Kenapa KDNK Bukan Indikator Ekonomi Yang Baik

Share it

Keluaran Dalam Negara Kasar ataupun lebih dikenali sebagai KDNK ( GDP di dalam Bahasa Inggeris ) merupakan petunjuk ekonomi utama yang digunakan oleh pembuat dasar, ahli ekonomi dan penyelidik dalam mengukur prestasi ekonomi sesebuah negara.

KDNK mengukur nilai untuk keseluruhan produk akhir dan perkhidmatan yang dikeluarkan di dalam sesebuah kawasan untuk tempoh masa yang tertentu. Kebiasaannya, KDNK sesebuah negara dikira oleh badan-badan berautoriti untuk setiap tiga bulan sekali.

Pengeluaran barangan seperti kereta, jualan makanan di restoran, pembinaan rumah dan sebagainya dimasukkan ke dalam KDNK negara. Peningkatan KDNK ( pada harga malar ) dianggap sebagai satu perkembangan ataupun pertumbuhan ekonomi untuk sesebuah negara.

Obsesi terhadap KDNK dilihat kekal bertapak kukuh dalam kalangan pembuat dasar di negara ini. Namun begitu, KDNK bukanlah satu petunjuk yang sempurna bagi mencerminkan keadaan ekonomi untuk sesebuah negara.

Contohnya mudah, kesesakan lalu lintas yang mengakibatkan lebih banyak bahan api digunakan adalah baik untuk ekonomi. Hal ini kerana lebih banyak bahan api dibeli, lebih tinggilah KDNK untuk sesebuah negara.

Hakikatnya, berada di dalam kesesakan lalu lintas bukanlah satu situasi yang digemari oleh orang ramai. Pelepasan karbon yang keluar dari corong ekzos misalnya sesuatu yang buruk untuk alam sekitar. Begitu juga dengan tekanan mental yang dihadapi orang ramai apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas setiap hari.

Tetapi dari sudut KDNK, kesesakan lalu lintas baik untuk ekonomi.

KDNK yang menjadi zikir harian sebilangan ahli ekonomi juga tidak mengukur sebahagian besar aktiviti domestik yang dibuat tanpa berasaskan keuntungan. Ibubapa yang memasak sarapan untuk anak-anaknya setiap hari sebelum ke sekolah tidak dimasukkan ke dalam KDNK.

Namun begitu, perkara yang sama jika dilakukan oleh seorang tukang masak di kantin sekolah, aktiviti tersebut dimasukkan ke dalam perkiraan KDNK.

KDNK juga hanya memfokuskan kepada jumlah pengeluaran akhir sesebuah produk tanpa mengira siapakah yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK sesebuah negara.

Sebagai contoh, andaikan ekonomi Malaysia meningkat dari RM100 bilion tahun lalu kepada RM120 bilion tahun ini. Peningkatan RM20 bilion bukannya bermakna ia dikongsi secara saksama dengan semua pihak tidak kira kaya ataupun miskin.

Boleh jadi peningkatan pertumbuhan RM20 bilion untuk hanya memanfaatkan golongan kaya di negara ini tatkala nasib hidup golongan bawahan kekal serupa.

Jurang ketidaksamaan di Malaysia juga belakangan ini menunjukkan agihan pendapatan yang tidak adil. Meskipun ekonomi Malaysia berkembang dari 4.3% hingga 5.8% dari tahun 2016 hingga 2019, namun jurang pendapatan telah meningkat dari dari 0.399 kepada 0.407.

Laporan Penyiasatan Isi Rumah turut menunjukkan bahawa Malaysia pendapatan golongan B40 tumbuh perlahan berbanding pendapatan T20. Situasi ini berlaku tatkala KDNK berkembang dengan kadar yang memberangsangkan.

[ Rujuk Artikel : B40 Semakin Ketinggalan, Malaysia Gagal Capai Sasaran RMK-11 ]

Aktiviti perjudian dan pelacuran juga baik untuk KDNK. Meskipun kegiatan dianggap sebagai kurang bermoral oleh majoriti rakyat Malaysia, tetapi dari sudut lain, ekonomi gelap seperti ini juga boleh menyumbangkan kepada KDNK di sesebuah negara.

