Gerhana Ekonomi – Mampukah Malaysia Pulih Dengan Segera?

Gerhana Ekonomi Malaysia pulih
Share it

 

Malaysia berada di fasa terakhir Perintah Kawalan Pergerakan yang dijangka akan ditamatkan pada 28 April 2020 jika kes-kes baru Covid-19 semakin reda. Perintah ini memberikan kesan yang cukup besar buat ekonomi negara yang bersaiz RM1.51 trilion dimana banyak aktiviti peniaga dan perusahaan dihadkan.

Di kala kita hampir berjaya menangani krisis Coronavirus ini, impak ekonomi ekoran Covid-19 ini masih belum terjangka. Agensi penarafan, Fitch Rating mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia akan -1% pada tahun ini. Manakala Bank Negara pula meramalkan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada di dalam lingkungan -2% sehingga 0.5%. Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia pula menganggarkan ekonomi Malaysia akan menguncup 2.9%.

Meskipun agensi-agensi ini mempunyai angka yang berbeza, apa yang pasti, ekonomi Malaysia akan menguncup pada tahun ini.

Tahun hadapan, pertumbuhan dijangka kembali positif. Tabung Kewangan Antarabangsa ( IMF ) mengunjurkan Malaysia akan tumbuh 9% meskipun unjuran IMF ini dikritik hebat oleh ahli ekonomi antarabangsa sebagai terlalu optimistik. Fitch Rating pula menjangkakan ekonomi akan kembali bangkit 5.8% pada 2021.

Tidak perlu dinafikan ekonomi akan kembali berkembang sejurus negara mengalami kemelesetan ekonomi. Contoh terdekat adalah Krisis Kewangan Asia pada tahun 1998 dan juga Krisis Kewangan Global pada 2008. Ekonomi Malaysia yang masing-masing jatuh 7.4% dan 1.5%, berkembang 6.1% dan 7.4% pada tahun berikutnya

Persoalannya, mampukah Ekonomi Malaysia Pulih Dengan Segera?

IMF pada Laporan Tinjauan Ekonomi Dunia menjangkakan ekonomi dunia akan mengalami kemelesetan terburuk sejak The Great Depression. Negara-negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat tidak terlepas dari impak Covid-19.

Sehingga 11 April 2020, seramai lebih 22 juta pekerja di Amerika Syarikat telah diberhentikan berdasarkan tuntutan bantuan pengangguran. Ini bermaksud kadar pengangguran semasa di AS berada sekitar 13.5% daripada keseluruhan tenaga buruh. Ahli Ekonomi Federal Reserve Bank of St. Louis, Miguel Faria E. Castro menjangkakan 47 juta orang akan dibuang kerja pada suku kedua tahun ini sekaligus meningkatkan kadar pengangguran kepada 32.1%. Jangkaan kadar pengangguran ini lebih tinggi berbanding kadar yang dicatatkan pada The Great Depression.

Biro Statistik Australia turut menjangkakan peningkatan jumlah pengganguran ekoran Covid-19. Kadar pengangguran diramalkan meningkat dari 5.2% kepada 10.0% menjelang suku kedua tahun ini. New Zealand turut menjangkakan perkara yang sama dimana kadar pengangguran dijangka meningkat kepada 13% berbanding 4% sekarang ini.

Kiraan Ekonomi Rakyat dalam artikel lalu menjangkakan kadar pengangguran di Malaysia akan meningkat kepada 13% dengan kira-kira 1.5 juta orang akan kehilangan pekerjaan. Jumlah orang menganggur dijangka seramai 2 juta orang.

Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 April lalu melaporkan bahawa kadar pengangguran pada bulan Februari tahun ini telah meningkat kepada 3.3% berbanding 3.2% pada Januari. Jumlah orang yang menganggur telah meningkat 2.6% kepada 525,000 orang. Menurut DOSM, data bulan Februari ini masih belum terkesan dengan kejutan dalaman akibat Covid-19.

Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka. Prestasi ekonomi negara tidak semata-mata bergantung pada aktiviti dalaman tetapi juga berkait rapat dengan keadaan negara-negara luar. Setakat ini, kelihatannya rakan-rakan dagang utama Malaysia mengalami krisis yang semakin meruncing.

Singapura yang merupakan destinasi eksport kedua terbesar negara melaporkan peningkatan kes Covid-19 yang tinggi belakangan ini. Setakat ini, seramai 8,014 individu telah disahkan positif Covid-19. Arahan berkurung yang dipanggil sebagai Circuit Breaker turut dilanjutkan sehingga 1 Jun 2020. Ini bermaksud kawalan pergerakan di Singapura akan mengambil masa selama 55 hari jauh lebih lama berbanding Malaysia yang dijangkakan tamat minggu hadapan.

Amerika Syarikat yang merupakan dagang ketiga terbesar Malaysia turut dihimpit teruk oleh krisis Covid-19 ini. Seramai 398,000 orang telah disahkan positif Covid-19 dengan angka kematian mencecah 13,000 orang. Ketua Pakar Ekonomi Kumpulan Allianz, Mohamed El-Erian menjangkakan ekonomi AS akan menguncup sekitar 10-14% pada tahun ini.

Impak ekonomi yang negatif terhadap negara-negara berkenaan sememangnya akan memberi tekanan terhadap ekonomi Malaysia. Menurut MATRADE, jumlah eksport Malaysia pada 2019 adalah sebanyak RM986 bilion. Eksport terbesar Malaysia, China merupakan antara beberapa negara utama yang dijangkakan akan mengalami pertumbuhan pada tahun ini. Justeru, prospek ekonomi Malaysia agak suram jika dilihat kepada keadaan ekonomi global.

Bagaimana Ekonomi Akan Pulih?

Kemelesetan Ekonomi pada kebiasaannya akan disusuli dengan pemulihan. Terdapat beberapa bentuk pemulihan iaitu bentuk V, bentuk U dan bentuk L. Ramai berharap bahawa dunia akan mengalami pemulihan bentuk V kerana ekonomi akan bangkit dengan pantas, namun pelbagai laporan menyatakan pemulihan ekonomi global pasca Covid-19 akan mengambil sedikit masa sekaligus lebih mimik kepada pemulihan bentuk U.

Pada detik ini, satu-satunya institusi yang berfungsi dengan kukuh adalah Kerajaan. Kerajaanlah yang berpotensi melentur lekuk pertumbuhan ekonomi dengan menggunakan segala polisi yang ada tatkala institusi lain seperti perniagaan ataupun isi rumah seakan-akan lumpuh.

Seperti yang dinyatakan di dalam artikel-artikel yang lepas, jumlah perbelanjaan fiskal kerajaan sebanyak RM35 bilion tidak mencukupi dalam memulihkan ekonomi negara secara pantas. Terdapat banyak segmen di dalam masyarakat yang kelihatan tidak diberi bantuan yang mencukupi untuk mengharungi hari-hari yang mendatang. Sebagai contoh, pekerja yang bekerja sendiri dimana tidak ada bantuan khusus terhadap mereka.

MIER dalam laporannya mencadangkan perbelanjaan fiskal sebanyak RM75 bilion bagi merangsang ekonomi negara.

Umpama gerhana, ia akan berakhir. Begitu juga dengan kemelesetan ekonomi akibat Covid-19. Perbezaannya adalah seberapa segera kita mampu kembali pulih dari krisis ini. Jika kerajaan gagal menggerakkan segala sumber yang ada secara berkesan, pemulihan ekonomi Malaysia mungkin akan memakan masa yang lama.