Graeber, Pengampunan Hutang dan Revolusi Haiti

David Graeber
Share it

Graeber, Pengampunan Hutang dan Tragedi Revolusi Haiti.

Komuniti akademia baru-baru ini terkilan dengan pemergian David Graeber, yang dikenali bukan sahaja sebagai seorang pengkritik ketidaksamaan (inequality) yang ulung, tetapi juga sebagai seorang aktivis pro-rakyat yang tekal.

Graeber tidak terjerat dalam perlumbaan “tulis dan terbit” yang menjangkiti ramai ahli akademik masa kini, sebaliknya giat turun ke jalanan untuk memperjuang isu-isu yang dekat di hati marhaen. Penglibatan beliau dalam gerakan anti-penubuhan seperti Occupy Wall Street dikatakan menjadi punca perkhidmatannya di Universiti Yale tidak dilanjutkan.

Pertama kali saya mengenali nama tokoh ini apabila buku berjudul Debt: The First 5,000 Years diterbitkan pada tahun 2011. Selaku seorang pelajar ekonomi dan sejarah politik saya tentunya tertarik dengan karya beliau. Bukan sahaja membaca, malah buku audionya juga saya dengari di Audible.

Tujuan rencana ini bukan untuk menelaah buku tersebut tetapi untuk menyinggung salah satu buah fikiran yang terkandung dalam Debt. Graeber memaksa pembaca memikirkan tentang makna hutang dengan lebih mendalam.

Di bab awal bukunya Graeber meriwayatkan semula perbualan beliau bersama seorang wanita di sebuah majlis keraian. Graeber menceritakan perjuangan beliau untuk mendapatkan pengampunan hutang negara dunia ketiga oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). ‘Tetapi bukankah setiap hutang wajib dilangsaikan tak kira berapa besar jumlahnya?’ jawab wanita itu.

Dogma ini acap kali diulangi. Memang dalam era kapitalis moden ini kewajiban membayar hutang tak perlu dipersoalkan lagi. Kalau tak percaya, cubalah jangan bayar ansuran hutang kereta atau rumah anda! Atau hutang PTPTN.

Namun, Graeber memprovokasi fikiran pembaca dengan membangkitkan soal kemunasabahan hutang. Adakah adil untuk menuntut pelangsaian hutang yang dibina atas perjanjian yang zalim dan tidak munasabah? Bagaimana kita menentukan batasnya?

Nasib Republik Haiti boleh dijadikan tauladan berkaitan hutang yang tidak adil dan munasabah.

Revolusi Haiti yang tercetus pada tahun 1791 antara pemberontakan terawal dalam sejarah moden dunia, tidak jauh lama selepas Revolusi Perancis dan Revolusi Amerika. Peristiwa ini dianggap sangat bersejarah disebabkan kejayaannya mendirikan republik kulit hitam pertama, iaitu Republik Haiti.

Ekonomi Haiti, dinamakan penjajah Perancis sebagai Saint-Domingue, yang berteraskan perladangan gula dan kopi telah menyalurkan keuntungan yang sangat lumayan kepada kerajaan Perancis dan peladang berkulit putih. Industri ini dibina di atas tenaga buruh hamba berkulit hitam seperti yang lazim berlaku di tanah jajahan kuasa-kuasa Eropah di benua Afrika, Amerika dan Asia.

Pada tahun 1791, golongan buruh hamba berkulit hitam telah memberontak dan mengangkat senjata menentang eksploitasi golongan penjajah Perancis dan peladang berkulit putih. Mereka akhirnya berjaya mengusir tentera Perancis dari pulau itu pada tahun 1804 lalu mendirikan Republik Haiti. Namun begitu kemenangan yang dikecapi ini dibeli dengan harga yang terlampau tinggi.

Pada tahun 1825, Perancis menghantar sebuah armada laut berlengkapkan 500 pucuk meriam ke bekas tanah jajahannya itu. Penggunaan diplomasi kapal perang (gunboat diplomacy) ini berjaya menekan Haiti untuk menandatangi perjanjian kemerdekaan yang menjahanamkan masa depannya. Haiti diwajibkan membayar pampasan kepada kerajaan Perancis sebanyak 150 juta franc atas kerugian yang ditanggung peladang-peladang akibat perang. Nilai ‘hutang kemerdekaan’ ini dianggarkan bersamaan dengan 21 bilion dolar US pada hari ini!

