Gaji Rendah & Inflasi Tinggi Membelenggu Pekerja di Malaysia

Share it

Di dalam artikel Ekonomi Rakyat yang terdahulu (baca di sini), beberapa analisis telah dilakukan terhadap Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 yang telah diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada baru-baru ini.

Walapun secara umumnya aspek penggajian dan upah menunjukkan trend pemulihan pada tahun 2021 berbanding 2020, beberapa isu struktur masih dapat dikesan melingkari pasaran buruh negara. Sekiranya isu-isu struktur ini tidak ditangani dengan efektif, momentum pemulihan dalam masa terdekat dan juga progres kemajuan dalam tempoh jangka masa panjang berisiko untuk terjejas.

Analisis terperinci Ekonomi Rakyat terhadap data yang dikeluarkan oleh Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 menemukan empat isu struktur.

Pekerja Perempuan Terima Gaji Lebih Rendah daripada Pekerja Lelaki

Pertama, Malaysia masih dibelenggu oleh ketidaksamarataan gaji yang diterima antara pekerja lelaki dan perempuan. Penengah gaji untuk pekerja lelaki meningkat sebanyak RM222 kepada RM2,315 berbanding tahun 2020 (RM2,093). Manakala bagi pekerja perempuan, peningkatan yang dicatatkan hanyalah sebanyak RM126 sahaja kepada RM2,145 sekiranya dibandingkan pada tahun 2020 (RM2,019).

Pekerja wanita menerima gaji yang lebih rendah berbanding lelaki

Situasi ketidaksamarataan ini nampaknya semakin memburuk jika dibandingkan antara gaji yang diterima antara pekerja lelaki dan perempuan yang berkongsi tahap kemahiran yang sama. Purata gaji yang diterima oleh pekerja perempuan adalah lebih rendah pada semua tahap kemahiran jika dibandingkan dengan pekerja lelaki. Lebih memburukkan keadaan, jurang yang diterima semakin melebar mengikut tahap kemahiran.

Sebagai contoh, pekerja perempuan berkemahiran rendah hanya menerima purata gaji sebanyak RM1,665, berbanding RM1,779 yang diterima oleh pekerja lelaki berkemahiran rendah (perbezaan sebanyak RM114).

Bagi pekerja perempuan separuh mahir, mereka menerima purata gaji berjumlah RM1,929 berbanding RM2,161 yang diterima oleh pekerja lelaki separuh mahir (perbezaan sebanyak RM232).

Pekerja wanita dibayar pada gaji yang lebih rendah meskipun mempunyai kelayakan yang sama dengan kaum lelaki

Ketidaksamarataan gaji antara pekerja lelaki dan perempuan berupaya menyumbang kepada masalah kadar penyertaan tenaga buruh yang rendah dalam kalangan wanita. Ketika ini, Malaysia hanya mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita sebanyak 55.5% sahaja pada tahun 2021. Kadar ini adalah jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara serantau seperti Thailand (66.8%) dan Singapura (69.7%).

Golongan Muda Tetap Terima Gaji Rendah Walaupun Terdapat Peningkatan Gaji

Kedua, masalah gaji rendah dalam kalangan golongan muda. Penengah gaji yang diterima oleh golongan muda antara kumpulan umur 15-34 tahun rata-rata berada di bawah paras RM2,500.

Gaji meningkat pada tahun 2021 namun golongan muda tetapi dihimpit dengan isu gaji yang rendah

Jumlah yang diterima oleh mereka berada pada tahap yang rendah jika bandingkan dengan gaji kehidupan wajar yang dicadangkan oleh Bank Negara Malaysia, iaitu sebanyak RM2,700 untuk individu bujang pada tahun 2018. Gaji penengah tersebut juga tidak mencukupi untuk menampung anggaran perbelanjaan sebanyak RM2,260 bagi individu bujang yang menetap di Lembah Klang seperti yang dicadangkan oleh Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya.

Isu gaji rendah bermula sebaik sahaja seseorang individu itu mula bekerja sejurus tamat pengajian. Menurut Laporan Kajian Pengesanan Graduan 2020, 53.6% atau 1 daripada 2 siswazah menerima gaji permulaan bawah RM2,000. Angka ini tidak jauh berbeza berbanding tahun sebelumnya (2019: 50.7%).

Trend yang sama dapat dikesan menerusi data Laporan Survei Gaji dan Upah 2021 jika dilihat pada kumpulan umur 25-29 tahun (umur kebiasaan graduan mula bekerja), penengah gaji mereka adalah sebanyak RM1,780.

37% jurutera di Malaysia menerima gaji permulaan kurang dari RM2,000 sebulan

Baru-baru ini juga telah dilaporkan kira-kira 37% jurutera di Malaysia menerima gaji permulaan di bawah RM2,000. Ternyata gaji yang diberikan kepada graduan di Malaysia tidak setimpal dengan kelayakan akademik yang dimiliki mereka.

Apa yang menyedihkan ialah fenomena pekerja di Malaysia yang terpaksa memulakan kerjaya mereka dengan menerima gaji permulaan yang amat rendah. Selepas berpuluh tahun berkhidmat, gaji yang diterima mereka kekal berada pada tahap yang rendah kerana pertumbuhan gaji yang lembap di Malaysia.

Maka, tidak hairanlah apabila rata-rata pekerja di Malaysia tidak mampu membina wang simpanan kecemasan serta tabung persaraan yang mencukupi walaupun telah bekerja selama puluhan tahun. Memetik sebuah kaji selidik yang dijalankan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2020, 75 peratus daripada penduduk Malaysia tidak mempunyai wang simpanan sekurang-kurangnya RM1,000.

Lebih memburukkan keadaan, mereka terpaksa bergelut dengan isu kos sara hidup yang meningkat saban tahun.

Masalah gaji rendah merupakan sebuah isu yang wajar diangkat kerana masalah tersebut berpotensi untuk mencambahkan pelbagai masalah lain yang lebih rumit termasuklah masalah brain drain dan juga isu keengganan golongan muda untuk menyambung pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Jurang Gaji yang Besar antara Pekerja di Bandar dan Luar Bandar

Ketiga, jurang gaji yang besar di antara pekerja di bandar dan luar bandar. Data telah menunjukkan penengah gaji yang diterima oleh pekerja di bandar adalah sebanyak RM2,438, jauh lebih tinggi berbanding hanya RM1,520 yang diterima oleh pekerja di luar bandar.

Walaupun gaji pekerja di luar bandar meningkat 13%, namun jurang dengan pekerja di bandar kekal lebar

Perbezaan gaji yang sangat ketara antara strata ini berpunca daripada pembangunan dan penciptaan pekerjaan yang tidak sekata di antara bandar dan luar bandar. Kebanyakan projek pembangunan dan pelaburan sering tertumpu di bandar berbanding luar bandar.

Walaubagaimanapun jika dilihat daripada sudut positif, peningkatan penengah gaji adalah lebih tinggi buat pekerja luar bandar (13.4%), berbanding pekerja bandar (7.5%). Sebagaimana pekerja di bandar, pekerja di luar bandar juga sepatutnya berhak menikmati hasil pembangunan dan penciptaan pekerjaan yang lebih berkualiti.

Kenaikan Kos Sara Hidup dan Inflasi Berpotensi Melenyapkan Kenaikan Gaji

Keempat, walaupun di peringkat nasional dan negeri-negeri menunjukkan trend peningkatan bagi penengah gaji, kerisauan timbul melihatkan kepada kenaikan kos sara hidup dan kadar inflasi di Malaysia, terutamanya pada tahun ini.

Lebih-lebih lagi apabila beberapa buah negeri yang mempunyai kos sara hidup yang tinggi seperti W.P. Kuala Lumpur dan Johor hanya merekodkan peningkatan minimal bagi penengah gaji, sebanyak RM17 (0.6%) dan RM60 (2.8%) sahaja pada tahun 2021.

Kadar inflasi telah meningkat sejak beberapa bulan ini kepada 4.7% pada bulan Ogos 2022. Trend ini membimbangkan kerana peningkatan inflasi mampu mengurangkan nilai sebenar gaji diperolehi, lantas menjejaskan kuasa membeli di tangan orang awam.

Kadar inflasi di Malaysia meningkat sehingga 4.7% pada Ogos lalu

Walaupun kadar inflasi telah turun sedikit kepada 4.5% pada bulan September 2022, orang ramai masih belum boleh menarik nafas lega memandangkan mereka masih diuji dengan ketidakstabilan harga, terutamanya harga barangan makanan. Sebagai contoh, kekurangan bekalan barangan makanan seperti telur sejak kebelakangan ini pastinya akan menaikkan harga barangan makanan. Kenaikan ini sudah tentunya akan menjejaskan perbelanjaan isi rumah berpendapatan rendah yang bergantung besar kepada barangan makanan asas seperti telur.

