ETF – Instrumen Pelaburan Bagi Mereka Yang Ingin Melabur Secara Santai

Share it
Fakta-fakta mengenai ETF

Pada tahun 1990, Exchange Traded-Fund ( ETF, Dana Didagangkan Bursa ) pertama dilancarkan di Kanada yang menjejak ( track ) saham 35 syarikat terbesar di Bursa Saham Toronto sekaligus mengubah landskap pelaburan pengurus-pengurus dana di seluruh dunia.

ETF merupakan sebuah instrumen pelaburan dimana beberapa saham syarikat tersenarai ( ataupun komoditi/bon ) digabungkan atau dihimpunkan menjadi sebuah dana yang boleh didagangkan di pasaran saham kepada orang ramai.

Sebagai contoh, prestasi pasaran saham di Malaysia sering kali diukur menggunakan indeks FTSE KLCI dimana indeks ini mengukur perubahan saham 30 syarikat terbesar di Malaysia. Maybank, Public Bank, Petronas Chemicals, IHH Healthcare dan juga CIMB Bank antara syarikat-syarikat gergasi di Malaysia yang tersenarai di dalam indeks ini.

Jika harga-harga saham 30 syarikat terbesar ini meningkat, makanya indeks FTSE KLCI juga akan meningkat. Jika sebaliknya berlaku, indeks FTSE KLCI juga akan merudum.

Dalam erti kata lain, ETF membenarkan anda melabur di dalam 30 syarikat terbesar di KLCI di dalam satu dana. Jika syarikat-syarikat ini mengagihkan dividen, pemegang unit ETF tersebut juga akan meraih pulangan tersebut.

Saham syarikat Maybank yang mempunyai modal pasaran lebih RM100 bilion mempunyai wajaran ( weightage ) lebih besar di dalam indeks ini berbanding syarikat semikonduktor, Inari Ametron yang mempunyai modal pasaran sekitar RM11 bilion.

Buat seketika dahulu, instrumen ETF ini lebih didominasi oleh pelabur-pelabur dana yang menguruskan aset bernilai puluhan juta ringgit untuk dilaburkan. Namun dengan kepesatan teknologi serta akses yang lebih mudah, pelabur-pelabur runcit turut mengambil kesempatan melabur di dalam ETF.

Sejak tahun 2003, aset pelaburan ETF di seluruh dunia telah meningkat dari $204 bilion kepada $10.2 trilion pada tahun lalu. Di Malaysia, beberapa ETF juga turut didagangkan di pasaran saham seperti FTSE Bursa Malaysia KLCI ETF, Principal FTSE ASEAN 40 Malaysia ETF dan MyETF Dow Jones US Titans 50.

, Aliff Mazli ketika ditemubual secara atas talian oleh Ekonomi Rakyat menerangkan dengan lebih terperinci mengenai instrumen pelaburan ini.

Menurut beliau, terdapat beberapa jenis ETF yang ditawarkan kepada pelabur kerana ianya tidak terhad terhadap pelaburan saham-saham sahaja. Terdapat juga ETF yang menjejaki komoditi ataupun matawang.

Bagi ETF yang berasaskan pelaburan saham, ada kalanya ETF tersebut dibentuk berasaskan sektor. Sebagai contoh, pengurus dana terkemuka dunia Vanguard melalui Vanguard Information Technology ETF diwujudkan untuk pelabur yang ingin melabur di dalam industri teknologi.

Antara komponen saham yang berada di dalam ETF ini adalah saham Apple, Microsoft, NVIDIA dan VISA. Sejak lima tahun yang lalu, harga ETF ini telah meningkat 202% dari $134 seunit kepada $406 setelah berlaku peningkatan memberangsangkan saham-saham syarikat teknologi.

Perbandingan Produk diantara ETF, Saham dan Unit Amanah

Menurut Aliff, ada beberapa sebab mengapa instrumen pelaburan ETF digemari oleh para-para pelabur. Salah satu sebabnya adalah kerana risiko yang lebih rendah kerana prestasi ETF tidak hanya dipengaruhi oleh pergerakan satu dua saham sahaja tetapi keseluruhan saham yang membentuk ETF tersebut.

ETF ini lebih sesuai untuk pelabur yang sukakan kaedah yang lebih defensif yang mana tidak tertakluk dengan peredaran harga yang sangat tidak menentu seperti apa yang berlaku sekarang di ( pasaran saham )

Aliff juga menjelaskan bahawa secara relatifnya, kos untuk melabur di dalam ETF juga jauh lebih rendah berbanding melakukan pelaburan di unit amanah. Beliau berkata pelaburan di dalam ETF lebih telus kerana pelabur dapat mengikuti harga semasa ETF mereka di pasaran saham berbanding unit amanah dimana harga akan dikemaskini setelah dagangan ditutup.

Kos transaksi ETF juga rata-ratanya lebih rendah berbanding kos transaksi yang dilakukan terhadap pengurus dana yang menguruskan unit amanah.

Walaubagaimanapun, ETF juga mempunyai sisi gelapnya tersendiri. Sebagai contoh, pelaburan ETF sukar untuk menjana pulangan yang tinggi di dalam tempoh yang singkat kerana instrumen pelaburan ini merupakan himpunan pelbagai jenis saham.

Selain itu, pelabur mungkin juga terdedah dengan risiko yang tinggi jika melabur di dalam Leverage ETF yang memberi kesan pengganda di dalam pelaburan.

Ada ETF yang boleh dedahkan kepada risiko pelaburan yang lebih tinggi. Leverage ETF misalnya memberi booster kepada pelaburan. Dia akan menggandakan keuntungan ataupun menggadakan kerugian.  

Di Malaysia, ETF pertama dilancarkan pada Julai 2009 yang dahulunya dikenali FBM30ETF ( sekarang dikenali FTSE Bursa Malaysia KLCI ETF ). Kini, terdapat 20 ETF ditawarkan di pasaran saham tempatan merangkumi pelbagai jenis komponen termasuklah ETF yang melabur di dalam instrumen pendapatan tetap seperti bon.

Antara ETF yang didagangkan di Bursa Malaysia

Ketika ditanya mengenai pelabur bagaimanakah yang cenderung untuk melabur di dalam ETF. Aliff berpendapat bahawa golongan pelabur pasif lebih sesuai untuk melabur di dalam ETF kerana mekanisme pelaburan seperti ini tidak memerlukan pelabur untuk mengikuti pergerakan harga ETF secara langsung kerana objektif melabur pada kebiasaannya untuk jangka masa panjang.

Hal ini kerana pelaburan di dalam ETF dinilai melalui fundamental ETF itu sendiri seperti prospek industri ataupun keadaan di negara-negara tempat ETF itu dilaburkan. Ini berbeza berbading pedagang saham yang sentiasa memerhatikan pergerakan saham bagi menjana keuntungan dalam tempoh yang singkat.

Bagi mengetahui dengan lebih lanjut mengenai pelaburan saham dan sebagainya, Aliff menjemput pembaca-pembaca untuk mengikuti yang dijalankan oleh VI College secara atas talian.