“ Inflasi Naik. Gaji Tak Naik “ – Tun Daim Zainuddin

Share it
Tun Daim ketika diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di pejabatnya di Menara Ilham

Bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin menyuarakan kebimbangannya mengenai tahap hutang negara yang tinggi melangkaui lebih RM1 trilion. Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat di pejabatnya di Menara Ilham skeptikal dengan kemampuan Kerajaan dalam menguruskan kewangan negara.

” Saya berasa kurang senang kerana hutang negara kita banyak, RM1 trilion. Subsidi saja tahun ini RM80 bilion. Adakah keadaan ini boleh dikekalkan? Dan Kerajaan terus meminjam dan meminjam untuk memacu pertumbuhan……. Kita harus merancang tetapi saya rasa Kerajaan yang ada sekarang tidak mempunyai perancangan yang betul. Kerajaan tidak boleh terus meminjam walaupun mereka kata ia bukan masalah kerana pinjaman yang dibuat adalah pinjaman domestik. Pinjaman domestik mahupun pinjaman luar, Kerajaan tetap kena bayar. Mahu tak mahu tetap kena bayar. Sekarang caj pembayaran faedah hutang amat besar. “

Menurut data yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, hutang negara tahun ini dijangka mencecah RM1.04 trilion, meningkat 6.5% berbanding RM979.8 bilion yang dilaporkan pada tahun 2021.

Kos khidmat hutang yang ditanggung Kerajaan juga meningkat dengan ketara sekali seiring dengan peningkatan jumlah hutang. Pada tahun hadapan, Malaysia dijangkakan membelanjakan RM46.1 bilion untuk tujuan pembayaran faedah yang bersamaan dengan 16.9% daripada keseluruhan hasil yang diterima Kerajaan Malaysia.

Sebagai perbandingan, Kerajaan Malaysia hanya membelanjakan 9.8% (RM15.6 bilion) daripada keseluruhan hasil untuk tujuan pembayaran faedah pada tahun 2010.

Daim turut mengkritik obesesi Kerajaan yang terlalu memberi fokus terhadap pertumbuhan ekonomi walaupun ia tidak mencerminkan realiti sebenar yang dihadapi rakyat. ” Kerajaan kata kita di dalam pertumbuhan. Kita boleh ada pertumbuhan, tetapi apa yang rakyat sedang alami? Apa yang lebih penting adalah rakyat. Adakah rakyat berpuas hati dengan pertumbuhan ini? “.

Beliau kemudiannya menyenaraikan beberapa isu meruncing yang dihadapi rakyat ketika ini.

” Inflasi naik, gaji tak naik. Pengangguran tinggi. Kerajaan tidak menjaga perkara ini, keutamaan sekarang ini nak tunjuk pertumbuhan. (Sedangkan) rakyat sedang menderita. Kerajaan harus menangani masalah ini. Bagaimana Kerajaan nak selesaikan isu inflasi?”

Daim kemudiannya menjelaskan isu ekonomi harus dilihat secara komprehensif dan polisi yang betul harus dilaksanakan bagi mewujudkan keyakinan dalam kalangan orang ramai. Beliau berpendapat bahawa orang ramai kini merasakan Kerajaan sekarang berada dalam keadaan ‘clueless’. Tambah beliau, keadaan ini berbahaya kerana pelabur mungkin tidak berminat dengan negara kita lagi.

Beliau juga mempersoalkan peranan yang dimainkan oleh Bank Negara dalam membantu negara mengawal inflasi. Daim mengambil contoh berkenaan isu jaminan makanan dimana telah terkesan teruk akibat penyusutan nilai matawang Ringgit dan gangguan rantaian bekalan yang mengakibatkan kenaikan harga makanan.

” Macam Bank Negara, mereka ada rizab sebanyak RM400 bilion. Apa yang mereka buat dengan rizab tersebut? Adakah mereka membantu ekonomi? Sektor pertanian misalnya, mereka beri RM600 juta untuk jaminan makanan. Adakah mereka memantau perkara ini? Kenapa mereka tidak mengekang inflasi? Saya katakan bekalan wang adalah tanggungjawab mereka. Tiada keputusan dibuat. Peranan mereka sebagai Bank Negara, inflasi harus dijaga. “

Mengikut data terkini Jabatan Perangkaan Malaysia, komponen indeks harga pengguna untuk makanan dan minuman bukan beralkohol telah meningkat 6.8% pada September 2022. Manakala komponen restoran & hotel yang telah naik 6.9% dalam tempoh yang sama.

Peningkatan komponen-komponen melibatkan makanan ini jauh lebih tinggi berbanding inflasi 4.5% yang dilaporkan pada September lalu.

Ketika ditanya mengenai isu rasuah yang semakin membarah di negara ini, Daim yang diwawancara pada Selasa lalu menegaskan betapa bahayanya kesan dan impak yang dialami oleh negara akibat perbuatan rasuah.

” Contoh terbaik adalah Sri Lanka. Sri Lanka dahulunya sebuah negara yang berjaya, ekonomi sukses. Akhirnya, ketamakan telah menyebabkan (krisis) berlaku…… Kesan daripada rasuah, sekolah tak boleh diperbaiki, jalan rosak, harga makanan naik dan sebagainya. Ia memberi kesan terhadap semua orang di negara ini. “

Mengikut data yang dikeluarkan oleh Transparency International, mata Indeks Persepsi Rasuah (CPI) di Malaysia telah jatuh dari 49 mata pada tahun 2012 kepada 48 mata pada tahun 2021. Ini bermaksud tiada sebarang kemajuan positif yang diperolehi dalam usaha Malaysia menangani isu rasuah untuk tempoh 10 tahun yang lalu.

Negara jiran, Indonesia pula dalam masa yang sama telah menunjukkan perkembangan yang baik apabila mata CPI yang direkodkan telah meningkat dari 32 mata kepada 38 mata dalam tempoh yang sama.

Ditanya tentang solusi, Daim berpandangan bahawa sokongan rakyat diperlukan untuk membanteras gejala rasuah. Beliau turut menegaskan Kerajaan sepatutnya tidak boleh campur tangan dengan urusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

” Apa pun, sokongan rakyat diperlukan untuk membanteras rasuah. Kita perlukan individu-individu yang berintegriti. Kerajaan tidak sepatutnya campur tangan dengan urusan SPRM. Yang salah tetap salah. Kita harus patuh pada undang-undang. Itu yang penting. Maka orang ramai akan hormat. Mesti jujur dan ikhlas “

Meskipun kurang senang untuk menjawab soalan politik, Daim turut mengambil kesempatan membidas sebilangan pemimpin politik yang bercakap kosong tanpa menawarkan penyelesaian sebenar kepada pengundi.

” Tak mahu cakap kosong saja. Nak potong sana sini, rasuah, nepotisme, kroni sana sini. Bunyi sedap. Mengkritik memang senang. Dia itu tak betul, dia ini tak betul. Tetapi macam mana anda cuba menyelesaikan masalah ini. “

Beliau mengakhiri wawancara dengan berkata bahawa Malaysia memerlukan gabungan politik yang boleh memimpin dan mengembalikan kestabilan dan kemakmuran di negara ini. Tambah Daim, jika rakyat Malaysia tidak bersatu, maka parti politik perlu sentiasa mencari ‘partner‘ untuk membentuk Kerajaan. Keadaan ini tidak baik untuk kestabilan negara kerana perbezaan ideologi dan visi dalam kalangan gabungan politik tersebut.