Harga Rumah Naik Hampir 100% Dari Tahun 2010 Hingga 2020

Share it
Harga Penengah Rumah Meningkat dari RM158,000 Pada 2010 Kepada RM295,000 Pada Tahun 2020

Rumah…. Satu aset yang begitu mahal untuk dimiliki ketika ini. Jika ada pun yang sedia untuk dijual pada harga yang berpatutan, lokasinya berada di ceruk kampung dengan akses yang fasiliti yang mengecewakan. Isu ini bukannya masalah baru namun sudah berlarutan sejak sekian lama.

Bagi generasi baru, memiliki kediaman merupakan satu impian yang kekal menjadi mimpi. Dengan kenaikkan gaji yang rendah, menyewa merupakan pilihan utama golongan ini berbanding terikat dengan komitmen tinggi untuk tempoh sehingga 35 tahun.

Menurut Pusat Informasi Hartanah Negara ( NAPIC ), harga rumah di Malaysia telah meningkat hampir 100% dari tahun 2010 hingga 2020. Indeks harga rumah telah naik dari garis asas 100 mata kepada 199.3 mata dalam tempoh sepuluh tahun. Dari segi nilai mutlak, purata harga rumah telah naik dari RM217,857 kepada RM429,877.

Ini bermaksud dari tahun 2010 hingga 2020, harga rumah telah naik sebanyak 7.1% setiap tahun, lebih tinggi berbanding pulangan pelaburan Amanah Saham Bumiputera yang mencatatkan pulangan untuk tempoh 10 tahun sebanyak 7.06%.

Harga Rumah Naik Hampir 100% Sejak Tahun 2010

Zaman kegemilangan aset hartanah ini terletak pada tahun 2011 hingga 2013. Harga rumah telah meningkat kepada dua digit iaitu 11.8% dalam tempoh tiga tahun.

Namun demikian, peningkatan harga rumah ini rata-rata hanya menguntungkan individu-individu yang sudah pun memiliki rumah. Bagi orang ramai, angka-angka tinggi yang dilihat ini sesuatu yang menyeramkan mereka kerana peningkatan gaji mereka yang tidak setara dengan kenaikkan harga rumah.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, gaji penengah di Malaysia hanya naik dari RM1,500 pada tahun 2010 kepada RM2,442 pada tahun 2019. Ini bersamaan dengan 5.5% kenaikkan gaji tahunan, jauh lebih rendah berbanding kenaikkan harga rumah.

Dapatan Kementerian Kewangan Malaysia menunjukkan harga rumah kekal mahal dan tidak mampu dimiliki oleh rakyat Malaysia. Harga penengah rumah di Malaysia adalah 4.1 kali ganda lebih tinggi berbanding pendapatan tahunan isi rumah Malaysia sebanyak RM70,476 setahun.

Menurut definisi yang digunapakai oleh Institut Penyelidikan Khazanah, harga rumah dianggap mampu milik jika ianya berada di bawah 3.0 kali ganda pendapatan tahunan isi rumah. Jika lebih, ia tidak dianggap sebagai tidak mampu milik seperti tertera di dalam keterangan dibawah.

Rumah di Malaysia Sangat Tidak Mampu Milik Menurut Tinjauan Kerajaan

Harga penengah rumah di Malaysia pada tahun 2019 adalah sebanyak RM289,646, menurun dari RM298,000 pada tahun 2016. Skor gandaan median ( antara harga rumah dan pendapatan isi rumah ) telah jatuh dari 4.8 kali ganda kepada 4.1 kali ganda.

Meskipun trend menurun ditunjukkan untuk data terbaru, ia mungkin tidak memberi apa-apa makna kepada orang ramai kerana impak Covid-19 yang begitu kuat melanda negara ini.

Data menunjukkan Sabah, Sarawak dan Kelantan antara negeri yang paling tidak mampu milik di Malaysia. Di Sabah, pendapatan penengah isi rumah mereka hanyalah RM50,820 setahun, namun harga rumah penengah adalah sebanyak RM300,000.

Putrajaya pula mencatatkan indeks terbaik bagi rumah mampu milik. Harga penengah rumah di wilayah ini adalah sekitar RM260,000 tatkala pendapatan isi rumah tahunan yang tinggi iaitu pada RM120,000. Satu situasi yang tidak mengejutkan kerana gaji di sektor awam secara relatifnya lebih tinggi berbanding pendapatan majoriti yang bekerja di sektor swasta.

Gaji Naik Pada Kadar Yang Lebih Rendah Berbanding Harga Rumah

Isu harga rumah yang tinggi kelihatan tidak akan diselesaikan pada masa yang singkat ini. Dengan majoriti pemilik utama di pemaju-pemaju perumahan di Malaysia dimiliki oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, tidak terpancar sebarang sinar bagi pihak kerajaan untuk membina rumah mampu milik buat rakyat.

Bagi pemilik rumah sedia ada yang membayar ansuran bulanan, menurunkan harga rumah bukanlah sesuatu polisi yang didambakan buat mereka. Bahkan, merekalah antara kumpulan yang memperoleh keuntungan besar dari peningkatan harga rumah sejak 10 tahun yang lalu.

Untuk mereka yang belum memiliki rumah, anda mungkin boleh terus menyewa dan menyewa. Atau tunggu had pinjaman perumahan dinaikkan sehingga 40 tahun, sekaligus meningkatan kebarangkalian permohonan hutang anda untuk diluluskan oleh pihak bank.

Artikel bahagian kedua : 53,200 Unit Rumah Bernilai RM40 Bilion Masih Belum Terjual – Dimana Silapnya?

3 thoughts on “Harga Rumah Naik Hampir 100% Dari Tahun 2010 Hingga 2020

  1. Pingback: -

Comments are closed.