KDNK di United Kingdom misalnya pada tahun 2014 telah meningkat 1.0% apabila Kesatuan Eropah mengeluarkan format baru perkiraan KDNK dengan memasukkan sekali aktiviti-aktiviti pelacuran, dadah dan sebagainya di dalam statistik ekonomi.

Di Malaysia, perkara sama boleh dilakukan, aktiviti pelacuran dan penjualan dadah boleh dihalalkan bagi meningkatkan angka pertumbuhan ekonomi. Pembukaan lebih banyak kasino di dalam negara juga boleh menyumbang berbilion ringgit ke dalam sektor pelancongan negara.

Keluar Dari Obsesi KDNK

Tidak dapat dinafikan, Keluaran Dalam Negara Kasar merupakan satu petunjuk yang berguna dalam mengimbas prestasi ekonomi sesebuah negara secara kasar. Negara-negara dengan KDNK per kapita tinggi secara amnya mempunyai taraf kehidupan yang lebih baik berbanding negara dengan KDNK per kapita yang rendah.

Namun begitu, kita tidak harus terlalu taksub dengan angka-angka ini tanpa memikirkan situasi di jalanan. KDNK tidak mengukur tahap kesihatan kanak-kanak di sesebuah negara. KDNK juga tidak mencerminkan tahap pendapatan yang diperoleh Mak Cik Kiah yang tinggal di flat perumahan kos rendah di Kuala Lumpur.

Tahun ini, Malaysia pada awalnya ketika pembentangan Belanjawan 2021 mengunjurkan KDNK negara bakal meningkat diantara 6.0% hingga 7.5%. Namun risiko pertumbuhan kekal tinggi apatahlagi selepas pelaksanaan PKP2.0 dan PKP3.0 pada tahun ini.

Walaupun angka tersebut masih relevan untuk dimasukkan ke dalam laporan-laporan ekonomi penting negara, tetapi Malaysia harus memikirkan cara untuk merangka halatuju ekonomi negara melangkaui statistik KDNK.

New Zealand misalnya pada tahun 2019 telah merangka Belanjawan tanpa memikirkan obsesi terhadap KDNK. The Wellbeing Budget pada tahun tersebut memfokuskan lima aspek untuk menambahbaik kesejahteraan hidup warganya.

Lima aspek tersebut adalah ;

  1. Mempertimbangkan Isu Kesihatan Mental Secara Serius
  2. Kesejahteraan Kanak-kanak
  3. Menyokong Aspirasi Etnik Maori & Pasifika
  4. Mewujudkan Negara yang Berproduktif
  5. Mentransformasikan Ekonomi

Dalam kata lain, New Zealand turut memfokuskan kesejahteraan hidup rakyat dalam mencapai objektif yang dirangka di dalam Belanjawan, bukannya hanya melihat kepada pertumbuhan KDNK.

Di Malaysia, keputusan-keputusan yang dibuat kerajaan dalam menguruskan pandemik Covid-19 sebelum ini kelihatan banyak berkiblatkan KDNK. Hanya apabila kes-kes meningkat sehingga tidak terkawal beberapa minggu yang lalu barulah mereka sedar bahawa nyawa yang perlu diutamakan berbanding KDNK. Ya benar, nyawa manusia mungkin tidak bernilai dari sudut ekonomi, namun bagi mereka yang kehilangan orang yang tersayang, nyawa mereka tidak ternilai.

Mereka yang berada di pucuk pimpinan harus melihat manusia sebagai seorang insan, sebagai seorang ibu bapa, sebagai seorang rakan. Bukannya melihat angka-angka kematian setiap hari sebagai statistik semata-mata. Situasi seperti ini tidak tidak sepatutnya berulang lagi.

Ahli akademik, penyelidik serta pembuat dasar di negara ini perlu cuba untuk keluar dari tempurung KDNK secepat mungkin. Bahkan lebih baik jika mereka menyemak semula kerelevanan segala teori ekonomi yang mereka pelajari ketika berada di universiti.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY