Great Depression, Keynes dan Krisis Covid-19

Depression
Share it

Penularan wabak Covid-19 bukan sekadar meragut ribuan nyawa, ia juga memporak-perandakan susunan ekonomi dan sosial global. Di Malaysia, perintah kawalan pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa sejak 18 Mac 2020 telah melumpuhkan ekonomi negara sekelip mata.
Kakitangan diarahkan bercuti tanpa gaji atau dipotong gaji. Ada juga yang diberhentikan serta-merta. Peniaga kecil-kecilan tidak berdaya berjual beli lantas hilang mata pencarian sekaligus. Sektor pelancongan, antara yang paling terkesan, sudah mula memohon bantuan kerajaan biarpun belum sampai dua bulan negara diserang wabak Covid-19.
Apatah lagi kejatuhan harga minyak mentah Brent yang telah menjejaskan pendapatan dan anggaran belanjawan negara.
Apakah ini krisis ekonomi paling teruk pernah kita saksikan? Buat generasi muda jawapannya mungkin ya. Namun, dalam sejarah moden dunia, krisis ekonomi yang paling teruk tentulah The Great Depression (Zaman Meleset) yang melanda dunia dari tahun 1929 hingga 1938. Berikut adalah kata-kata bekas Presiden Amerika Syarikat Jimmy Carter tentang The Great Depression,
The Great Depression, yang telah saya harungi dan tidak akan lupakan, pengangguran melebihi 25 peratus, malah melebihi 35 peratus di tempat tinggal saya. Seorang lelaki dewasa akan bekerja satu hari suntuk, selama 16 jam, demi meraih satu dolar. Saya melihat ratusan manusia yang merantau dari Utara hanya untuk berteduh daripada kesejukan.”
“Mereka akan ke rumah-rumah, mengemis, meskipun memiliki pendidikan kolej. Orang ramai tidak punyai wang. Mereka berdagang menggunakan telur, atau haiwan. Ia memang zaman yang tidak terbanding dan terbayang.”

Memang tidak dapat disangkal bahawa The Great Depression adalah krisis ekonomi paling dahsyat dalam sejarah dunia abad ke-20. Namun, pada waktu genting inilah munculnya seorang pemikir agung ekonomi yang berjaya menyelamatkan dunia daripada terperangkap dalam kesengsaraan yang berlarutan. Nama beliau John Maynard Keynes.
Peneliti ekonomi pasti sudah kenal dengan Keynes atau Keynesianism, yang kekal relevan hingga kini. Secara ringkasnya, jasa terbesar Keynes adalah menghapuskan dominasi faham laissez-faire dalam pemikiran ekonomi arus perdana. Keynes telah menyumbangkan cara berfikir baharu dalam menghadapi kemelesetan ekonomi.
Laissez-faire, sebuah perkataan Perancis yang bermaksud “biarkan sahaja”, mempercayai bahawa campur tangan kerajaan dalam ekonomi haruslah minimum. Campur tangan berlebihan akan melahirkan masalah yang lebih besar lalu merumitkan keadaan. Sepatutnya ekonomi yang merosot dibiarkan untuk pulih secara sendirinya. Sepertimana yang sering diungkapkan penganut faham itu, “the market knows best. (pasaran sentiasa betul)”  
Secara amnya, pendekatan inilah yang digunakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat semasa mengharungi krisis-krisis ekonomi yang lepas seperti pada tahun 1819, 1837, 1907 dan 1920. Walaupun ada juga campur tangan, ia bersifat sangat terhad dan lebih berpaksikan polisi monetari seperti melaraskan kadar faedah contohnya.
Menurut faham laissez-faire, semasa kemerosotan ekonomi, kerajaan akan bertindak untuk mencapai keseimbangan belanjawan. Umpama seorang individu yang kekurangan wang mula berjimat-cermat, kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan sehinggalah ekonomi kembali ke titik equilibrium (keseimbangan), dimana full employment (guna tenaga penuh) akan wujud. Kemerosotan ekonomi dianggap sebagai “demam” yang bersifat sementara.
Walaupun kemerosotan ekonomi secara lazimnya bersifat sementara, penderitaan yang disebabkan The Great Depression amatlah dahsyat sehinggakan mencabar kewibawaan dan kewajaran faham laissez-faire. Lihat sahaja angkanya.
Kadar pengangguran menyentuh 25% pada akhir 1932. Tahun itu juga menyaksikan ekonomi mengecut sebanyak 12.9% dan Indeks Perindustrian Dow Jones menjunam sebanyak 90% daripada titik puncak sebelum krisis bermula.

