Ekonomi Tumbuh 8.9% Pada 2Q 2022, Namun 20% Daripada Sektor Ekonomi Masih Tenggelam

Share it
Malaysia rekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 8.9% pada suku kedua 2022

Ekonomi Malaysia rekodkan pertumbuhan setinggi 8.9% pada suku kedua 2022 setelah naik 5.0% pada suku pertama. Peningkatan permintaan domestik, pemulihan pasaran buruh serta eskport yang kukuh dipacu oleh sektor elektronik dan elektrik menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia.

Menurut Bank Negara, sektor perkhidmatan naik 12% setelah negara beralih ke fasa endemik manakala sektor pembuatan pula naik 9.2%. Walaubagaimanapun, sektor pertanian dan perlombongan mengalami penguncupan apabila masing-masing susut 2.4% dan 0.5%.

Statistik pasaran buruh menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan apabila kadar pengangguran terus menurun kepada 3.8% pada Jun 2022 berbanding 5.1% pada suku kedua 2020 dimana pandemik berada di fasa paling kritikal.

Bilangan orang yang membuat tuntutan kehilangan pekerjaan juga susut dari 10,400 orang pada suku pertama 2022 kepada 7,600 pada suku kedua tahun ini. Gaji di sektor pembuatan dan perkhidmatan terus meningkat kepada 7.8% yang turut disokong oleh kenaikan paras gaji minimum.

Pasaran buruh semakin memulih

Meskipun begitu, Bank Negara Malaysia berkata ada kumpulan yang masih lagi ketinggalan di dalam pemulihan ekonomi Malaysia.

” Di dalam pasaran buruh, pemulihan dalam kalangan golongan rentan terutamanya golongan muda dan orang tua dengan kemahiran yang rendah adalah perlahan secara relatifnya berbanding kumpulan lain ” – Gabenor  Bank Negara Malaysia, Tan Sri Shamsiah Yunus

Sub-sektor F&B dan penginapan, pertanian, perlombongan dan pembinaan turut berada di bawah paras sebelum pandemik. Aktiviti-aktiviti ekonomi di dalam sektor ini merangkumi sekitar 20% daripada keseluruhan ekonomi Malaysia.

Inflasi Malaysia Antara Yang Terendah Di Dunia

Malaysia rekodkan kadar inflasi sebanyak 2.8% pada suku kedua tahun ini, terendah selepas China dan Jepun. Negara-negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat masing-masing merekodkan kenaikan inflasi tinggi 9.2%.

Menurut Bank Negara, harga komoditi dunia yang meningkat merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga makanan. Selain itu, tukaran nilai matawang Ringgit yang lemah juga turut menyumbang kepada inflasi makanan.

Inflasi Malaysia naik 2.8% pada suku kedua 2022

Unjuran inflasi untuk tahun ini masih dikekalkan pada lingkungan 2.2% hingga 3.2%. Bank Negara juga memberi bayangan bahawa mereka akan terus menyelaraskan semula kadar faedah mereka seiring dengan pemulihan ekonomi bagi mengekang permintaan berlebihan yang mungkin boleh mengakibatkan tekanan harga.

Bank Negara optimis pertumbuhan pada tahun ini akan berada di paras tinggi dalam unjuran mereka diantara 5.3% hingga 6.3%. Ketibaan pelancong asing serta pemulihan pasaran buruh dijangka akan menyokong pertumbuhan tahun 2022.