Kekayaan Bilionair Malaysia Meningkat Sebanyak RM165 Bilion Sejak 2010

Share it

kekayaan billionair malaysia | ekonomi rakyat

Jumlah kekayaan 40 bilionair Malaysia telah meningkat sebanyak RM165 bilion iaitu peningkatan hampir 97% kepada RM335 bilion pada tahun 2019 berbanding RM170 bilion pada 2010. Peningkatan kekayaan bilionair Malaysia didorong oleh dua faktor iaitu kenaikan pegangan aset iaitu saham yang tersenarai di pasaran saham dan kemerosotan matawang Ringgit berbanding Dolar Amerika.

Tokoh korporat, Robert Kuok kekal mengungguli carta individu terkaya di Malaysia dengan kekayaan berjumlah RM52 biliion. Di tangga kedua ialah Quek Leng Chan dengan kekayaan RM38 bilion manakala pemilik Public Bank, Teh Hong Piow berada di tangga ketiga dengan kekayaan bernilai RM27 bilion.

Kiraan kekayaan bilionair Malaysia ini diambil dari kompilasi yang dikeluarkan secara tahunan oleh majalah Forbes dengan mengambil kira tukaran wang asing pada tahun semasa.

Jika faktor matawang Ringgit yang susut tidak diambil kira, jumlah kekayaan bilionair Malaysia tetap meningkat sehingga 61% dari AS$51 bilion pada 2010 kepada AS$82 bilion pada 2019 iaitu bersamaan dengan AS$31 bilion.

kekayaan bilionai malaysia | ekonomi rakyat

Perbandingan dengan bilionair serantau juga menunjukkan bahawa rata-rata bilionair di negara lain turut mengalami peningkatan kekayaan. Kekayaan bilionair Indonesia meningkat 80% dari AS$71 bilion kepada AS$128 bilion manakala kekayaan bilionair Singapura pula meningkat 167% kepada AS$123 bilion dalam tempoh yang sama.

bililnair malaysia | ekonomi rakyat

Pemilik Hong Leong Group, Quek Leng Chan mencatatkan peningkatan kekayaan tertinggi dalam kalangan bilionair Malaysia dengan peningkatan sebanyak AS$5.5 bilion dan diikuti oleh pemilik kasino terbesar di Kemboja, Chen Lip Keong yang meraih peningkatan berjumlah AS$4.8 bilion sejak tahun 2010. Bilionair lain yang turut menerima durian runtuh pada tempoh yang sama ialah Lim Kok Thay ( Genting Group ) , Lao Cho Kun ( Hap Seng ) dan Teh Hong Piow ( Public Bank ).

Peningkatan kekayaan mereka yang mendadak ini tidak mengejutkan jika diteliti dari kenaikan harga yang dimiliki oleh mereka. Saham Hong Leong Group sebagai contoh meningkat dari RM7.70 sesaham pada Januari 2010 kepada lebih RM20 pada 2019. Nilai saham NagaCorp yang tersenarai di pasaran saham Hong Kong milik Chen Lip Keong pula meningkat dari HK$0.90 kepada HK$8.00 dalam tempoh yang sama.

Etnik Cina kekal mengungguli dalam senarai bilionair di Malaysia dengan kira-kira 28 orang dari keseluruhan 40 bilionair terkaya di Malaysia pada tahun 2019. Jumlah ini menunjukkan peningkatan 3 orang berbanding 25 orang pada tahun 2010. Jumlah bilionair Melayu pula berkurangan dari 11 orang pada 2010 kepada 6 orang pada tahun 2019 manakala kaum India kekal 4 orang.

Ini bermaksud 70% dari 40 orang terkaya pada 2019 berbangsa Cina meningkat dari 62.5% pada 2010. Peratusan bilionair Melayu pula menurun dari 27.5% pada 2010 kepada 15% pada 2019.

Enam orang bilionair Melayu yang tersenarai pada tahun lepas ialah Syed Mokhtar al-Bukhary, Kamaruddin Meranun, Ahmayuddin Ahmad, Syed Azman Syed Ibrahim, Azman Hashim dan juga Mohd Abdul Karim Abdullah.

Nilai kekayaan minimum untuk tersenarai dalam kalangan 40 orang terkaya di Malaysia pada tahun lalu ialah AS$345 juta ataupun bersamaaan dengan RM1.4 bilion

Perspektif

How Rich are the Rich? Nilai kekayaan 40 bilionair Malaysia ini bersamaan dengan 23% keseluruhan ekonomi Malaysia pada tahun lalu. Dalam kata lain, nilai kekayaan bilioanair Malaysia ini lebih besar berbanding ekonomi Selangor pada tahun 2018 yang berjumlah RM333 bilion. Bahkan jika digabungkan keseluruhan ekonomi di negeri-negeri utara dan pantai timur Malaysia iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Pahang ( RM330 bn ), ia masih belum mampu menandingi nilai kekayaan bilionair Malaysia.

Kekayaan 40 bilionair ini juga lebih besar dari pendapatan tahunan 5.5 juta isi rumah di Malaysia. Data Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa pendapatan B40 dan M40 di Malaysia pada tahun 2016 hanyalah sekitar RM309.6 bilion. Angka ini lebih rendah berbanding kekayaan 40 bilionair Malaysia yang berjumlah RM335 bilion.

Penyelidik ekonomi politik, Fikri Fisal ketika ditanya mengenai isu ini berpendapat bahawa dasar kerajaan juga banyak membantu bilioanair Malaysia untuk meraih keuntungan jangka panjang sekaligus melebarkan lagi jurang kekayaan.

“ Sudah pasti ekonomi politik Malaysia menyumbang kepada peningkatan jurang ketidaksamaan ekonomi. Akibat tindakan pentadbiran terdahulu, lahirnya golongan kapitalis yang banyak menerima sokongan kerajaan dalam aktiviti-aktiviti ‘bukan produktif’ merangkumi sektor tenaga, perjudian, telekomunikasi dan lain-lain. Dengan sokongan sebegitu, jelas lagi nyata keuntungan yang dikaut mereka sendiri terjamin buat jangka masa panjang. “

Penulis bersama buku Minister of Finance Incorporated ini juga menempelak segelintir kroni-kroni bilionair di Malaysia yang tidak inovatif dan hanya mengejar keuntungan semata-mata sambil membandingkan situasi di Korea Selatan.

“ Kroni di Korea juga ramai tetapi mereka terlibat dalam aktiviti-aktiviti ‘produktif’ dan kini sudahpun menjadi pengeskport besar barangan berteknologi tinggi dan inovatif, justeru memperhebatkan lagi ekonomi mereka. Malangnya, kelas kapitalis Malaysia lebih bermotifkan keuntungan semata-mata dan gagal menyumbang kepada peningkatan daya teknologi dan inovasi ekonomi watan. “

Kenyataan ini ada asasnya, majalah ekonomi antarabangsa, The Economist pada tahun 2016 meletakkan Malaysia di tangga kedua di dalam senarai Indeks Kroni Kapitalisme selepas Rusia kerana kebanyakkan bilionair Malaysia terlibat dalam sektor-sektor rent-seeking seperti kasino, perbankan, pertahanan, pelabuhan, tenaga dan telekomunikasi.

Menurut indeks tersebut, kekayaan bilionair Malaysia yang terlibat dalam sektor rent-seeking bersamaan dengan 13% Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

Berapa ramai orang kaya di Malaysia?

jutawan melaysia | ekonomi rakyat

Syarikat perundingan berpangkalan di London, Knight Frank dalam laporan yang dikeluarkan secara tahunan iaitu The Wealth Report melaporkan bahawa terdapat 29,272 jutawan di Malaysia pada tahun 2018. Angka ini dijangka meningkat kepada 37,315 orang pada 2023. Manakala jumlah hartawan pada tempoh yang sama dijangka meningkat dari 636 orang kepada 830 orang.

Knight Frank mendefinisikan jutawan sebagai mana-mana individu yang mempunyai nilai aset melebihi AS$1 juta dengan tidak mengambil kira rumah utama mereka. Definisi hartawan pula adalah mereka yang mempunyai kekayaan melebihi AS$30 juta dengan tidak mengambil kira rumah utama mereka.

Cukai untuk Orang Kaya?

Setakat ini, tidak ada cukai khas untuk jutawan di Malaysia. Cukai pendapatan maksimum pula dikenakan sebanyak 30% kepada mereka yang mempunyai pendapatan ( layak dicukai ) melebihi RM2 juta.

Kadar cukai pendapatan untuk mereka yang berpendapatan tinggi di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara lain. Sebagai contoh, kadar cukai pendapatan maksimum untuk pekerja di England dan Australia ialah 45%. Jepun pula mengenakan kadar cukai pendapatan maksimum sebanyak 50% untuk mereka yang berpendapatan tinggi.

Cukai-cukai terhadap pindahan aset terhadap waris seperti cukai estet pula dimansuhkan oleh kerajaan Malaysia pada tahun 1991. Sebelum ini, Malaysia mengenakan cukai sebanyak 5% untuk harta melebihi RM2 juta manakala 10% untuk apa-apa harta bernilai lebih daripada RM4 juta.

Beberapa pihak termasuk Persatuan Pengguna Pulau Pinang pernah mendesak agar cukai ini diperkenalkan semula namun tiada sebarang respon positif dari pihak kerajaan berkenaan isu ini.

<strong>Follow us on</strong>