Dalam masa yang sama, ekonomi Malaysia turut diuji dengan kejatuhan matawang Ringgit ke paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1998, serta ketidakstabilan harga bahan api di peringkat global. Semenjak serangan Russia ke atas Ukraine pada Februari tahun ini, harga bahan api telah melonjak naik dengan begitu mendadak.

Walaupun di Malaysia kerajaan telah memberikan subsidi bahan api untuk mengurangkan kesan kenaikan harga tersebut, kerisauan timbul berikutan sejauh manakah kerajaan mampu untuk memberikan subsidi tersebut secara berterusan. Subsidi bahan api yang telah diberikan ini memakan kos yang sangat besar kepada perbelanjaan kerajaan.

Berbalik kepada persoalan gaji di Malaysia, angka pelarasan inflasi (adjusted inflation) merupakan sebuah indikator yang baik untuk mengetahui berapakah angka sebenar disebalik peningkatan gaji yang direkodkan ini sekiranya mengambil kira faktor inflasi.

Menurut perkiraan Ekonomi Rakyat, kenaikan sebenar penengah gaji bagi tahun 2021 hanyalah sebanyak RM137 sahaja sekiranya mengambil kira faktor inflasi. Perkiraan angka pelarasan inflasi ini dibuat berdasarkan perbandingan antara Indeks Harga Pengguna pada tahun 2021 dan 2020.

Setelah diselaraskan dengan kesan inflasi, gaji hanya meningkat pada kadar 6.5% sahaja berbanding kenaikan gaji nominal 9.1%

Angka pelarasan inflasi memberikan gambaran bahawa meskipun secara mata kasarnya penengah gaji naik RM188 (9.1%) kepada RM2,250 antara tahun 2021 dan 2020, peningkatan tersebut sebenarnya lebih rendah, sebanyak 6.5% sahaja kepada RM137 untuk tahun 2021.

Gaji Pekerja Malaysia Rendah jika Dibandingkan dengan KDNK Negara

Selain empat isu struktur yang telah dibincangkan tadi, pasaran buruh Malaysia turut dilanda isu pampasan pekerja yang rendah. Secara umumnya, konsep pampasan pekerja atau disebut sebagai compensation of employees (CE) merujuk kepada gaji atau upah yang dibayar kepada pekerja.

Ketika ini, peratusan CE kepada KDNK di Malaysia amat rendah, sebanyak 34.8% pada tahun 2021. Ini bermaksud daripada keseluruhan KDNK yang dijana tahun lepas, hanya 34.8% sahaja dikembalikan kepada pekerja dalam bentuk gaji. Sebagai perbandingan, Jerman mencatatkan peratusan CE kepada KDNK sebanyak 53.4%, UK (48.7%), Korea Selatan (47.5%), Australia (47.2%) dan Singapura (39.9%).

Pekerja Malaysia hanya menerima RM35 bagi setiap RM100 wang yang dijana ekonomi, jauh lebih rendah berbanding negara-negara yang lain

Peratusan CE kepada KDNK yang rendah mencerminkan kegagalan pasaran buruh Malaysia untuk mencipta pekerjaan yang berkualiti dari sudut bayaran gaji. Kebergantungan yang tinggi terhadap tenaga buruh kurang mahir, terutamanya pekerja asing, telah menyebabkan pertumbuhan gaji menjadi perlahan. Struktur ekonomi negara yang masih berada di takuk yang lama mengakibatkan kesukaran untuk mencipta pekerjaan mahir dan berpendapatan tinggi.

Analisis-analisis yang telah dirungkaikan jelas menunjukkan bahawa pasaran buruh Malaysia mempunyai pelbagai isu struktur yang memerlukan campur tangan efektif daripada pihak kerajaan. Apa yang lebih membimbangkan ialah isu-isu struktur ini telah wujud sejak puluhan tahun yang lalu walaupun pelbagai inisiatif dan program pasaran buruh telah dilaksanakan.

Namun sehingga kini, tidak ada perkembangan positif yang boleh diceritakan. Jadi dimanakah silapnya?

One thought on “Gaji Rendah & Inflasi Tinggi Membelenggu Pekerja di Malaysia

Comments are closed.