Tokoh ekonomi negara, Prof Jomo KS menyatakan kanak-kanak merupakan mangsa terbesar di sebalik pandemik Covid-19 ini. Beliau yang diwawancara oleh Ekonomi Rakyat secara atas talian semalam menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan kanak-kanak yang terkesan akibat penutupan sekolah.
Menurut beliau, terdapat sebilangan besar kanak-kanak yang memperoleh bantuan Rancangan Makanan Tambahan di sekolah. Namun disebabkan penutupan sekolah, ramai yang terjejas dari segi kuantiti makanan serta kualiti makanan yang diambil.
” Saya dapati sesetengah anak-anak yang pernah mendapat Rancangan Makanan Tambahan itu, sekarang tidak dapat. Makanan mereka merosot bukan saja dari segi jumlahnya tetapi merosot dari segi khasiatnya. Dan itu tidak boleh diterbalikkan. Dalam jangka panjang, itu akan memberi kesan yang cukup besar. “
Selain itu, beliau juga mengkritik langkah kerajaan dalam menangani masalah pendidikan di saat wabak Covid-19. Beliau berpendapat bahawa Malaysia terlalu memberi fokus untuk melaksanakan pendidikan secara digital dimana kebanyakkan pelajar tidak mempunyai kelengkapan yang secukupnya untuk mengikuti pengajian seperti komputer ataupun telefon pintar.
” Dan sebenarnya ada kaedah lain. Di negeri-negeri lain mereka menggunakan televisyen. Dan di Malaysia ini, boleh dikatakan lebih daripada 90% daripada isi rumah mempunyai TV ataupun sekurang-kurangnya radio. Kenapa TV dan radio tidak dimanfaatkan? TV dan radio sudah lama digunakan untuk pendidikan. “
Beliau turut mengkritik cara-cara pelaksanaan sesebuah polisi dimana beliau berpendapat pembuat dasar tidak memikirkan mengenai sebilangan keluarga yang tidak bernasib baik kerana mencari solusi mengenai pendidikan yang terlalu canggih.
” Jadi kadangkala dasar-dasar kita ini tidak memikirkan yang nasib orang tidak semuanya serupa. Kita sepatutnya memikirkan dan cuba berusaha sebanyak mungkin supaya tidak ada sesiapa yang tercicir dan ketinggalan. Tetapi kadangkala dasar-dasar seumpama ini yang mementingkan kecanggihan, dan lebih mementingkan masalah orang yang berada dan berpengaruh. Akibatnya kita dapati ramailah anak orang susah diabaikan “
Prof Jomo yang pernah menjawat jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu juga berpendapat bahawa bantuan wajar diberikan mereka yang terkesan. Bantuan secara langsung perlu diberikan sama ada secara tunai atau cara-cara yang lain.
Beliau turut berpendapat moratorium bank mungkin tidak memberi manfaat kepada mereka yang kais pagi makan pagi. Hal ini kerana kebanyakkan mereka daripada kumpulan ini tidak layak untuk membuat pinjaman bank dari awal lagi. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan untuk merangka dasar yang lebih efisien untuk mereka yang terkesan dengan teruk akibat PKP ini.
Ketika ditanya mengenai unjuran pertumbuhan ekonomi yang dibuat pada Belanjawan 2021, beliau berpendapat bahawa unjuran tersebut tidak boleh diterima akal sekarang kerana ia meramalkan pemulihan berbentuk V sedangkan sebilangan besar negeri-negeri kini melalui Perintah Kawalan Pergerakan.
” Apa yang berlaku sekarang? Kita macam W, malah ada sesetengah orang kata kalau kita terus seperti ini. Kita WWW, macam world wide web. Andaian asas ramalan itu sukar diterima terutama sekali sekarang “
Prof Jomo KS kini merupakan Penasihat Penyelidikan di Khazanah Research Institute dan pernah menjawat jawatan sebagai Profesor di UM. Beliau kekal aktif dalam menyampaikan syarahan kepada orang ramai terutamanya mengenai ekonomi.
Video wawancara tersebut akan dimuatnaik kelak di akaun Youtube Ekonomi Rakyat