Gaji penengah siswazah yang berumur dibawah 24 tahun telah jatuh 25% daripada RM2,066 sebulan pada 2019 kepada RM1,550 sebulan pada tahun lalu. Kejatuhan upah yang diterima siswazah ini turut dirasai oleh keseluruhan tenaga buruh yang mendapat pendidikan tinggi di Malaysia susulan endemik ini.
Gaji purata siswazah di Malaysia susut 10.6% dari RM5,020 kepada RM4,489 manakala gaji penengah pula turun 11.3% dari RM4,300 kepada RM3,796 sebulan.
Peratusan pengurangan upah yang dialami oleh siswazah sememangnya lebih kecil berbanding apa yang dihadapi oleh keseluruhan pekerja di Malaysia. Pada statistik yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia sebelum ini, gaji penengah pekerja di Malaysia jatuh pada kadar yang lebih besar iaitu sebanyak 15.6% kepada RM2,062 sebulan.
Perkara ini sememangnya telah dijangka, siswazah-siswazah yang bekerja secara amnya mempunyai sedikit fleksibiliti untuk bekerja daripada rumah berbanding pekerja-pekerja lain. Namun perubahan gaji diantara dua kumpulan pekerja ini tidak jauh beza menunjukkan bahawa keseluruhan rakyat Malaysia sememangnya terkesan akibat krisis yang tidak berkesudahan ini.
Bagi siswazah muda, mereka antara yang paling teruk terkena tempias daripada situasi semasa ini. Gaji penengah yang menurun ke paras RM1,550 sebulan untuk siswazah berusia 24 tahun dan kebawah menunjukkan bahawa sijil pendidikan tinggi tidak memberikan premium yang signifikan kepada gaji mereka.
Upah yang diterima siswazah muda ini hanyalah RM350 lebih tinggi berbanding gaji minimum yang ditetapkan di bandar-bandar besar.
Isu yang berlanjutan ini sebenarnya telah menunjukkan kesannya sejak tahun lalu lagi. Jika diteliti, gaji penengah siswazah yang berusia 24 tahun ke bawah ( yang digunakan sebagai proksi untuk graduan baru) telah menurun dari RM2,112 sebulan pada tahun 2018 kepada RM2,066 pada tahun 2019.
Siswazah yang bekerja di bawah kelayakan ( kemahiran ) juga telah telah meningkat dari 1.1 juta orang kepada 1.36 juta orang. Dalam kata lain, satu daripada tiga orang siswazah di Malaysia bekerja di dalam pekerjaan yang tidak sewajarnya.
Data yang dilaporkan turut mendapati terdapat 98,100 orang siswazah yang bekerja di dalam pekerjaan berkemahiran rendah.
Siswazah Makin Lama Menganggur
Krisis Covid-19 ini menambahkan lagi derita yang dilalui oleh siswazah-siswazah di negara ini. Statistik menunjukkan bahawa mereka kini menganggur pada tempoh yang lebih lama pada tahun lalu berbanding pada tahun sebelumnya.
Pada tahun 2020, 39.5% penganggur aktif dilaporkan menganggur melebihi enam bulan, meningkat berbanding 23.5% pada tahun sebelumnya. Bilangan siswazah yang menganggur juga telah meningkat dari 165,200 orang kepada 202,400 orang dalam tempoh yang sama.
Relevan Lagikah Pendidikan Tinggi?
Simptom-simptom yang berpunca daripada masalah struktur pasaran buruh di Malaysia telah hampir ke kemuncaknya. Isu graduan-graduan baru tidak mendapat pekerjaan yang setara dengan kelayakan mereka sudah acap kali dibangkitkan namun sehingga kini masih tidak ada langkah khusus dalam menangani permasalahan ini.
Di dalam artikel Ekonomi Rakyat terdahulu, Ahli Parlimen Muar membangkitkan soal modus operandi sebilangan insitut pengajian tinggi swasta yang meraih keuntungan luar biasa hasil daripada pembiayaan PTPTN.
Turut melontarkan pandangan yang serupa adalah bekas ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar yang menyifatkan pendidikan tinggi negara scbagai penipuan besar yang memindahkan jutaan ringgit wang rakyat Malaysia kepada pemilik-pemilik IPTS swasta.
Kerajaan perlu meneliti dan menyelesaikan isu ini. Sistem pembiayaan pendidikan tinggi serta kualiti kelas pengajian IPTS perlu diteliti agar ia benar-benar memberikan nilai tambah kepada pelajar. Dalam konteks yang lebih besar, kerajaan juga perlu memastikan pekerjaan baru yang diwujudkan ini lebih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran tinggi.
Jika tidak, segala potensi, bakat dan pengetahuan yang ada pada jutaan siswazah hanya terbiar begitu saja tatkala negara membelanjakan berbilion ringgit untuk mensubsidikan pendidikan tinggi di negara ini.