
Sejak desas-desus penyenaraian Grab berlegar beberapa minggu lalu, pengasasnya, Anthony Tan menjadi watak utama yang menjadi perhatian dunia perniagaan global. Beliau yang berusia 39 tahun dilahirkan dari dalam keluarga automotif kini meneraju salah satu unicorn terbesar di rantau ini.
Bapanya Tan Heng Chew merupakan presiden syarikat tersenarai Tan Chong Motor Holdings Berhad yang merupakan pengedar jenama kereta Nissan dan beberapa jenama lain seperti INFINITI dan Renault di Malaysia.
Anthony Tan bertemu dengan rakan sekelasnya, Tan Hooi Ling ketika melanjutkan pengajiannya di sekolah perniagaan terkemuka dunia, Harvard Business School. Dari situ, mereka mendapat idea untuk mewujudkan Grab bagi bertanding untuk sebuah pertandingan cabaran perniagaan di sana.
Sekembalinya ke Malaysia, MyTeksi dilancarkan pada 2012 dimana mereka melalui masa sukar untuk mempromosikan aplikasi berkenaan. Menurut Anthony ketika ditemubual di Amerika Syarikat, bukan semua pemandu teksi mempunyai telefon pintar ketika itu untuk mereka menggunakan aplikasi berkenaan.
Beliau terpaksa bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk mendapatkan telefon pintar untuk diberikan kepada pemandu teksi untuk menggunakan aplikasi berkenaan.
Ura-ura yang berlegar mengatakan bahawa syarikat dana kekayaan negara turut ditawarkan untuk melabur bersama MyTeksi. Namun tidak mendapat reaksi positif sekaligus MyTeksi memindahkan operasinya ke Singapura dan menukar nama syarikat tersebut kepada Grab pada 2014.

Menurut Anthony Tan, pemindahan operasi Grab ke Singapura adalah disebabkan Singapura mempunyai ekosistem start-up yang lebih baik berbanding Malaysia sekaligus memudahkan potensi untuk syarikat berkenaan untuk berkembang.
Selain itu, Grab juga mendapat suntikan pelaburan awal oleh syarikat dana kekayaan Singapura, Temasek Holdings. Pemindahan operasi ke Singapura sememangnya bukan perkara sukar buat Anthony walaupun jaringan perniagaannya lebih tertumpu di negara ini.
Isterinya, Chloe Tong merupakan anak kepada pemilik syarikat media gergasi, Tong Kooi Ong yang memiliki syarikat The Edge Media Group. Selain di Malaysia, The Edge turut menjalankan operasi mereka di Singapura. Tong juga sememangnya ahli perniagaan yang sudah dikenali sejak penghujung tahun 90-an lagi dan pernah memiliki kepentingan di Sunrise Berhad sebelum digabungkan dengan UEM sekaligus mewujudkan syarikat hartanah gergasi UEM-Sunrise.
Vertex Holdings milik Temasek merupakan antara pelabur awal yang melabur di dalam syarikat ini. Selain itu, firma-firma lain yang turut melabur di dalam syarikat ini adalah China Investment Corporation, Toyota Motor Corp, Softbank, Didi Chuxing dan pelbagai lagi syarikat-syarikat besar.
Pada Mac 2018, Grab mengumumkan penggabungan mereka dengan operasi Uber di Asia Tenggara sekaligus menjadikan peneraju utama sektor pengangkutan di rantau ini. Sebagai timbal balas, Uber mendapatkan 27.5% pegangan di dalam Grab manakala CEO Uber dilantik menjadi ahli lembaga pengarah syarikat itu. Urusniaga tersebut juga meliputi dengan persetujuan agar Grab tidak melebarkan sayap ke rantau lain.
Penggabungan Grab dengan Altimeter Growth Corp yang merupakan syarikat pengambilalihan khas ( SPAC ) dijangka bakal mengangkat nilai Grab kepada lebih RM160 bilion. Nilai RM160 bilion ini hampir dua kali ganda lebih besar berbanding syarikat tersenarai terbesar di Malaysia iaitu Maybank.

Urusniaga ini juga bakal menjadi transaksi SPAC terbesar di dunia dimana sebanyak RM16 bilion dana diraih melalui pelaburan peribadi di dalam ekuiti awam ( private investment in public equity ). Sebahagian besar dana-dana yang diperoleh ini akan digunakan untuk memacu pertumbuhan Grab di rantau Asia Tenggara.
Altimeter Growth Corp merupakan sebuah syarikat yang dipanggil blank cheque company kerana tidak mempunyai apa-apa operasi perniagaan. Tujuan asal penyenaraian syarikat ini di pasaran saham Amerika Syarikat adalah untuk mengambilalih ataupun menggambungkan syarikat lain sekaligus menyenaraikan syarikat berkenaan di pasaran saham.
Di dalam kes Grab, syarikat ini tidak perlu bersusah payah melalui proses birokrasi untuk menyenaraikan syarikat tersebut di pasaran Amerika Syarikat. Dalam kata lain, Grab bakal disenaraikan melalui penggabungan, bukannya tawaran awal permulaan ( IPO ) seperti syarikat-syarikat lain.
Halatuju Grab
Matlamat utama Grab ketika ini adalah untuk mewujudkan aplikasi Super ( SuperApp ) dimana urusan harian boleh dikendalikan melalui perkhidmatan yang ditawarkan oleh Grab. Syarikat ini ingin menawarkan pelbagai perkhidmatan dari servis pergerakan, penghantaran makanan, kewangan sehinggalah pembelian insurans hanya dari hujung jari saja.
Pada tahun lalu, jumlah urusniaga yang dikendalikan Grab adalah bernilai RM50 bilion dengan hasil bersih sebanyak RM6.4 bilion. Syarikat tersebut telah berjaya melaksanakan 1.9 bilion transaksi pada tahun lepas.

Fail yang dimuatnaik oleh Grab menunjukkan syarikat itu hanya mencatatkan anggaran keuntungan sekitar RM400 juta pada tahun lalu. Manakala pada dua tahun sebelumnya, syarikat tersebut mengalami kerugian terkumpul sebanyak RM7.6 bilion.
Grab diunjurkan bakal merekodkan RM2 bilion keuntungan tahun ini manakala sebanyak RM4 bilion pada tahun hadapan.
Operasi Grab kini dijalankan di lapan buah negara dan mempunyai lebih lima juta pemandu berdaftar bersama mereka. Potensi pasaran yang boleh diteroka syarikat ini dijangka meningkat dari $52 bilion pada tahun lalu kepada $180 bilion pada tahun 2025 dengan 650 juta penduduk Asia Tenggara menjadi sasaran mereka.
Meskipun syarikat ini berpotensi besar berkembang di rantau ini, namun Grab turut menyatakan beberapa risiko yang bakal dihadapi mereka kelak. Antaranya adalah undang-undang negara yang mengekang monopoli sesuatu syarikat. Selain itu, faktor politik di Myanmar turut bakal memberi kesan terhadap perkembangan Grab di negara itu.
Apa pun halangan yang bakal menimpa, Grab merupakan satu manifestasi kejayaan bahawa syarikat gergasi boleh dilahirkan dari kotaraya Kuala Lumpur meskipun akhirnya syarikat itu memindahkan operasi utama mereka ke seberang tambak.
Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY