Kenapa Kita Benci Pelarian…… Terutamanya Rohingya?

Share it
Dr Melati Nungsari ketika diwawancara Ekonomi Rakyat pada 11 Februari lalu

Isu kebanjiran pendatang asing ke Malaysia semakin mendapat perhatian, lebih-lebih lagi dengan kehadiran puluhan ribu pelarian etnik Rohingya ke negara ini sejak puluhan tahun yang lepas. Apa yang lebih memilukan, pelarian-pelarian Rohingya ini terpaksa lari meninggalkan kampung halaman mereka di Myanmar kerana menghadapi penindasan yang amat teruk oleh Kerajaan junta tentera di sana.

Setakat Januari 2023, terdapat hampir 106,500 pelarian Rohingya di Malaysia, atau 58% daripada keseluruhan pelarian, menurut Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia.

Malangnya, apabila mereka tiba di Malaysia, mereka terus diuji dengan sentimen xenophobia serta tanggapan yang negatif daripada masyarakat dan media tempatan. Hampir keseluruhan liputan media terhadap kumpulan ini bersifat negatif tanpa ada sebarang cubaan intelektual untuk memahami isu pokok yang dihadapi mereka.

Situasi ini bukan hanya dihadapi pelarian di Malaysia sahaja bahkan turut berlaku di Eropah.

Melihat kepada persepsi buruk yang sering dilontarkan terhadap pelarian ini, Ekonomi Rakyat cuba mendapatkan pandangan Dr Melati Nungsari, seorang pensyarah Asia School of Business (ASB) yang banyak melakukan penyelidikan berkenaan dengan pelarian terutamanya dalam kalangan komuniti Rohingya di Malaysia.

Dr Melati yang memiliki PhD Ekonomi dari University of North Carolina menjelaskan ada beberapa faktor yang dikhuatiri menjadi penyumbang utama kepada semangat xenophobia warga tempatan terhadap etnik Rohingya ini.

Xenophobia merujuk kepada prasangka dan rasa tidak suka terhadap individu asing. Menurut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), xenophobia terjadi apabila seseorang individu atau kumpulan itu dipandang sebagai orang luar oleh masyarakat tempatan, lantas menyebabkan mereka dihalang daripada mendapatkan akses kepada hak-hak sama rata hanyalah kerana terdapat perbezaan pada asal usul mereka.

Salah satu penyebab mengapa golongan terpinggir seperti ini kurang diterima warga tempatan adalah kerana semangat rasisme atau perkauman yang kuat terhadap pelarian-pelarian Rohingya. Dr Melati menjelaskan kebanyakan pelarian Rohingya ini sering dibenci masyarakat tempatan kerana mereka kurang mengenali atau memahami penderitaan di sebalik kisah hidup pelarian-pelarian ini.

“Saya rasa ramai orang yang xenophobic, tak suka atau benci kepada pelarian, terutamanya Rohingya, adalah orang yang sebenarnya tak pernah betul-betul bercakap dengan orang-orang Rohingya secara dekat dan tak pernah tanya masalah mereka. Misalnya masalah keluarga, tak pernah cuba mengenali mereka dengan begitu baik”

Menurut laporan siasatan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kira-kira 10,000 etnik Rohingya dibunuh pada tahun 2017. Keganasan yang dijalankan secara sistematik oleh tentera Myanmar bukan sahaja menjejaskan etnik Rohingya yang menetap di negeri Rakhine, bahkan etnik-etnik minoriti lain di sana yang menetap di beberapa negeri seperti Chin dan Kachin sehingga menyebabkan ahli-ahli keluarga mereka dibunuh, kampung dibakar, perempuan-perempuan diculik serta dirogol dan pelbagai keganasan lain.

Etnik-etnik minoriti ini terpaksa berhadapan dengan keganasan terancang sejak berdekad-dekad hanya kerana mereka tidak diiktiraf sebagai warganegara yang sah menurut Akta Warganegara Myanmar 1982.

Dr Melati turut menerangkan bahawa kebanyakan pelarian Rohingya ini turut menghadapi sentimen yang negatif kerana sesetengah daripada mereka sering kelihatan terlibat dalam aktiviti mengemis di tempat-tempat awam seperti di persimpangan jalanraya, kedai-kedai makan dan sebagainya, sehingga mengundang perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat Malaysia.

Pelarian Rohingya juga sering diberikan persepsi buruk hanyalah kerana warna kulit mereka. Dr Melati juga membangkitkan sebuah retorik, andainya ditakdirkan etnik Rohingya ini berambut perang dan bermata biru, berkemungkinan persepsi dan layanan rakyat Malaysia terhadap mereka akan berubah sedikit menjadi lebih baik.

Mengulas dengan lebih lanjut bagi merungkai train of thought atau pemikiran yang menyebabkan masyarakat sering memandang pelarian Rohingya ini dengan tanggapan negatif, Dr Melati berkata perasaan tersebut turut dipengaruhi oleh keresahan ekonomi (economic anxiety) dalam kalangan warga tempatan.

Menurut beliau, sebilangan masyarakat Malaysia bimbang pelarian Rohingya ini ‘merampas’ peluang-peluang pekerjaan yang tersedia di Malaysia, terutamanya dalam pekerjaan berkemahiran rendah.

Beliau memetik contoh mengenai kebanjiran pekerja-pekerja Rohingya di pasar-pasar borong di sekitar Lembah Klang seperti Pasar Borong Selayang yang sering diserbu oleh pihak berkuasa. Perkara ini sedikit sebanyak menyebabkan masyarakat di Malaysia berasa terancam dengan kehadiran pelarian-pelarian Rohingya kerana bimbang peluang ekonomi mereka akan menjadi semakin terhad.

“Mungkin anda adalah seseorang yang selalu jumpa orang Rohingya, seperti di pasar borong, seperti di Pudu, atau di Selayang atau Ampang, antara tempat-tempat utama (mereka). Dan anda rasa macam warganegara Malaysia ni pun makan susah, kerja susah, tengok-tengok Rohingya pula yang dapat kerja dekat pasar seperti misalnya.”

Dr Melati yang diwawancara di pejabatnya di ASB juga berulang kali menegaskan bahawa jumlah pelarian Rohingya di Malaysia adalah sangat sedikit secara relatifnya. Maka, memberikan mereka akses yang lebih terbuka dalam peluang pekerjaan tidak akan memberikan impak buruk buat Malaysia.

Daripada seramai 183,790 pelarian yang berada di Malaysia ketika ini, kira-kira 74% atau seramai 135,630 sahaja terdiri daripada mereka yang berumur 18 tahun dan keatas. Bilangan pelarian di Malaysia yang tergolong dalam kategori umur bekerja hanya mewakili kurang 1% sahaja daripada keseluruhan 15.8 juta tenaga buruh di Malaysia.

Beliau berhujah sedemikian kerana kebanyakan pekerjaan-pekerjaan yang dilakukan pelarian Rohingya ini tergolong dalam kategori ‘dangerous, difficult and demeaning (3Ds)’ yang secara umumnya tidak diminati oleh rakyat Malaysia.

Bahkan menurut Dr Melati, kebanyakan pelarian Rohingya ini sudah pun bekerja di sini, namun secara tidak sah dan tidak berdaftar, menyebabkan mereka sering terdedah kepada risiko tidak dibayar gaji, persekitaran tempat kerja yang tidak selamat dan sebagainya.

Ekonomi Rakyat juga berkesempatan untuk bertanya kepada Dr Melati mengenai kesan jangka panjang samada memberikan peluang pekerjaan berkemahiran rendah kepada pelarian Rohingya ini akan memanjangkan lagi kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing serta melambatkan usaha Malaysia menuju ke arah negara maju yang memfokuskan kepada pengeluaran berasaskan kapital.

Menurut Laporan Survei Tenaga Buruh 2021, terdapat hampir 1.9 juta pekerja asing di Malaysia, dengan hampir separuh daripadanya bekerja dalam pekerjaan berkemahiran rendah (937.1 ribu).

Dr Melati yakin usaha Malaysia untuk menjadi sebuah negara berteknologi tinggi tidak akan terjejas sekiranya peluang pekerjaan berkemahiran rendah diberikan kepada pelarian Rohingya, kerana bilangan mereka yang kecil di negara ini. Beliau mengulas dengan lebih mendalam dengan berkata hatta Malaysia sudah menjadi negara maju sekalipun, pekerja-pekerja kemahiran rendah ini masih tetap diperlukan.

“Jadi anda tahu walaupun kita ada kereta terbang apa benda semua, memang akan ada orang yang kena buat kerja ini (pekerjaan kemahiran rendah), kena cuci jalan, kena buat pembinaan, perkara seperti itu, dan ini (pelarian Rohingya) hanyalah jumlah yang kecil, dan ini tidak akan menjejaskan progres kita (menuju ke arah negara maju).”

Bahkan, memberikan mereka akses kepada peluang pekerjaan dan pendidikan akan membantu mereka memulakan kehidupan baharu di sini dengan lebih selesa dan terjamin serta membolehkan mereka menyumbang semula kepada komuniti dan negara menerusi sumbangan cukai individu sebagai contohnya, ujar Dr Melati.

