Jihad Melawan Inflasi – Kekalahan Yang Tertangguh

Share it
Kerajaan Peruntukan RM37.3 Bilion Untuk Subsidi Bahan Api

Menteri Kewangan pada 25 Jun lalu mengeluarkan kenyataan media bagi menjelaskan bahawa Kerajaan akan memperuntukan sejumlah RM77.3 bilion untuk tujuan subsidi dan bantuan sosial pada tahun ini. Langkah ini diambil bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi rakyat susulan peningkatan beberapa barangan keperluan di seluruh negara.

Antara item yang mengalami peningkatan adalah ayam dimana Kerajaan terpaksa melakukan pusingan-U dan meningkatkan harga maksimum ayam bulat standard pada RM9.40 sekilo berbanding RM8.90 pada sebelum ini.

Dasar ini sudah semestinya mengundang reaksi negatif buat beberapa pengeluar ayam di negara ini yang mahu meningkatkan harga jualan mereka sejajar dengan peningkatan harga dedak ayam. Sebelum ini, pengeluar-pengeluar ayam dilaporkan melakukan protes terancang apabila menutup kilang mereka untuk dua hari dengan alasan ‘ayam tidak cukup berat’.

Selain ayam, minyak masak bagi pembungkusan di dalam botol juga mengalami peningkatan harga apabila Kerajaan menarik balik subsidi bagi mengekang penyelewengan subsidi minyak masak. Namun demikian, penjualan minyak masak di dalam paket kekal disubsidikan Kerajaan pada harga RM2.50 sekilo.

Walaubagaimanapun, pengguna rata-rata mengadu bahawa bekalan minyak masak di dalam paket sukar didapati di kedai dan pasar raya sekaligus menyebabkan Kerajaan mengumumkan operasi khas bagi memantau rantaian bekalan minyak masak ini. Menurut kenyataan media Perdana Menteri, subsidi 55,000 tan metrik minyak masak paket sebulan sepatutnya mencukupi bagi kegunaan domestik.

Inflasi Rasmi Malaysia Kekal Rendah

Inflasi Malaysia Kekal Rendah Pada 2.8% Pada Mei 2022

Data terbaru Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan inflasi di Malaysia kekal terkawal pada 2.8% pada Mei 2022, jauh lebih rendah berbanding inflasi di Zon Eropah (8.1%), Amerika Syarikat (8.6%) ataupun Filipina (5.4%).

Seperti yang diterangkan di dalam artikel terdahulu Ekonomi Rakyat, sebahagian besar peningkatan kos pembelian rakyat telah diserap oleh Kerajaan melalui subsidi. Sebagai contoh, harga runcit petrol tanpa subsidi akan menyebabkan pengguna kenderaan perlu membayar sekitar RM4.50 bagi setiap liter petrol.

[ Patutkah Subsidi Minyak Digantikan Dengan Bantuan Tunai ]

[ Harga Minyak Petrol Di Malaysia Kekal Antara Yang Termurah Di Dunia ]

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Mustapa Mohamed berkata tanpa subsidi yang disalurkan oleh Kerajaan, inflasi di Malaysia pada bulan Mei lalu akan mencecah 11.4%. Angka ini setanding dengan kadar inflasi yang dihadapi di beberapa negara Barat.

RM37.3 bilion diunjurkan akan dibelanjakan Kerajaan bagi mengekalkan harga petrol, diesel dan LPG pada harga semasa. Jumlah ini hampir tiga kali ganda lebih tinggi berbanding perbelanjaan subsidi bahan api pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM13.2 bilion.

Majoriti Besar Subsidi Bahan Api Dibolot Kumpulan Berpendapatan Tinggi

Menteri Kewangan dua bulan lalu menyatakan bahawa 53% daripada subsidi bahan api yang diperuntukkan dinikmati oleh kumpulan Tertinggi 20%. Statistik ini juga menunjukkan bahawa golongan kaya kini membolot lebih banyak subsidi minyak berbanding kiraan awal yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia pada tahun 2015 iaitu pada 42%.

Bukan itu saja, kumpulan berpendapatan tinggi juga dijangka menikmati sebahagian besar subsidi elektrik yang diperuntukkan Kerajaan pada separuh kedua ini. Kerajaan dijangka akan membelanjakan RM5.8 bilion bagi mengekalkan tarif elektrik pada kadar yang sedia ada.

Rumah mereka yang berpendapatan tinggi secara amnya menggunakan lebih banyak elektrik melalui penggunaan penghawa dingin, peti sejukbeku dan lain-lain.

Kedua-dua perbelanjaan ini 3.7 kali ganda lebih besar berbanding Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang rata-ratanya memberi manfaat kepada golongan kumpulan B40.

Bahkan jika Kerajaan menukarkan subsidi ini kepada bantuan tunai, Kerajaan boleh memberi tambahan RM14,760 setahun kepada isi rumah B40. Dan jika Kerajaan ingin meluaskan lagi BKM kepada kumpulan terbawah 80% (B80), setiap isi rumah berpendapatan RM9,619 kebawah akan menerima bantuan tunai sebanyak RM7,380 setahun yang bersamaan dengan RM615 sebulan.

