Kerajaan Malaysia Berdepan Krisis Kepercayaan Rakyat

Share it

Malaysia masih terus bergelut dalam melandaikan keluk kes-kes baru Covid-19 meskipun kita sudah memasuki minggu keempat sejak Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 dilaksanakan pada 13 Januari lalu.

Walaupun kes-kes baru kian berkurangan pada akhir-akhir ini, namun bilangan kes ini masih lagi dianggap tinggi berbanding tahun lalu. Purata bilangan kes pada tahun lalu hanyalah 309 kes sehari tetapi kini, ia meningkat lebih 10 kali ganda kepada 3,399 kes sehari.

PKP2.0 juga tidak mengurangkan kes secara mutlak meskipun Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan nilai kebolehjangkitan menurun kepada 0.91 pada 8 Februari lalu. Purata kes baru untuk tujuh hari terakhir pada 13 Januari lalu adalah 2,726 kes manakala purata kes baru harian kini 38% lebih tinggi iaitu pada 3,768 kes.

PKP2.0 Kurang Berkesan

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia ( MIER ) menjelaskan PKP pertama pada Mac tahun lalu telah berjaya untuk menurunkan kadar pertumbuhan jangkitan harian sebanyak 21.43 mata dalam tempoh 18 hari pertama PKP. Namun keadaan sedemikian tidak berlaku pada PKP2.0 yang kita lalui kini.

Jumlah kes di Malaysia juga adalah antara yang tertinggi di Asia Tenggara selepas Singapura. Malaysia mencatatkan 7,528 kes bagi setiap sejuta populasi, lebih tinggi berbanding Indonesia dan Filipina yang mencatatkan 4,235 dan 5,087 kes bagi setiap sejuta populasi.

Namun kini, pelbagai sektor ekonomi telah dibenarkan untuk beroperasi semula. Ia suatu berita baik kepada perniagaan di Malaysia meskipun risiko terhadap bahaya Coronavirus kekal tinggi.

 

Kerajaan Kurang Dipercayai, Keputusan Yang Dibuat Mengelirukan

Keputusan yang dibuat oleh kerajaan kadangkala dipersoalkan kewajarannya. Sebagai contoh, pengumuman kerajaan Malaysia untuk melaksanakan PKP2.0 selama 14 hari bermula 13 Januari lalu amat menyusahkan ramai pihak dan menunjukkan ketidakcekapan kerajaan dalam menguruskan pandemik ini.

Hal ini kerana kerajaan tidak dapat melihat impak dan kesan PKP2.0 dalam tempoh 14 hari.

Perkara ini memeningkan ramai pihak. Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah sendiri mengakui impak pelaksanaan PKP2.0 hanya dapat dilihat selepas 26 Januari pada 19 Januari. Namun begitu, pengumuman pertama pelaksanaan PKP2.0 dibuat hanya sehingga 26 Januari 2021.

Jika kerajaan sudah tahu bahawa impak PKP2.0 hanya dapat dilihat selepas 26 Januari, mengapa PKP tidak dilaksanakan untuk tempoh sebulan terus dimana kerajaan mempunyai ruang untuk menilai kesan PKP2.0 ini?

Pelanjutan PKP setiap dua minggu ini juga menyusahkan perniagaan dan orang ramai. Jika mereka mengetahui apa yang berlaku dalam tempoh sebulan yang akan datang, pendekatan berbeza boleh diambil dalam menguruskan dan merancang perniagaan. Namun perancangan seperti ini sukar dilakukan jika pelanjutan hanya dimaklumkan setiap dua minggu.

Langkah kerajaan memendekkan tempoh kuarantin bagi delegasi jemaah menteri yang membuat lawatan rasmi luar negara juga membangkitkan kemarahan rakyat di media sosial. Pengguna di Twitter beranggapan bahawa ia satu tindakan double standard kerana rakyat yang pulang dari luar negara terpaksa dikuarantin sepuluh hari.

Ketidakpuasan hati rakyat ini disokong Gabungan Kesihatan Malaysia yang menyifatkan langkah tersebut sebagai tidak saintifik.

Apa Pandangan Rakyat

Persepsi rakyat terhadap kerajaan menerusi tinjauan Ekonomi Rakyat di Twitter menunjukkan respons negatif. 91.2% responden menyatakan bahawa kerajaan Malaysia tidak cekap di dalam menguruskan pandemik ini dan hanya 3.3% menyatakan bahawa kerajaan cekap dalam mengawal krisis ini.

Responden turut meletakkan kesalahan terhadap dasar kerajaan berikutan gelombang ketiga krisis ini. Seramai 88.6% responden menyatakan dasar kerajaan yang salah telah mengakibatkan kes bertambah  naik manakala hanya 7.4% mengatakan ketidakpatuhan rakyat sebagai punca peningkatan kes baru.

Meskipun kajian ini hanya melibatkan pengguna di Twitter, ia memberi sedikit sebanyak gambaran terhadap persepsi rakyat terhadap cara kerajaan menguruskan krisis ini. Kepercayaan rakyat terhadap kerajaan penting untuk memastikan langkah kesihatan awam berkesan dalam mengawal wabak ini.

Kerajaan Malaysia perlu mengambil langkah yang tepat dan berasaskan sains dalam memerangi virus ini. Segala tindak tanduk kerajaan yang janggal bakal dipersoalkan rakyat kelak dan ini memberi kesan terhadap keberkesanan langkah kesihatan awam yang bakal dilaksanakan kerajaan. Banyak kajian menunjukkan tahap kepercayaan rakyat merupakan salah satu kunci utama dalam memastikan perancangan kerajaan berjaya.

Perkara ini perlu diambil endah oleh Putrajaya tambahan lagi proses vaksinasi akan mula dilaksanakan oleh kerajaan tidak lama lagi. Cabaran besar bakal dihadapi KKM memandangkan hampir satu per tiga responden berkemungkinan untuk menolak vaksin ini berdasarkan tinjauan yang dibuat KKM beberapa minggu lalu.