Kerajaan Pastikan Tahap Keyakinan Pelabur Kekal Tinggi

Share it

Kerajaan akan memastikan tahap keyakinan pelabur asing dan domestik kekal tinggi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pasca COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata pelaburan langsung asing (FDI) serta pelaburan langsung domestik (DDI) adalah komponen penting kepada Malaysia, dan sesuatu perlu dilaksanakan oleh kerajaan.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan beberapa agensi lain termasuk Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bekerja keras dan akan tampil dengan strategi baharu untuk memastikan pasaran Malaysia kekal berdaya saing.

“Kerajaan akan meneruskan pembabitan semua pihak termasuk peserta industri untuk mengetahui permasalahan yang dihadapi selepas kerajaan membuka semula ekonomi. Menerusi agensi berkaitan juga, kerajaan akan tampil dengan strategi pelaburan baharu dengan beberapa perubahan besar akan dilakukan. Pelan pelaburan jangka panjang dijangka diumumkan tiga atau empat bulan akan datang.

“Kerajaan mahu jadikan Malaysia kekal berdaya saing dan kukuh melepasi krisis kesihatan ini dengan sokongan semua pihak berkepentingan,” katanya ketika menyampaikan ucaptama webinar bertajuk ‘Membangunkan perniagaan mendepani gangguan’ di sini, hari ini.

Turut serta, Pengerusi Le NouveauPro, Prof Datuk Dr Wong Lai Sum; Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Datuk Wan Latiff Wan Musa; Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman.

Selepas berdepan sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini, perniagaan di Malaysia akan berdepan cabaran besar pasca COVID-19

“Kerajaan memerlukan penglibatan kesemua perniagaan. Fokus kini adalah untuk membawa ekonomi ke hadapan. Untuk tujuan ini, pendigitalan adalah elemen paling penting yang perlu di adaptasi oleh perniagaan di Malaysia termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.

Beliau berkata, masalah wujud peserta industri yang dibenarkan beroperasi belum menjalankan perniagaan walaupun kerajaan sudah memutuskan kebenaran ketika pengumuman pembukaan semula ekonomi.

“Kerajaan buka semula ekonomi mulai 4 Mei lalu tetapi syarikat agak lambat bertindak. Kami akan memantau secara harian perkara ini. Saya jangka mulai Isnin depan, lebih banyak syarikat kembali beroperasi. Mungkin mencecah 60 peratus.Kita akan cuba atasi beberapa isu utama membabitkan prosedur operasi standard (SOP) termasuk rantaian bekalan dan masalah internet. Kerajaan perlu memperkasakan semua perkara ini,” tambahanya.