Agensi penarafan antarabangsa, Fitch Rating minggu lalu telah menurunkan taraf kredit Malaysia kepada BBB+ dari A- yang menunjukkan tahap keyakinan terhadap kemampuan Malaysia dalam memenuhi komitmen kewangan semakin menurun.
Tahap AAA dianggap sebagai tahap tertinggi yang bermaksud entiti tersebut mempunyai kapasiti yang tinggi untuk memenuhi tanggungjawab kewangan. Manakala gred D bermaksud entiti tersebut gagal untuk memenuhi komitmen kewangan mereka seperti gagal membuat pembayaran balik pinjaman.
Menurut Fitch, impak yang dirasai oleh Malaysia akibat wabak Covid-19 merupakan antara punca utama taraf kredit Malaysia diturunkan kerana aktiviti ekonomi yang perlahan. Agensi ini mengunjurkan bahawa ekonomi Malaysia bakal menguncup 6.1% pada tahun ini sebelum melonjak 6.7% pada tahun hadapan.
Selain itu, Fitch turut menyatakan bahawa ketidaktentuan politik susulan perubahan kerajaan pada Mac lalu bakal memberi kesan kepada usaha dalam menambahbaik tahap urustadbir negara.
Kebimbangan Fitch ini mempunyai asas yang kukuh. Beberapa kes pendakwaan melibatkan ahli politik seperti kes membabitkan Tan Sri Musa Aman dan Tengku Adnan Tengku Mansor telah dilepaskan oleh pihak pendakwaan. Manakala anak tiri kepada bekas Perdana Menteri, Riza Aziz pula turut mengalami nasib yang serupa sekaligus mencetuskan keraguan mengenai usaha membasmi korupsi dalam kalangan sebilangan rakyat Malaysia.
Kebergantungan kerajaan Malaysia terhadap syarikat minyak negara, PETRONAS turut memberi kesan kepada taraf kredit Malaysia. Kerajaan dianggap tidak mempunyai punca hasil yang mampan berikutan pemansuhan Cukai Barangan & Perkhidmatan dan dianggap terlalu bergantung kepada beberapa syarikat berkaitan kerajaan dalam usaha meraih dana.
Fitch juga menjangkakan hutang kerajaan pada tahun ini bakal meningkat kepada 76% berbanding KDNK negara, meningkat dari 65.2% pada tahun 2019. Hutang 1MDB yang berjumlah RM32 bilion turut memberi tekanan kepada kerajaan dalam menguruskan dasar fiskal.
Selain itu, PETRONAS turut mengalami nasib yang serupa dimana taraf kredit mereka diturunkan kepada BBB+ berbanding A- .
Para ahli ekonomi berpendapat taraf kredit yang rendah bakal mempengaruhi kadar bunga yang perlu dibayar oleh kerajaan kerana negara dianggap sebagai peminjam yang berisiko. Buat pelabur, agensi penarafan dianggap sebagai penanda aras dalam menilai prospek dan situasi sesebuah negara sama ada baik ataupun sebaliknya.
Namun begitu, syarikat-syarikat penarafan seperti Standard and Poor, Moody’s dan Fitch dianggap sebagai tidak boleh dipercayai oleh sebilangan pihak. Krisis Kewangan Global pada 2008 menjadi contoh terbaik kenapa reputasi agensi ini dipersoalkan. Pelbagai unit sekuriti dengan gred AAA telah dituruntarafkan oleh syarikat penarafan ini kepada gred ‘sampah’ dalam tempoh kurang dua tahun.