Hanya 3 Daripada 10 Pekerjaan Baru di Malaysia Dicipta Untuk Graduan

Share it
Bilangan pekerjaan baru berkemahiran tinggi semakin berkurangan

Laporan Tinjauan Pasaran Buruh terbaru oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bilangan pekerjaan baru yang dicipta meningkat kepada 20,890 pekerjaan pada suku keempat tahun 2021. Angka ini 38.9% lebih tinggi berbanding 15,040 pekerjaan yang dicipta pada suku ketiga 2021.

Walaubagaimanapun, sebahagian besar pekerjaan baru yang dicipta masih didominasi oleh pekerjaan separuh mahir. Sebanyak 64% daripada keseluruhan 20,890 pekerjaan yang dicipta merupakan pekerjaan separuh mahir diikuti 29% pekerjaan mahir dan selebihnya pekerjaan berkemahiran rendah.

Untuk keseluruhan tahun 2021, sebanyak 20,690 pekerjaan mahir dicipta, 18% lebih rendah berbanding 25,340 pekerjaan mahir yang dicipta pada tahun 2020 dimana pandemik Covid-19 mula melanda. Bilangan pekerjaan mahir yang dicipta pada ketika ini hanya bersamaan dengan 46% bilangan pekerjaan yang mahir yang diwujudkan pada tahun 2019.

Perkembangan ini sudah pasti mewujudkan kebimbangan buat pekerja-pekerja di Malaysia terutamanya golongan muda yang baru tamat belajar. Isu graduan baru yang tidak mendapat pekerjaan yang setanding dengan kelayakan akademik mereka sudah pasti akan membelenggu golongan ini buat sekian lama.

1.8 juta graduan bekerja di bawah kelayakan akademik mereka

Pada ketika ini, 1.8 juta orang graduan ataupun pekerja dengan pendidikan tinggi bekerja di dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan mereka. Di dalam istilah ekonomi, fenomena ini ditakrifkan sebagai guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran ( skill-related underemployment ).

Jumlah 1.8 juta pekerja yang bekerja di pekerjaan yang berkemahiran rendah ataupun separuh mahir ini bersamaan dengan 37.5% daripada keseluruhan pekerja-pekerja berpendidikan tinggi. Ini bermaksud, satu daripada tiga pekerja dengan pendidikan tinggi di Malaysia bekerja di dalam pekerjaan yang tidak setanding dengan kelayakan pendidikan mereka.

Isu graduan tidak mendapat pekerjaan yang sewajarnya ini sudah berlanjutan untuk sekian lama. Namun demikian, krisis Covid-19 telah menyebabkan masalah ini untuk lebih meruncing dengan bilangan mereka yang bekerja di bawah kelayakan meningkat dari 1.3 juta pada suku pertama 2018 kepada 1.8 juta pada suku keempat 2021.

Hampir 400,000 orang pekerja bekerja kurang daripada 30 jam seminggu

Selain daripada itu, bilangan pekerja yang bekerja dibawah 30 jam juga kekal tinggi pada iaitu 393,800 orang. Berbanding keadaan sebelum pandemik, bilangan buruh yang bekerja dibawah 30 jam hanyalah 304,000 orang.

Petunjuk ini memberi bayangan bahawa ramai pekerja di Malaysia tidak dapat memaksimumkan pendapatan mereka oleh kerana tidak cukup jam bekerja. Jam bekerja yang kurang sering berkait dengan permintaan buruh yang rendah sekaligus menyebabkan pekerja tidak mendapat waktu bekerja yang mencukupi daripada majikan mereka

Namun demikian, bilangan pekerja yang bekerja dibawah 30 jam jauh lebih rendah berbanding ketika Malaysia berada di kemuncak Covid-19 iaitu pada suku kedua 2020 dimana 789,600 orang dilaporkan bekerja kurang daripada 30 jam susulan pelaksanaan perintah berkurung.

Jabatan Perangkaan di dalam laporan tersebut menyatakan secara amnya keadaan pasaran buruh Malaysia berada di dalam momentum pemulihan. Kadar pengangguran terus berkurangan dari 4.7% pada suku ketiga kepada 4.3% pada suku terakhir 2021.

Bilangan mereka yang bekerja turut meningkat dari 1.8% kepada 15.44 juta orang meskipun negara masih berdepan masalah struktur yang serius terutamanya membabitkan pekerja-pekerja berpendidikan tinggi.

Artikel berkaitan:

Gaji Permulaan Graduan Semakin Jatuh, 53.6% Graduan Ijazah Terima Gaji Dibawah RM2,000

Hutang Pendidikan Bebankan Graduan

Graduan, Hutang & Pengangguran