” Garis Kemiskinan Malaysia Tidak Realistik ” – Wakil Khas PBB ke Malaysia

Share it

Wakil Khas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ke Malaysia, Philip Alston dalam laporan akhirnya menyatakan bahawa statistik kemiskinan di Malaysia yang menunjukkan tinggal 0.4% atau 25,000 isi rumah berada di bawah kemiskinan sebagai tidak realistik. Menurut beliau, terdapat jutaan rakyat Malaysia yang mempunyai masalah terhadap akses kepada makanan, tempat berteduh, pendidikan serta penjagaan kesihatan.

Philip Alston mengunjungi Malaysia pada 13 Ogos 2019 sehingga 23 Ogos 2019 bagi melaporkan kembali keadaan kemiskinan di Malaysia dan hal berkaitan hak asasi Malaysia kepada Majlis Hak Asasi Manusia. Dalam lawatannya selama 11 hari, beliau telah mengunjungi Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan, Sabah dan Sarawak.

Beliau mengkritik garis pendapatan kemiskinan di Malaysia sebagai terlalu rendah iaitu RM980 untuk sebuah keluarga empat orang. Piawaian Malaysia terhadap kemiskinan dianggap tidak sepadan dengan status Malaysia sebagai sebuah negara yang ingin mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Wakil Khas PBB ini mengambil Kuala Lumpur sebagai contoh dimana kadar kemiskinannya 0% menurut data Jabatan Perangkaan namun kajian yang dilakukan oleh UNICEF menunjukkan 7% dalam kalangan penduduk di Projek Perumahan Rakyat tinggal di bawah garis kemiskinan manakala 85% berada dalam kemiskinan relatif.

Osem online learning app revision

Isu kemiskinan orang asli turut dibangkitkan oleh beliau dimana statistik berkenaan kumpulan ini dianggap lapuk dan seringkali dimasukkan sekali dalam kategori Bumiputera.

Beliau menggesa kerajaan Malaysia untuk merangka pendapatan garis kemiskinan baru yang lebih bermakna serta selaras dengan piawaian antarabangsa agak isu golongan yang terdedah ( vulnerable ) dapat ditangani. Kerajaan turut disaran untuk lebih terbuka berkongsi statistik bersama penyelidik meningkatkan lagi liputan perlindungan sosial dengan meningkatkan perbelanjaan sosial.

Philip Alston pada 23 Ogos 2019 pernah mengeluarkan kenyataan menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan sosio-ekonomi Malaysia dimana Menteri Ekonomi ketika itu memberikan respon balas defensif dengan mempertahankan pendapatan garis kemiskinan yang digunapakai Malaysia.

Laporan 19 muka surat ini boleh diakses di [ sini ]