Ketika ditanya mengenai solusi terbaik, Dr Melati mencadangkan supaya Kerajaan mengiktiraf pelarian-pelarian Rohingya ini menerusi Konvensyen Pelarian PBB 1951 supaya mereka boleh diberikan hak-hak asasi yang lebih terbuka seperti peluang pekerjaan, pendidikan dan akses perkhidmatan kesihatan awam, lebih-lebih lagi memandangkan ada sebahagian pelarian Rohingya ini yang sudah pun berada di Malaysia sejak puluhan tahun lepas.

Pengiktirafan ini juga boleh membantu mereka untuk diserap secara sah ke dalam pasaran buruh Malaysia, tanpa perlu membuat program khas seperti penempatan semula yang pernah dijalankan Kerajaan Malaysia di Pulau Bidong dengan menempatkan pelarian-pelarian perang Vietnam sekitar tahun 1970an.

Sekiranya mereka diiktiraf, hak-hak mereka sebagai pekerja juga akan lebih terjamin dari sudut pembayaran gaji, perlindungan insurans serta keselamatan tempat kerja. Pengiktirafan ini juga akan lebih menjamin masa depan kanak-kanak Rohingya kerana dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih selamat.

“Kalau seseorang itu dah duduk di sesebuah negara 30 tahun, saya rasa tak berapa berperikemanusiaan dan tak berapa masuk akal untuk kita menarik mereka ini daripada komuniti mereka dan letak di tempat lain. Jadi saya rasa disebabkan integrasi itu sudah berlaku, kita patut membiarkan sahaja mereka menjalani kehidupan mereka, berikan mereka lebih banyak hak, iktiraf mereka supaya anak-anak boleh pergi sekolah, supaya mereka pergi kerja pun tak takut, boleh bayar cukai”

Dr Melati turut menceritakan ada dua faktor yang menyebabkan Malaysia sukar membuat keputusan untuk menandatangani Konvensyen Pelarian PBB 1951 meskipun cadangan pernah diutarakan dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihanraya Umum 2018 dahulu. Pertama, para pembuat dasar bimbang lebih ramai pelarian Rohingya dari Myanmar datang ke sini sekiranya Malaysia meratifikasi konvensyen tersebut.

Kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh menempatkan lebih 1.1 juta pelarian Rohingya

Meskipun begitu, Dr Melati menjelaskan tidak ramai komuniti Rohingya yang masih berada di Myanmar. Menurut beliau, kebanyakan mereka telah pun menetap di negara-negara jiran seperti di kem pelarian Cox’s Bazar (kini kem pelarian terbesar di dunia) di Bangladesh dimana terdapat kira-kira 1.1 juta pelarian Rohingya disana.

Kedua, para pembuat dasar di negara ini masih menganggap bahawa Malaysia hanya memainkan peranan sebagai negara perantara sahaja bagi menempatkan pelarian-pelarian ini untuk beberapa tahun, sebelum mereka dipindahkan secara tetap ke negara-negara hos lain.

Namun, keadaan sudah berubah apabila kadar penempatan semula pelarian-pelarian dilihat semakin menurun, lebih-lebih lagi sejak pandemik Covid-19 tercetus. Melihatkan kepada situasi ini, Dr Melati menegaskan ‘isu ini sudah menjadi masalah kita yang lambat-laun perlu diselesaikan juga’.

Di akhir wawancara, Dr Melati turut mengingatkan supaya kita tidak terlalu berharap isu pelarian Rohingya ini diselesaikan sendiri oleh Kerajaan Myanmar pada ketika ini melihatkan kepada suasana ketidakstabilan politik yang melanda negara itu.

Beliau berpendapat isu ini turut menjadi tanggungjawab serta peluang buat negara-negara jiran, khususnya yang menganggotai ASEAN, untuk bekerjasama bagi merangka sebuah inisiatif yang lebih baik untuk menyelesaikannya secara kolektif.

Dr Melati juga mengingatkan mengenai risiko kewujudan sebuah lagi kumpulan, pelarian iklim (climate refugees), yang mungkin melanda Malaysia dalam masa beberapa tahun akan datang sekiranya isu-isu bencana seperti banjir tidak diselesaikan segera. Beliau turut melihat keperluan supaya gerak kerja dan perancangan berkaitan isu ini perlu digerakkan segera pada masa ini sebelum segalanya menjadi lebih parah kelak.

“Jadi saya rasa solusi perlu digerakkan sekarang, jangan sampai nanti kita ada perpindahan dalaman dekat Malaysia sebab banyak tempat dah tenggelam serta dalam masa yang sama ramai orang (pelarian) cuba masuk, masa itu lah kita baru nak merancang rangka kerja, masa tu lah baru nak rancang program, saya rasa tidak cukup bagus lah. Jadi solusi perlu digerakkan sekarang, bukannya nanti.”