
Pelancaran infrastruktur 5G oleh Malaysia sememangnya dinanti-nantikan oleh penggiat industri telekomunikasi tanahair dimana kemudahan internet berkelajuan tinggi ini mampu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi berasaskan digital di negara ini.
Rangkaian sistem 5G memberi manfaat yang besar buat perusahaan-perusahaan yang memproses data pada skala yang besar sekaligus memacu negara dalam usaha membangunkan idea dan teknologi Internet of Things ( IoT )
Di Malaysia, pelaksanaan 5G pada awalnya dirancang untuk dilelong kepada syarikat-syarikat telekomunikasi di dalam negara. Namun setelah peralihan kuasa berlaku Februari tahun lalu, pentadbiran Putrajaya mengambil keputusan untuk mewujudkan Digital Nasional Berhad ( DNB ) bagi mengepalai pengenalan spektrum 5G di negara ini secara solo.
Bulan lalu, syarikat telekomunikasi gergasi Sweden, Ericsson telah berjaya memenangi kontrak bernilai RM11 bilion bagi menerajui pembangunan infrastruktur 5G yang bakal dibiayai sepenuhnya oleh DNB.
Pendekatan kerajaan Malaysia untuk memberikan hak secara terus kepada Digital Nasional Berhad sebagai syarikat bertujuan khas ( SPV ) bagi membangunkan sistem 5G ini amat berbeza jika dibandingkan dengan negara-negara lain.
Negara-negara lain seperti Jerman, Korea dan Thailand umpamanya memilih untuk melelong lesen membangunkan prasarana 5G hak kepada syarikat-syarikat telekomunikasi. Langkah ini memberi pulangan yang agak lumayan buat kerajaan negara-negara tersebut.
Jerman meraih RM37 bilion hasil lelongan spektrum 5G manakala Korea Selatan pula berjaya mengutip RM25 bilion. Kerajaan Thailand juga berjaya meraih pendapatan yang besar sebanyak RM12 bilion hasil lelongan hak untuk membangunkan spektrum 5G.
Di Malaysia, kerajaan dianggarkan bakal menjana sehingga RM12 bilion jika pendekatan lelongan hak spektrum diamalkan. Sebaliknya, melalui pendekatan sedia ada, anak syarikat kerajaan ini terpaksa mencari dana sebanyak kira-kira RM11 bilion bagi membiayai projek ini.
Isu ini turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Semporna, DS Shafie Apdal yang mempersoalkan kenapa spektrum 5G tidak dilelong yang boleh menjana pendapatan tambahan buat negara tambahan lagi negara berada di tengah-tengah kemelut ekonomi.
Global System for Mobile Association ( GSMA ) turut menyuarakan kebimbangan mereka berkenaan pendekatan Malaysia di dalam analisis mereka yang dikeluarkan bulan lalu yang kelihatan bercanggah dengan amalan-amalan di negara lain.
Fitch Solutions pada Februari lalu turut memberikan pandangan yang serupa dimana mereka berpendapat pendekatan ini akan merencatkan pembangunan sistem 5G yang lebih efektif.
Di Kanada misalnya, ketiga-tiga operator telekomunikasi terbesar di negara itu iaitu Rogers Communication, Bell Mobility dan Telus mendapatkan hak untuk membangunkan rangkaian 5G. Sebanyak lebih kurang $7.2 bilion diraih Kanada hasil lelongan spektrum 5G.
Pengendali telekomunikasi di Malaysia seperti Maxis juga kelihatan cukup bersedia untuk terlibat sama sebelum ini apabila telah mengumumkan kerjasama bersama dengan gergasi telekomunikasi China, Huawei untuk mengambil bahagian di dalam pembangunan sistem 5G.
Melalui pendekatan yang digunapakai ketika ini, anak syarikat kerajaan tersebut bukan sahaja terpaksa membiayai RM11 bilion melalui bon dan sukuk bagi melaksanakan projek tersebut, bahkan pengguna akhir juga tidak mempunyai insentif untuk menukar operator telekomunikasi jika berlaku sebarang kelemahan kerana sistem rangkaian 5G hanya dibangunkan oleh satu pihak sahaja.
One thought on “Kerajaan Malaysia Mampu Jana Berbilion Ringgit Jika Spektrum 5G Dilelong”
Comments are closed.