Bagai ditabur garam di atas luka, republik itu juga terpaksa meminjam wang daripada bank-bank Perancis untuk menjelaskan bayaran ansuran hutang tersebut, selain menurunkan harga barangan eksportnya ke Perancis sebanyak 50%.

Untuk membayar hutang raksasa itu (bersamaan 10 kali ganda belanjawan Haiti, dan 5 kali ganda belanjawan Perancis), kerajaan Haiti terpaksa mengenakan cukai tinggi kepada warganya. Pembangunan sistem pendidikan, penjagaan kesihatan dan prasarana awam pula tergendala.

Dengan kemusnahan harta dan nyawa akibat perang, kadar perindustrian yang rendah, dan pembangunan kemudahan awam yang terbantut, Haiti terjerumus dalam sebuah kitaran kejam kemiskinan. Walau sudah lebih dua abad Haiti merdeka, ia kini merupakan negara termiskin di Hemisfera Barat. Pada tahun 2019, 59% warganya berada di bawah garis kemiskinan manakala 24% dikelaskan sebagai golongan miskin tegar.

Haiti akhirnya berjaya melangsaikan hutang kemerdekaanya kepada Perancis besertakan faedah pada tahun 1947. Kita berbalik kepada soalan awal rencana ini. Adakah ini hutang yang munasabah dan adil?

Kesedaran pasca-kolonial yang menguat belakangan ini telah menimbulkan desakan-desakan supaya Perancis memampas semula Republik Haiti atas kezaliman perjanjian tersebut. Thomas Piketty, seorang sarjana terkemuka yang berasal dari Perancis, telah mencadangkan pampasan berjumlah 28 bilion dolar US. Kerajaan Haiti juga telah menyuarakan desakan pampasan bernilai 21 bilion dolar US pada tahun 2003. Perancis menolak tuntutan itu.

Gempa bumi yang melanda Haiti pada tahun 2010 telah menambahkan dan mendedahkan kesengsaraan rakyat Haiti yang memilukan. Selepas tragedi itu, beberapa negara-negara Barat, Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bersetuju mengampun hutang Haiti untuk meringankan bebanan Republik tersebut. Namun, nilai hutang yang diampun itu langsung tak terbanding dengan nilai hutang kemerdekaan yang diperah terdahulu.

Tujuan artikel ini bukanlah untuk memperlekeh konsep pembayaran hutang, tetapi untuk menekankan aspek keadilan dalam perangkaan sesebuah perjanjian hutang. Hal ini sangat penting kerana hutang yang keterlaluan antara masalah utama menghalang kemajuan negara-negara dunia ketiga. Haiti hanyalah satu daripada berpuluh-puluh contoh bekas jajahan yang senasib.

Perihal hutang juga relevan di Malaysia. Penamatan moratarium pinjaman bank akhir bulan ini akan mengganggu kestabilan hidup sesetengah golongan. Adakah kebanyakan rakyat Malaysia mampu untuk menyambung pembayaran hutang-hutang mereka? Terutama golongan peniaga kecil-kecilan, pekerja sektor pelancongan dan yang baru hilang pekerjaan. Bagaimana pula graduan baru yang masih belum bekerja tetapi sudah bergelumang dengan hutang PTPTN?

Adakah ini masa sesuai untuk kerajaan mempertimbangkan idea pengampunan hutang buat golongan yang rentan? Mungkin ya, mungkin juga tidak. Biarlah ahli-ahli ekonomi melakukan unjuran dan mencadangkan langkah terbaik kepada para penggubal dasar. Pelbagai faktor perlu diambil kira. Mampukah institusi kewangan tempatan menanggung usaha radikal ini?

Tetapi, menurut Graeber, konsep pengampunan hutang sebenarnya bukanlah begitu radikal. Kita dapat lihat dalam sejarah beberapa contoh seperti Raja Hammurabi yang membatalkan semua hutang terhadap kerajaan Babylon pada tahun 1792 SM, atau pelupusan 60% hutang luar negeri Jerman melalui Perjanjian Hutang London 1953.

Menggunakan pendekatan antrolopogi untuk menjawab sebuah persoalan ekonomi politik, Graeber telah mengilhamkan ramai orang – ahli ekonomi, pemimpin politik dan rakyat jelata – untuk mentafsirkan hutang dengan cara yang baharu. Inilah legasi beliau yang paling bermakna buat saya. Sesungguhnya hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

FIKRI FISAL merupakan penyelidik pengajian pembangunan dan ekonomi politik (political economy). Beliau juga merupakan penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *