Keluarga Pemilik Samsung Setuju Bayar Cukai Warisan RM44 Bilion

Share it

Keluarga pemilik Samsung bersetuju untuk membayar RM44 bilion cukai warisan kepada kerajaan Korea Selatan setelah pengerusinya, Lee Kun-hee meninggal dunia pada Oktober tahun lalu. Cukai warisan yang dibayar keluarga elit berkenaan merupakan jumlah cukai warisan yang terbesar dikenakan di dunia dan dianggarkan bersamaan empat kali ganda kutipan cukai warisan Korea Selatan pada tahun lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan keluarga Lee, cukai warisan tersebut bakal dibayar secara ansuran selama lima tahun bermula April 2021. Selain daripada itu, mereka juga bakal mendermakan sebahagian besar koleksi seni keluarga kepada muzium milik kerajaan.

Konglomerat Samsung merupakan penggerak utama ekonomi Korea Selatan. Syarikat ini mempunyai cabang perniagaan dari sektor elektronik, kejuruteraan, insurans sehinggalah ke perkhidmatan. Di Malaysia, Samsung meninggalkan legasinya apabila turut terlibat dalam membina Menara Berkembar PETRONAS pada tahun 90-an.

Sumbangan Samsung terhadap ekonomi Korea Selatan tidak dapat dinafikan lagi. Pendapatan syarikat gergasi ini pada tahun 2017 adalah sebanyak RM917 bilion ataupun bersamaan dengan 14.6% saiz ekonomi negara tersebut.

Untuk perbandingan yang lebih mudah, pendapatan sebuah konglomerat ini saja bersamaan dengan 65% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia.

Bekas pengerusi Samsung, Lee Kun-hee pada tahun lalu dianggarkan mempunyai kekayaan sebanyak RM80 bilion melalui pegangannya di dalam beberapa syarikat Samsung yang disenaraikan. Kedudukan beliau sebagai individu paling kaya di Korea Selatan sukar dipersoalkan kerana beliau telah mendominasi posisi itu sejak tahun 2007.

Cukai yang bakal dihadapi oleh beliau telah merungsingkan keluarga ‘chaebol’ ini buat sekian lama. Hal ini kerana Korea Selatan mengenakan cukai warisan yang amat tinggi kepada golongan kaya di negara itu iaitu sebanyak 50%.

Cukai warisan merupakan cukai yang dikenakan apabila pemilik aset meninggal dunia. Tujuan utama, cukai ini dikenakan adalah untuk merapatkan jurang ketidaksamaan di dalam sesebuah masyarakat. Di Malaysia, cukai warisan pernah dilaksanakan untuk sekian lama sebelum dimansuhkan pada tahun 1991.

Jepun Melaksanakan Cukai Warisan Pada Kadar Tertinggi Di Dunia

Sebelum itu, cukai warisan di Malaysia akan dikenakan sebanyak 5% untuk aset melebihi RM2 juta manakala 10% untuk aset melebihi RM4 juta.

Waris utama keluarga pemilik Samsung, Lee Jae-yong pula kini di dalam penjara selepas disabitkan bersalah dengan hukuman penjara selama 30 bulan atas skandal rasuah. Dunia korporat kini tertumpu mengenai bagaimana pembahagian aset-aset milik Lee Kun-hee bakal diagihkan kepada waris-waris mereka.

Setakat ini, Lee Jae-yong antara individu yang paling banyak mewarisi peninggalan harta bapa beliau. Kepentingan di dalam Samsung Life Insurance naik dari 0.66% kepada 10.44% yang mempunyai 8.5% pegangan di dalam Samsung Eletronics.

Kejayaan Korea Selatan mengubah status mereka kepada negara berpendapatan tinggi disokong kuat oleh konglomerat-konglomerat besar seperti Samsung, LG, Hyundai yang menerima pelbagai bantuan kerajaan ketika era pentadbiran Jeneral Park Chung-hee.

Bukan itu saja, chaebol ini juga sentiasa terpalit dengan isu kronisme dan rasuah sejak berpuluh tahun lagi yang turut dikatakan menyumbang kepada kejayaan mereka.

Malaysia Masih Terperangkap Dengan Status Negara Berpendapatan Sederhana

Korea Selatan yang dahulunya tiga kali ganda lebih miskin berbanding Malaysia telah merekodkan KDNK per kapita sebanyak $32,000 pada 2019 meningkat berbanding $109 pada tahun 1965. Manakala Malaysia, yang dahulunya mempunyai KDNK per kapita sebanyak $310 kekal berada di dalam status negara berpendapatan sederhana dengan KDNK per kapita sebanyak $11,400.

Resipi kejayaan Korea ini cuba ditiru oleh Malaysia pada era pentadbiran Dr Mahathir, namun tidak berjaya mewujudkan kapitalis-kapitalis tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa untuk menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

Ikuti saluran Telegram Ekonomi Rakyat untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY