Ekonomi merupakan antara topik yang cukup digemari oleh ahli-ahli politik dalam usaha menampilkan sisi profesional mereka di khalayak ramai. Jika diperhatikan pada setiap kali musim pilihan raya, isu-isu ekonomi sering kali diketengahkan melalui manifesto-manifesto parti politik, meskipun retorik bangsa dan agama terus menjadi taktik utama dalam kempen mengumpan undi rakyat.
Pada ketika itu, seakan-akan kesemua ahli politik ini tiba-tiba menjadi pakar ekonomi yang begitu hebat dalam membicarakan soal pembangunan negara, pelaburan, inflasi, pengangguran dan sebagainya. Pelbagai terma dan istilah ekonomi yang begitu canggih disebut berulang kali bagi meyakinkan rakyat bahawa merekalah individu yang paling tahu dan layak dalam soal menguruskan ekonomi negara.
Misalnya, ahli-ahli politik yang memegang portfolio pelaburan dan perdagangan, baik di Kerajaan negeri mahupun persekutuan, begitu gemar untuk membuat pengumuman besar-besaran mengenai kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) yang bernilai berbillion-billion ringgit. Walaupun tidak dinafikan kemasukan FDI ini adalah satu perkembangan yang baik buat ekonomi, apa yang ahli-ahli politik ini umumkan hanyalah pelaburan yang diluluskan. Walhal, jumlah pelaburan yang berjaya direalisasikan mungkin lebih rendah daripada apa yang diluluskan.
Sebagai contoh, Malaysia berjaya tarik FDI berjumlah RM392.9 billion antara tahun 2018-2021. Namun, pelaburan FDI yang berjaya direalisasikan dalam tempoh tersebut hanyalah RM297.03 billion atau 75.6% daripada FDI yang diluluskan. Selebihnya hampir 25% sama ada masih belum, atau tidak berjaya dilaksanakan.
Jika diperhatikan, kadangkala manifesto yang dijanjikan sesetengah parti-parti politik ini sungguh tidak realistik untuk dilaksanakan serta-merta. Kebanyakan manifesto ini dirangka untuk tempoh jangka masa sederhana, iaitu untuk tempoh lima tahun mendatang sekiranya mereka memenangi pilihan raya yang ditandingi.
Namun, manifesto-manifesto ini sering menabur polisi-polisi yang begitu radikal, tanpa mengambil kira sama ada boleh dilaksanakan ataupun tidak dalam tempoh jangka masa sederhana tersebut. Antara yang sering didengari termasuklah janji untuk menghapuskan hutang PTPTN, memansuhkan kutipan tol, menurunkan harga minyak serta merta dan pelbagai janji manis lain.
Hakikatnya, terdapat pelbagai isu struktur ekonomi yang perlu dirawat terlebih dahulu bagi membolehkan manifesto-manifesto ini dijalankan. Akibatnya, ada antara manifesto ini tidak mampu dilaksanakan, malah hanya menjadi bola tanggung bagi dimanfaatkan pihak tertentu.
Ahli Politik Perlu Lebih Memahami Ilmu Ekonomi
Pun begitu, ini tidaklah bermaksud ahli-ahli politik ini perlu menjauhkan diri mereka daripada berbicara soal ekonomi. Malah, merekalah yang sepatutnya lebih mengetahui teori dan realiti ekonomi dengan kefahaman yang lebih mendalam. Hal ini kerana Jemaah Menteri yang dibentuk memiliki kuasa legislatif, sekali gus menjadikan mereka antara pembuat dasar tertinggi di negara ini. Segala keputusan yang ditentukan mereka akan menentukan hala tuju ekonomi negara dalam jangka masa pendek, sederhana mahupun panjang.
Bukan sahaja ilmu ekonomi ini perlu dikuasai oleh ahli-ahli politik di blok Kerajaan semata-mata, bahkan mereka di pihak pembangkang juga perlu menguasainya dengan baik agar dapat memainkan peranan yang lebih efektif dalam semak dan imbang segala keputusan yang dibuat dalam Parlimen. Meskipun ahli-ahli Parlimen, mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang ini tidak memegang jawatan dalam Kabinet, mereka tetap menjadi wakil rakyat yang bertanggungjawab terhadap aspek pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan masing-masing. Memiliki ilmu ekonomi yang baik akan membantu mereka merancang agihan peruntukan dengan lebih efektif dan optimum.
Baru-baru ini, arena politik negara dirancakkan dengan sebuah perdebatan ekonomi antara Menteri Ekonomi merangkap Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS).
Debat yang membawa tajuk “Model Baharu Ekonomi Malaysia” ini mendapat sambutan yang cukup hangat, lebih-lebih lagi kerana ia diadakan dalam masa lebih kurang tiga hari sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri. Tinjauan di Youtube mendapati siaran langsung debat ini di akaun rasmi Astro Awani mendapat sekitar 258 ribu tontonan, begitu juga dengan KiniTV (299 ribu) dan Harian Metro (162 ribu).
Semasa perdebatan tersebut, Syahir Sulaiman mengkritik Ekonomi MADANI kerana inti patinya dikatakan banyak meniru bulat-bulat apa yang terkandung dalam nota penyelidikan atau kertas cadangan yang dirangka oleh institusi luar seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). Pendapat yang sama turut dikongsi pakar ekonomi, Prof Dr Barjoyai Bardai, yang menggesa Kerajaan memiliki strategi unik demi memastikan Ekonomi MADANI dapat mencapai matlamat yang diinginkan.
Bank Dunia dan IMF Memiliki Kepakaran Dalam Penyelidikan Ekonomi
Sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, sebenarnya penglibatan pihak luar dalam soal pembangunan ekonomi negara telah bermula sejak sebelum Kemerdekaan lagi. Sebagai contoh, Pelan Draf Pembangunan (1950-1955) yang menjadi asas kepada Rancangan Malaysia telah dibangunkan oleh pentadbiran British di Tanah Melayu pada ketika itu. Malah, penubuhan Suruhanjaya Ekonomi dan Sekretariat Ekonomi (kini dikenali sebagai Unit Perancang Ekonomi (EPU)) pada tahun 1956 merupakan hasil saranan daripada International Bank for Reconstruction and Development (IBRD), atau dikenali sebagai Bank Dunia pada ketika ini.
Daripada satu sudut, sememangnya perlu diakui bahawa tiada masalah sekiranya Malaysia mahu mengikuti nasihat-nasihat ekonomi yang dicadangkan oleh institusi-institusi luar sebegini. Hal ini kerana institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF ini bukan calang-calang dari sudut kepakaran ekonomi dan jentera penyelidikan yang dimiliki mereka. Segala laporan atau kertas cadangan yang diterbitkan mereka sudah tentunya dihasilkan oleh pakar-pakar ekonomi yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang begitu luas.
Cadangan dasar atau policy recommendation yang dibuat oleh IMF secara kebiasaannya melibatkan sesi konsultasi dan pelbagai perbincangan bersama negara-negara anggota, demi mencapai matlamat ekonomi yang terbaik. IMF memperuntukkan Artikel IV di bawah IMF’s Articles of Agreement bagi mengadakan sesi konsultasi bersama wakil negara-negara anggota pada setiap tahun. Sesi konsultasi IMF bersama Malaysia yang terkini telah berakhir pada 20 Mac 2023. Hasil perbincangan daripada sesi konsultasi inilah yang akan menjadi kerangka kepada cadangan dasar yang diutarakan. Tambahan pula, Malaysia juga sudah menjadi negara anggota IMF sejak hujung 1950an.
Sekiranya dahulu, mungkin majoriti penyelidik yang berada dalam IMF dan Bank Dunia ini berasal dari negara-negara Barat. Namun, situasinya sudah berubah ketika ini apabila Bank Dunia pada tahun 2016 misalnya, telah membuka sebuah hab penyelidikan bersama yang terletak di Sasana Kijang, berhampiran Bank Negara Malaysia. Ada sebahagian penyelidik yang bekerja di Bank Dunia ini terdiri daripada warga Malaysia. Sekiranya diteliti nota atau laporan penyelidikan yang dikeluarkan IMF dan Bank Dunia, kebanyakannya sudah diterbitkan dalam konteks ekonomi tempatan. Sebagai contoh, Bank Dunia menerbitkan laporan Malaysia Economic Monitor sebanyak dua kali setahun khas bagi membincangkan isu-isu ekonomi yang relevan di negara ini.
‘False-Paradigm Model’, Risiko Buat Pembangunan Ekonomi Malaysia
Selain isu keunikan wawasan ekonomi, YB Syahir Sulaiman turut membangkitkan persoalan ‘kiblat ekonomi’ siapakah yang menjadi rujukan pentadbiran Kerajaan sekiranya apa yang terkandung dalam Ekonomi MADANI dilihat banyak persamaan dengan laporan IMF. Kegusaran Syahir Sulaiman ini ada rasionalnya. Hal ini kerana antara aspek yang wajar dilihat dalam perkara ini ialah fenomena ‘false-paradigm model’ yang sering berlaku dalam kalangan negara mundur dan membangun.
‘False-paradigm model’ berlaku apabila pembangunan ekonomi sesebuah negara tidak dapat mencapai potensi yang sebenar, berpunca dari nasihat ekonomi yang salah diberikan oleh pakar-pakar ekonomi atau institusi-institusi antarabangsa dari negara-negara maju.
Meskipun negara-negara maju ini memiliki sumber pengetahuan yang lebih hebat bagi menasihati hala tuju pembangunan ekonomi negara-negara mundur atau membangun, hakikatnya hanya negara mundur atau membangun tersebut sahaja yang benar-benar tahu realiti sebenar di negara masing-masing. Mungkin ada cadangan dasar yang diberikan ini berkesan di negara negara-negara maju, tetapi sebenarnya tidak sesuai dilaksanakan di negara-negara mundur atau membangun tersebut. Akibatnya, ada sesetengah negara mundur atau membangun ini sukar mencapai status ekonomi maju akibat tersilap langkah dalam merangka polisi ekonomi negara.
Sebagaimana yang diterangkan oleh ahli ekonomi Korea Selatan Ha Joon Chang dalam buku beliau Kicking the Ladder, negara-negara maju (baca: Barat) ini sering memaksa negara-negara mundur dan membangun mengguna pakai polisi ‘best-practice’ yang dirangka oleh mereka, tanpa mengambil kira sama ada ia relevan untuk dilaksanakan di sana ataupun tidak.
Walaupun penyelidik-penyelidik di institusi-institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan IMF ini ada dalam kalangan rakyat tempatan, jawatan-jawatan tertinggi dalam institusi ini terus dimonopoli oleh negara-negara Barat, termasuklah di cawangan-cawangan yang ditubuhkan di negara-negara mundur dan membangun. Dominasi kepimpinan tertinggi oleh mereka daripada negara-negara Barat ini sering hadir dengan persepsi yang berbeza berbanding warga tempatan dalam memandang sesebuah isu. Akibatnya, mungkin ada sesetengah cadangan dasar yang diutarakan mereka menjadi kurang relevan kerana masih dibelenggu oleh perbezaan pemikiran ini.
IMF Punca Krisis Ekonomi Asia 1997 Lambat Pulih?
Tokoh ekonomi dan penerima hadiah Nobel, Joseph E. Stiglitz pernah mengkritik Perbendaharaan AS dan IMF kerana memberikan cadangan dasar yang salah kepada negara-negara yang terlibat dalam Krisis Ekonomi Asia 1997. Stiglitz menyifatkan polisi-polisi yang disarankan IMF dan Perbendaharaan AS pada ketika itu mencerminkan kegagalan mereka memahami asas teori makroekonomi moden, yang mana pada akhirnya menyebabkan negara-negara tersebut terperangkap dalam krisis lebih lama.
Beliau turut memerli negara-negara maju yang sebenarnya tidak kisah mengenai penderitaan rakyat di negara-negara mundur atau membangun yang terkesan akibat krisis ekonomi. Apa yang dikisahkan oleh negara-negara maju ini hanyalah wang yang dipinjamkan bank-bank Barat ini kepada negara-negara mundur atau membangun yang terjebak dalam krisis.
Memetik kata-kata beliau dalam buku yang bertajuk Freefall: America, Free Markets, and the Sinking of the World Economy: “Incorrect economic theories not surprisingly lead to incorrect policies, but, obviously, those who advocated them thought they would work. They were wrong.”
Di samping itu, nama IMF juga boleh dikatakan mempunyai stigma yang negatif dalam kalangan rakyat Malaysia akibat kisah negara-negara Asia meminjam daripada IMF ketika Krisis Ekonomi Asia 1997. Lebih memburukkan keadaan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah memegang jawatan selaku Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Bank Dunia dan IMF sekitar 1998 turut dilabel sebagai ‘ejen’ IMF kerana ingin mendapatkan bantuan kewangan daripada IMF semasa krisis tersebut.
Bagi menstabilkan matawang tempatan yang jatuh merudum pada ketika itu, majoriti negara-negara yang terlibat dalam Krisis Kewangan Asia 1997 telah mengambil langkah dengan menjual rizab asing yang dimiliki mereka dan seterusnya membeli matawang tempatan. Tidak cukup dengan itu, mereka disaran untuk membuat pinjaman besar-besaran daripada institusi-institusi kewangan seperti IMF serta mengikuti saranan IMF supaya mengetatkan polisi fiskal dan monetari serta menaikkan kadar faedah secara agresif. Meskipun langkah-langkah yang dicadangkan IMF ini sedikit sebanyak berjaya mengurangkan tekanan terhadap matawang tempatan, hakikatnya nasihat IMF ini telah menyebabkan negara-negara ini terjerumus dalam kemelesetan ekonomi yang lebih teruk.
Malah, analisis pertumbuhan KDNK turut mendapati sebenarnya tiada perbezaan yang ketara antara pemulihan ekonomi bagi negara-negara yang menerima bantuan kewangan IMF ataupun tidak. Sebagai contoh, Thailand yang meminjam AS$4 billion dari IMF mencatatkan pertumbuhan ekonomi 5.0% pada tahun 1999, berbanding 5.4% yang direkodkan oleh Malaysia. Seolah-olahnya, tiada beza pun sekiranya negara tersebut menerima bantuan kewangan IMF ataupun tidak semasa krisis.
Sehingga kini, IMF masih terus berbangga seolah-olah merekalah penyelamat apabila sesebuah negara dilanda krisis ekonomi. Apa yang sering dibuat IMF ialah memaksa negara-negara ini membuat perubahan besar pada polisi-polisi negara sebagai prasyarat sekiranya mahu meminjam wang. Misalnya, IMF meluluskan pinjaman AS$7.5 billion kepada Argentina baru-baru ini dengan syarat Argentina harus mengetatkan polisi monetari. Perjanjian bersama IMF ini dikritik oleh Timbalan Presiden Argentina, Cristina Fernández de Kirchner kerana dikatakan sebagai punca kejatuhan nilai peso dan peningkatan inflasi.
Kebijaksanaan Pentadbiran Kerajaan, Penentu Kejayaan Polisi Ekonomi
Walau apa pun yang berlaku, di akhir sekali, wawasan ekonomi negara haruslah dirangka dengan lebih realistik bagi mencerminkan realiti sebenar di negara ini dengan melibatkan perbincangan menyeluruh bersama pihak berkepentingan untuk kemajuan negara. Apa yang turut sama penting juga ialah polisi ekonomi mestilah mempunyai mekanisme yang terperinci untuk mencapai matlamat ekonomi yang diidam-idamkan.
Pelaksanaan polisi ekonomi negara juga bergantung besar kepada kebijaksanaan Kerajaan dalam menguruskan dana dengan baik, serta dalam masa sama mengurangkan penyelewengan yang berleluasa. Soal ‘kiblat ekonomi’ tidak sepatutnya menjadi sebuah isu yang besar sekiranya Kerajaan mempunyai visi ekonomi yang jelas dan realistik. Bak kata pepatah Melayu (bukan pantun), ‘buang yang keruh, ambil yang jernih’. Begitulah pendekatan terbaik yang sewajarnya diutamakan dalam soal menentukan hala tuju ekonomi negara.