Di tengah-tengah kemelut ini makin deraslah suara dan gagasan baru yang dirintis oleh Keynes. Keynes sebenarnya telah mula mengkritik pemikiran ekonomi klasik sejak awal 1920an.
Beliau mengkritik, antaranya, sikap austerity (jimat cermat) kerajaan dalam menghadapi kemerosotan ekonomi. Pelaksanaan polisi austerity akan membuatkan khalayak lebih menabung daripada melabur. Pelaburan yang rendah akan memerangkap ekonomi dalam keadaan yang meleset, lalu merencatkan pertumbuhannya dan mengekalkan kadar pengangguran tinggi buat tempoh yang berpanjangan.
Sebaliknya kerajaan tidak perlu takut untuk mengamalkan perbelanjaan defisit, dan berhutang, demi tujuan menggalakkan penggunaan dan merangsang permintaan. Permintaan yang tinggi akan mendorong pihak pengusaha untuk meningkatkan pengeluaran. Ini akan menambahkan pelaburan dan peluang pekerjaan. Kesimpulannya, ekonomi negara akan bangkit semula daripada kemelesetan.
Malah, Keynes menyeru supaya kerajaan sendiri mengambil inisiatif memperbanyakkan projek-projek awam semasa ekonomi merosot. Berdasarkan konsep yang digelar the multiplier effect (kesan pengganda), setiap suntikan satu dolar oleh kerajaan ke dalam ekonomi akan menghasilkan pertumbuhan yang lebih besar daripada satu dolar. Konsep inilah yang menjadi teras bagi penggubalan The New Deal (Perjanjian Baru) oleh Presiden Roosevelt yang diakui berjaya mengangkat ekonomi Amerika keluar dari The Great Depression.
Roosevelt, yang pernah memohon nasihat Keynes, meninggalkan kerangka laissez-faire dan melancarkan sebuah program insurans persaraan awam bernama Social Security (Jaminan Sosial). Pentadbiran Roosevelt juga menubuhkan Works Progress Administration yang bertujuan menyediakan peluang pekerjaan secepat mungkin. Kebajikan pekerja juga terperlihara dengan penggubalan Fair Labor Standards Act.
Program-program New Deal yang terang-terangan berorientasikan Keynesianism bertindak aktif dalam melindungi kebajikan golongan yang paling terkesan semasa kemelesetan ekonomi iaitu kelas pekerja.
Inilah warisan Keynes yang paling bernilai. Walaupun beliau mungkin lebih merisaukan kesinambungan sistem kapitalisme daripada kebajikan pekerja, tidak dapat dinafikan bahawa implikasi pemikirannya adalah perbaikan mutu hidup para pekerja. Ekonomi Keynes mendidik kerajaan untuk mengambil langkah yang lebih berprihatin terhadap kelas pekerja dalam kemelesetan ekonomi.
Pengangguran, misalnya, bukanlah sekadar angka statistik di surat khabar. Ia melibatkan keadaan hidup dan mati berpuluh jutaan manusia. Tanpa revolusi Keynes, mungkin ekonomi Amerika akan dibiarkan sahaja untuk pulih sendiri sementara berpuluh jutaan warganegaranya hidup merempat tanpa pendapatan atau perlindungan. Silap-silap akan mengambil masa belasan tahun. Silap-silap itulah titik equilibrium ekonomi yang baru.
Inilah kebimbangan utama yang wajib Kerajaan Malaysia selesaikan. Adakah Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 yang baru-baru ini diumumkan memadai? Pastinya tidak. Situasi kali ini lebih rumit daripada krisis-krisis terdahulu. Kini terdapat ramai yang bekerja dalam sektor bukan formal seperti pemandu Grab dan penulis freelance. Kalau krisis ekonomi dulu para peniaga nasi lemak masih boleh berniaga. Sekarang, tidak boleh.

Keputusan Kerajaan untuk membenarkan pengeluaran Akaun 2 KWSP sebanyak RM500 sebulan tidak akan membantu ramai peniaga kecilan yang entah-entah tidak pernah pun mencarum ke dalam akaun KWSP. Harus diingatkan bahawa perniagaan kecil dan sederhana (PKS) merangkumi 97% perniagaan di Malaysia.
Bantuan kerajaan sebanyak RM600 sebulan bagi mereka yang dipaksa bercuti tanpa gaji tidak akan membantu pekerja sektor bukan formal yang terjejas pendapatannya seperti pemandu grab. Ada juga kemungkinan yang pekerja sesebuah syarikat tidak berdaftar dengan Sistem Insurans Pekerja (SIP) justeru tidak layak menerima bantuan tersebut.
Mengambil iktibar dari Keynes, kerajaan perlu mengambil langkah pantas untuk memberikan perlindungan kepada golongan terkesan biarpun pekerja atau peniaga. Tumpuan utama patutnya memastikan mereka dijamin tempat berteduh, bekalan makanan, ubatan dan lain-lain bahan asas.
Selepas terjamin perlindungan asas, kerajaan perlu memikirkan cara-cara untuk menjadikan mereka peserta ekonomi yang aktif. Bagaimana mahu merangsang permintaan dan penggunaan dalam kalangan mereka?
Memandangkan sebarang aktiviti perniagaan tidak dibenarkan, adakah tiba masanya kerajaan melaksanakan universal basic income (pendapatan asas sejagat)? Adakah cash transfer (pemindahan tunai) seperti BSH diperlukan? Atau lebih efektif untuk mengagihkan e-tunai?

Meningkatkan defisit fiskal adalah kaedah yang terbaik untuk menanggung program-program yang dicadangkan di atas. Ini bukan masanya untuk risau tentang keseimbangan belanjawan atau penarafan kredit oleh Moody’s atau skor indeks World Economic Forum.
Bagi sesetengah warga Malaysia, ini sudah menjadi soal perjuangan antara lapar dan kenyang, antara susah dan senang, antara sempit dan lapang. Kerajaan tidak mampu untuk bergerak secara perlahan dalam mengurus masalah jangka-pendek ini. Sebarang bentuk penyelesaian harus dapat memanfaatkan golongan terkesan secepat mungkin.
Kelewatan merumuskan penyelesaian yang efektif akan mengeruhkan masalah yang semakin hari semakin teruk akibatnya. Hanya jangka masa pendek yang penting buat masa ini. Meminjam ungkapan Keynes yang tak luput dik zaman, “in the long-run, we are all dead (dalam jangka-masa panjang, kita semua akan mati).”
FIKRI FISAL merupakan penyelidik pengajian pembangunan dan ekonomi politik (political economy). Beliau juga merupakan penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated: Ownership and Control of Corporate Malaysia yang diterbitkan pada tahun 2017.