan belanjawan memberi petunjuk yang baik terhadap hala tuju ekonomi dalam tempoh yang terdekat. Mesej yang jelas akan dapat disampaikan kepada para pelabur mengenai perancangan ekonomi negara, sekali gus berpotensi menarik lebih banyak pelaburan ke Malaysia.
Namun, terdapat beberapa isu yang wajar diketengahkan untuk memperbaiki mutu perancangan perbelanjaan di negara ini. Hal ini kerana, perancangan perbelanjaan ini bukannya memakan kos seringgit atau dua ringgit, bahkan menelan belanja berbilion-bilion saban tahun.
Belanjawan Negara Perlu Lebih Telus dan Terbuka
Antaranya yang boleh diperbaiki ialah aspek ketelusan dan keterbukaan maklumat yang lengkap dalam pembentangan belanjawan negara. Malaysia hanya memperolehi skor 47/100 dalam Open Budget Index 2021, sekali gus meletakkan Malaysia di ranking 57 daripada 120 buah negara. Indeks ini mengukur sejauh manakah tahap ketelusan, penyeliaan dan penyertaan awam dalam bajet negara.
Antara faktor yang menyebabkan Malaysia memiliki skor yang rendah ialah disebabkan maklumat-maklumat yang begitu terhad dikongsikan kepada rakyat sewaktu pengumuman bajet. Kerjasama Bajet Antarabangsa yang dibangunkan berdasarkan amalan dan standard yang digariskan oleh IMF dan OECD telah mencadangkan agar lapan jenis dokumen diterbitkan sepanjang kitaran bajet, termasuklah kenyataan pra-bajet, cadangan bajet eksekutif, kajian separuh tahun, laporan audit, bajet penduduk.
Kajian lanjut oleh IDEAS (2016) mendapati Malaysia hanya menerbitkan lima dokumen sahaja. Malah, analisis-analisis penting seperti analisis sensitiviti serta analisis impak liabiliti terhadap kedudukan kewangan Kerajaan juga tidak dimuatkan dalam dokumen-dokumen berkaitan belanjawan negara. Ketiadaan maklumat-maklumat sebegini menjadikan agak sukar untuk dinilai sejauh manakah perbelanjaan-perbelanjaan yang dicadangkan ini akan memberi kesan terhadap kewangan negara.
Saiz Perbelanjaan Mengurus yang Semakin Menggunung
Selain itu, antara isu yang turut mendapat perhatian sejak akhir ini ialah saiz perbelanjaan mengurus yang terlalu besar serta bertambah pada setiap tahun. Misalnya, anggaran perbelanjaan mengurus mencecah RM289 bilion bagi tahun 2023, atau mewakili hampir 75% daripada keseluruhan bajet yang diperuntukkan.
Antara penyumbang utama kepada saiz perbelanjaan mengurus yang besar ini ialah emolumen atau gaji penjawat awam beserta bayaran pencen pesara Kerajaan. Gaji penjawat awam dan pencen pesara Kerajaan masing-masing mewakili kira-kira 24% dan 8% daripada keseluruhan anggaran bajet pada tahun ini.
Di kebanyakan negara maju, sistem pencen ‘defined-benefit (DB)’ sebegini sudah semakin banyak yang berubah ke arah sistem pencen ‘defined-contribution’ yang menekankan aspek caruman pekerja, berbanding hanya sumbangan majikan semata-mata. Di Malaysia, sistem caruman KWSP adalah bersifat ‘defined-contribution (DC)’ yang lebih ‘win-win’ buat kedua-dua pihak pekerja dan majikan.
Baru-baru ini, terdapat desakan supaya pencen ahli-ahli parlimen ditukarkan kepada caruman KWSP untuk mengurangkan beban Kerajaan. Penukaran dari sistem DB ke sistem DC ini mungkin antara solusi yang boleh dipertimbangkan untuk mengatasi isu saiz perbelanjaan mengurus yang semakin besar ini.
Selain itu, subsidi yang ditanggung Kerajaan turut menyebabkan perbelanjaan mengurus menjadi terlalu besar. Lebih memburukkan keadaan, subsidi seperti minyak masak dan bahan api diberikan secara universal, sehingga menyebabkannya menelan belanja yang begitu tinggi. Perbelanjaan subsidi pada tahun lepas mencecah hampir RM80 bilion, iaitu tertinggi dalam sejarah negara. Hampir separuh daripadanya diperuntukkan untuk subsidi bahan api, yang jelas terbukti memberi lebih banyak manfaat kepada isi rumah kaya berbanding miskin.
Pelaksanaan pemberian subsidi secara bersasar mungkin boleh membantu mengurangkan beban kos subsidi bahan api yang ditanggung Kerajaan. Namun, mekanisme sasaran yang ingin dilaksanakan harus dirancang dengan baik supaya subsidi itu sampai ke tangan yang sepatutnya, serta mengetatkan penguatkuasaan agar tidak berlaku pembaziran dan penyeludupan.
Belanja Lebih Besar Dari Pendapatan
Secara asasnya, sumber dana bagi perbelanjaan yang akan dibuat sudah semestinya datang dari pendapatan atau hasil yang telah diperolehi. Namun, Kerajaan akan terpaksa berhutang sekiranya hasil yang dijana adalah rendah dan tidak mencukupi bagi menampung perbelanjaan negara.
Kerajaan hanya boleh berhutang untuk membiayai perbelanjaan pembangunan sahaja mengikut Akta Pinjaman (Tempatan) 1959. Perbelanjaan operasi seperti membayar gaji penjawat awam (emolumen) harus dibiayai oleh hasil semasa Kerajaan
Akibatnya, kedudukan kewangan Kerajaan akan berada dalam defisit. Malaysia sudah hampir 25 tahun berbelanjawan defisit, berpunca dari jumlah perbelanjaan yang lebih besar dari hasil negara. Kali terakhir Malaysia mencatatkan lebihan (surplus) adalah pada tahun 1997.
Sekiranya diperhatikan, hutang Kerajaan semakin bertambah setiap tahun, terutamanya selepas COVID-19 melanda. Hutang Kerajaan mencecah hampir RM1 trilion pada tahun 2021, atau lebih 60% daripada KDNK Malaysia. Meskipun ada antara hutang-hutang ini berbentuk pinjaman jangka panjang seperti bon atau sukuk yang akan dibayar mengikut jadual dan tempoh kematangan yang telah ditentukan, keberhutangan yang tinggi amatlah merisaukan dan tidak mampan.
Hal ini kerana sekiranya Kerajaan berhutang, apa yang perlu dibayar bukanlah prinsipal semata-mata. Bahkan, Kerajaan juga perlu membayar bunga atau disebut sebagai bayaran khidmat hutang ke atas hutang-hutang tersebut, yang mana jumlahnya bukanlah kecil. Daripada keseluruhan bajet yang diperuntukkan pada tahun 2023, bayaran khidmat hutang mewakili kira-kira 12% atau sebanyak RM46.1 bilion.
Ketirisan dan Penyelewengan Dalam Projek-Projek Pembangunan
Dari aspek perbelanjaan pembangunan juga boleh ditambah baik bagi memastikan projek-projek yang diluluskan dapat siap mengikut jadual serta spesifikasi yang telah ditetapkan. Hal ini kerana boleh dikatakan hampir setiap tahun akan ada insiden-insiden ketirisan yang dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) melibatkan projek-projek pembangunan. Apa yang lebih menyedihkan ialah ada sesetengah kes-kes penyelewengan ini berlaku melibatkan projek-projek untuk rakyat seperti sekolah dan hospital.
Akauntabiliti dan tatakelola yang baik harus diangkat bagi memastikan pihak yang dilantik dapat melaksanakan projek-projek tersebut dengan baik. Mekanisme pemantauan seperti ‘outcome-based budgeting (OBB)’ yang digunapakai sejak 2010 harus diperkasa agar segala projek-projek pembangunan yang dijalankan dapat mencapai objektif yang dimahukan. Perkara ini penting supaya wang Kerajaan yang dibelanjakan ini tidak menjadi sia-sia di kemudian hari dan pada akhirnya menyebabkan kewangan Kerajaan terus kekal berada dalam defisit.
*Gambar utama diambil dari laman Facebook YAB Perdana Menteri