Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz ketika diwawancara oleh CNBC di Davos menyatakan bahawa inflasi di Malaysia kekal rendah setelah Kerajaan mengambil beberapa inisiatif untuk menyerap kesan inflasi melalui kawalan harga dan subsidi.
Nada yang sama turut diungkapkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato’ Seri Mustapa Mohamed dimana beliau menyatakan kadar inflasi Malaysia yang berada di paras sekitar 2% adalah rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat.
Berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), inflasi terkini iaitu pada April 2022 merekodkan kenaikan tahunan sebanyak 2.3%. Di Amerika Syarikat misalnya, kadar inflasi pada April naik 8.3% manakala di zon Eropah naik sebanyak 7.5%.
Dalam kalangan negara serantau, inflasi di Malaysia kekal antara yang terendah. Singapura merekodkan inflasi sebanyak 5.4% dengan inflasi teras berada di paras 3.3%, tertinggi sejak sepuluh tahun yang lalu. Filipina dan Thailand pula masing-masing mencatatkan inflasi sebanyak 4.9% dan 4.6%.
Persoalannya, apakah rahsia ‘kejayaan’ Malaysia mengawal inflasi?
Inflasi atau dari sudut teknikalnya dipanggil Indeks Harga Pengguna (IHP) mengukur perubahan peratus kos pembelian “bakul” tetap barangan dan perkhidmatan yang mewakili corak purata pembelian oleh sekumpulan penduduk pada sesuatu tempoh masa yang ditetapkan.
Di dalam IHP, terdapat 12 kumpulan utama yang diukur oleh Jabatan Perangkaan seperti kos makanan dan minuman bukan beralkohol, pengangkutan, kediaman dan sebagainya. Setiap komponen ini mempunyai wajarannya yang tersendiri. Terdapat 552 item keseluruhan yang ditinjau oleh DOSM setiap bulan.
Kumpulan makanan dan minuman bukan beralkohol menyumbang 29.5% kepada keseluruhan IHP manakala kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain menyumbang 23.8% kepada indeks inflasi ini.
Antara sebab mengapa inflasi kekal rendah di Malaysia adalah kerana kawalan harga yang ditetapkan oleh Kerajaan. Sebagai contoh, harga minyak RON95 yang digunapakai secara meluas oleh rakyat ditetapkan pada RM2.05 seliter, jauh lebih rendah berbanding kira-kira RM4.50 seliter harga sebenar tanpa subsidi ketika ini.
Situasi ini menyebabkan komponen IHP pengangkutan tidak meningkat kerana perbandingan inflasi ini dibuat berbanding tempoh yang sama untuk tahun lalu.
Kadar inflasi bulan April 2022 akan dibandingkan dengan harga bulan April 2021
Harga bahan api tanpa subsidi sememangnya berada di paras tertinggi ketika ini. Proksinya boleh dilihat pada petrol RON97 dimana harga runcitnya kini mencecah RM4.70 seliter, paras tertinggi di dalam sejarah.
Di Singapura misalnya, harga petrol RON95 telah naik dari sekitar $2.58 pada Januari 2022 lalu kepada $3.22 pada penghujung Mei 2022. Ini bermaksud warga Republik itu membayar RM10.30 bagi setiap liter petrol, lima kali ganda lebih tinggi berbanding harga yang dibayar oleh rakyat Malaysia.
Selain petrol, Kerajaan juga memberi subsidi yang tinggi terhadap industri makanan sekaligus mengehadkan ketidaktentuan harga makanan. Beras dan minyak masak (paket) umpamanya yang merupakan barangan harian warga Malaysia disubsidikan oleh Kerajaan.
Kerajaan juga pada Januari lalu mengambil keputusan untuk membekukan kenaikan tarif elektrik dengan peruntukan tambahan subsidi sebanyak RM700 juta.
Dalam erti kata lain, inflasi di Malaysia yang kekal terkawal adalah kerana campurtangan Kerajaan di dalam pasaran melalui subsidi dan harga siling.
Namun demikian, persepsi rakyat kelihatan tidak seiring dengan data-data rasmi yang dikeluarkan oleh Kerajaan.
Mengapa persepsi rakyat berbeza dengan angka inflasi?
Rakyat melihat inflasi dari sudut kos sara hidup mereka. Manakala pembuat dasar melihat inflasi dari sudut makro yang mengukur peningkatan harga barangan secara keseluruhannya. Dua sudut pandang berbeza ini menyebabkan rakyat mungkin skeptikal dengan data-data inflasi yang dikeluarkan.
IHP yang dikeluarkan oleh DOSM mempunyai 552 item yang diukur dari semasa ke semasa. Realitinya, rakyat Malaysia tidak membeli 552 barang secara harian. Pembelian harian seperti makan tengah hari di pejabat ataupun mengisi minyak kereta di stesen minyak lebih memberikan kesan kepada ingatan orang ramai.
Rakyat juga mempunyai memory bias dimana perkara negatif lebih menonjol di dalam pemikiran kita. Sewaktu harga minyak berada pada paras RM1.30 seliter, rakyat mungkin tidak terasa dengan kenikmatan tersebut, tetapi apabila harga minyak kembali meningkat kepada RM2.05 seliter, rakyat mungkin berasa terbeban dengan harga minyak yang lebih tinggi ini.
Bank Negara Malaysia telah menjelaskan perkara ini sejak tahun 2017 lagi melalui artikel bertajuk Inflation: Perception vs. Reality.
Perception is Real
Hakikatnya, harga barangan harian di Malaysia sememangnya telah naik dengan drastik sekali. Keluhan rakyat ada asasnya meskipun data inflasi menunjukkan keputusan yang berbeza.
Harga nasi ayam misalnya telah naik 9.0% dari RM5.47 pada sebelum pandemik (Januari 2020) kepada RM5.96. Harga roti canai meningkat 7.1% dari RM1.13 sekeping kepada RM1.21 sekeping. Teh tarik pula naik 10% dari RM1.60 kepada RM1.76 secawan.
Angka ini jauh lebih tinggi berbanding purata kadar inflasi sejak tahun 2011 iaitu sekitar 1.9%.
Item-item ini merupakan barangan yang dibeli secara kerap oleh warga Malaysia. Oleh itu, tidak hairanlah rakyat sentiasa merasakan bahawa kos sara hidup semakin meningkat meskipun Kerajaan menyatakan inflasi kekal rendah.
Isu kos sara hidup yang semakin meningkat ini dijangka akan terus berlarutan untuk sekian lama lagi. Penyusutan nilai matawang Ringgit akan memberi tekanan kepada kos import Malaysia. Golongan berpendapatan rendah antara yang paling berisiko untuk berdepan dengan peningkatan harga barangan terutamanya melibatkan perbelanjaan makanan. Hal ini kerana Malaysia mengimport RM55 bilion makanan setiap tahun dan kemorosotan nilai Ringgit sudah pastinya memberi tekanan kepada pengguna.
Ura-ura mengenai subsidi bersasar bahan api juga mula kedengaran. Jika Kerajaan menarik kembali subsidi runcit petrol, inflasi dijangka akan meningkat tinggi. Namun langkah berani mati seperti ini sudah semestinya akan diiringi dengan penambahan bantuan tunai kepada isi rumah berpendapatan rendah.
Artikel berkaitan:
One thought on “Harga Barang Semakin Tinggi, Tetapi Kenapa Kadar Inflasi Kekal Rendah?”
Comments are closed.