Jihad Melawan Inflasi – Strategi Tidak Mampan

Fokus Kerajaan yang ingin mengekang inflasi dengan mengawal harga adalah satu strategi yang tidak mampan dan efisien. Pertama, subsidi pukal seperti minyak dan elektrik lebih menguntungkan golongan berpendapatan tinggi.

Keduanya, subsidi seperti ini membuka ruang ketirisan. Berita dan cerita bahawa subsidi minyak petrol dan minyak masak diseludup ke Selatan Thai bukanlah satu perkara yang asing untuk didengari.

Ketiga, menyelaras dan memantau kesemua item yang dikawal harganya adalah satu kerja yang sukar. Lihat saja isu ayam yang melibatkan pelbagai rantaian bekalan, bagaimanakah Kerajaan ingin memastikan harga ayam kekal dijual dibawah harga siling.

Harga Purata Ayam Naik 15% Kepada RM9.70 Sekilogram Pada Mei 2022

Bagaimana pula dengan isu kekurangan bekalan ayam?

Berapakah margin keuntungan yang diperoleh terutamanya bagi penjual akhir?

Dasar meletakkan harga siling pada barangan keperluan seperti ini akan merencatkan pasaran barangan tersebut sendiri.

Kerajaan perlu mempertimbangkan untuk menukar kaedah bantuan dengan memfokuskan bantuan kepada rakyat di dalam bentuk tunai bagi menambah pendapatan rakyat. Langkah ini sememangnya tidak popular (kerana subsidi barangan akan ditarik balik), namun ia lebih cekap dalam memastikan setiap Ringgit perbelanjaan Kerajaan memberi manfaat yang maksimum.

Bantuan Keluarga Malaysia Hanya Tertumpu Kepada Kumpulan Isi Rumah B40

Pada detik ini, Bantuan Keluarga Malaysia mungkin hanya memanfaatkan sekitar 10% sahaja daripada kumpulan M40 kerana had pendapatan isi rumah untuk menerima BKM adalah RM5,000 sebulan sedangkan kumpulan M40 juga tertekan dengan peningkatan kos sara hidup.

*Kumpulan M40 adalah isi rumah yang berpendapatan RM4,360 hingga RM9,619 sebulan.

Statistik yang dikongsikan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan beberapa barangan keperluan asas mengalami peningkatan yang tinggi. Telur ayam gred C umpamanya telah meningkat 28% daripada RM3.18 bagi 10 biji pada Mei 2021 telur kepada RM4.08 pada Mei 2022.

Ikan kembung yang merupakan protein laut utama rakyat turut mengalami peningkatan 15% dari RM14.52 kepada RM16.65. Harga nasi ayam juga meningkat 7% dari RM5.62 sepinggan kepada RM6.04 sepinggan. Bahkan jika anda sakit kepala memikirkan isu inflasi, harga paracetamol juga naik 5% kepada RM4.92 sepapan.

Ikan Kembung Dijual Pada RM16.65 Sekilogram Pada Mei 2022

Parti Belum Bermula…. Inflasi Bakal Meningkat

Beberapa bank-bank pelaburan memberi indikasi bahawa sebahagian besar subsidi akan ditarik balik pada tahun hadapan. Maybank Investment Bank umpamanya meningkatkan unjuran inflasi tahun hadapan kepada 4.1%.

Subsidi elektrik juga akan tamat pada penghujung tahun ini dimana kadar tarif akan disemak semula. Pada Mei lalu, harga arang (Newcastle) yang merupakan sumber utama penjanaan tenaga di Malaysia telah naik kepada $428 setan metrik, jauh lebih tinggi berbanding $68.5 pada awal tahun 2020.

Selain harga komoditi yang meningkat naik, nilai Ringgit yang melemah juga dijangka akan mengakibatkan kenaikan harga barangan import. Nilai Ringgit telah susut 7% dari RM4.10 pada Januari 2020 kepada RM4.40 ketika ini.

Harga Komoditi Utama Dunia Meningkat Tinggi

Ini bukanlah satu perkembangan yang baik buat sebuah ekonomi yang mengimport RM987 bilion barangan dari seluruh dunia.

Polisi yang dilaksanakan Kerajaan ketika ini tidak akan mampu mengekang inflasi, tetapi hanya mampu menangguhkan inflasi buat seketika waktu sahaja. Jumlah peruntukan subsidi dan bantuan tunai sebanyak RM77.7 bilion adalah tidak mampan untuk tempoh masa yang panjang (unjuran perbelanjaan ini lebih tinggi berbanding RM75 bilion perbelanjaan pembangunan negara untuk tahun 2022).

Walaubagaimanapun, orang ramai tidak perlu gentar dan bimbang dengan penarikan subsidi barang keperluan (terutamanya minyak petrol dan diesel) dalam tempoh masa terdekat…… Kerana langkah ini tidak mungkin dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15.