Industri Kreatif Kekal Suram, Kutipan Tiket Filem Malaysia Jatuh 92% Tahun Lalu

Share it
Kutipan Panggung Wayang Jatuh 89% Kepada RM124 juta

Industri kreatif tanahair mengalami detik suram ketika ini berikutan pandemik Covid-19 yang kian tidak berkesudahan. Kemarau konsert hiburan dijangka akan berterusan untuk tempoh beberapa bulan lagi dengan budaya norma baru seperti penjarakkan fizikal akan terus diamalkan selagi wabak ini tidak dapat dibendung.

Manakala industri perfileman yang rancak pada tahun 2019 terus lesu apabila aktiviti syarikat-syarikat produksi semakin terhad. Panggung wayang yang ditutup sejak Mac lalu tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan yang memberangsangkan tambahan pula PKP3.0 kembali dilaksanakan lagi.

Syarikat pengendali panggung wayang, MBO Cinemas antara mangsa utama Coronavirus di dalam industri hiburan tanahair. Syarikat ini terpaksa diambilalih oleh Golden Screen Cinemas ( GSC ) setelah terbelenggu dengan liabiliti berjumlah RM111 juta pada Oktober lalu tatkala tiada sebarang aliran tunai kerana perniagaan tidak beroperasi sepenuhnya.

Pada Februari 2021, GSC yang dimiliki oleh konglomerat PBB Group milik Robert Kuok bersetuju menyelamatkan syarikat ini sekaligus meluaskan dominasi GSC di dalam industri panggung wayang. Dengan pengambilalihan MBO, GSC dijangkakan mempunyai keseluruhan 60 panggung wayang yang berada di bawah kawalan mereka di seluruh Malaysia.

Kutipan Tiket Filem Jatuh Mendadak

Menurut Laporan Tahunan PBB Group, kutipan ‘box office’ di Malaysia telah susut 85% pada tahun lalu kepada RM138 juta berbanding RM905 juta pada tahun sebelumnya. Angka ini jauh lebih tinggi berbanding kejatuhan kutipan tiket filem global yang susut 71%.

Manakala data FINAS pula menunjukkan kutipan tiket filem jatuh RM1.08 bilion kepada RM124 juta dalam tempoh yang sama.

Filem Tempatan Hanya Berjaya Mengutip RM12 juta Pada Tahun 2020

Bagi filem-filem tempatan, kutipan tiket telah jatuh 92% kepada lebih kurang RM12 juta untuk keseluruhan tahun lalu dengan hanya sekitar 23 filem ditayangkan. Ini merupakan tamparan besar buat industri perfileman tanahair kerana pada tahun sebelumnya, jualan tiket filem tempatan telah berjaya mengutip RM145 juta.

Penggiat seni terkenal, Nasrul Suhaimin Bin Saifuddin yang lebih dikenali dengan nama pentasnya, Bront Palarae turut menyuarakan kebimbangannya susulan krisis ekonomi yang tidak berkesudahan ini. Menurut beliau, isu kecairan tunai dan ketidaktentuan SOP di Malaysia antara masalah utama yang dihadapi oleh mereka yang berada di dalam industri kreatif.

” Saya rasa masalah liquidity lah masalah yang paling besar. Kebanyakkan syarikat bermasalah dari sudut jangka masa pendek kerana business cycle disrupted. Masing-masing tengah fikir survival. What makes it worst, adalah stop start, stop start.  “

Namun demikian, beliau menyatakan kerajaan ada menyalurkan bantuan melalui parachute money yang dikendalikan oleh MyCreativeVentures dan FINAS. Bagi sesetengah pihak pula, platform penstriman atas talian atau OTT juga membuka ruang bagi sebilangan produser untuk meraih pendapatan mereka apabila menayangkan filem-filem mereka di platform tersebut.

Penggiat seni, Bront Palarae berkongsi pandangan mengenai industri kreatif tanahair bersama Ekonomi Rakyat

Walaubagaimanapun, Bront kekal skeptikal dengan ekosistem industri kreatif tanahair selain risau dengan isu filem tidak berkualiti susulan lambakan filem yang tidak ditayangkan ketika ini.

” Dari sudut ekosistem bagi saya, akan ada banyak syarikat yang bermasalah. The industry itself akan ada consolidation, takeover, merger dan sebagainya. From creative perspective, bila filem siap tetapi tidak ditayangkan, tetapi kita ada skim wajib tayang. Sekarang backlog banyak ni. Backlog almost a year. I think over 100 titles yang tak keluar. By the time buka balik, what’s gonna happen to the ecosystem then.

Bront yang diwawancara secara atas talian lewat Mei lalu juga mengatakan bahawa ekosistem di dalam industri sudah tidak seimbang sejak sebelum krisis Covid-19 lagi. Menurut beliau, graduan-graduan industri kreatif dan multimedia misalnya terpaksa bekerja bertahun-tahun sebelum dapat melunaskan hutang pendidikan mereka.

Dengan kehadiran Covid-19, bukan sahaja golongan muda yang terkesan, mereka yang sudah lama bekerja di dalam industri kreatif juga dijemput ‘bersara’ katanya lagi.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY