Kereta Elektrik – Mesra Alam Sekitar dan Mesra Orang Kaya

Sejak akhir ini, kenderaan elektrik (EV) semakin mendapat tempat dalam kalangan pembeli kereta di seluruh dunia. Kemunculan jenama-jenama pengeluar EV seperti Tesla dan BYD memberikan pelbagai pilihan alternatif, selain daripada kenderaan konvensional yang menggunakan bahan api tidak boleh diperbaharui seperti diesel dan petrol.

Baru-baru ini di China, BYD muncul selaku jenama kereta paling laris, apabila lebih 440,000 unit kereta berjaya dijual sepanjang suku pertama 2023, mengatasi Volkswagen yang memegang takhta jenama kereta EV terlaris sejak tahun 2008.

EV Terus Mendapat Sambutan Hangat dalam Kalangan Rakyat Malaysia

Trend yang lebih kurang sama dapat dilihat di Malaysia. Penjualan EV semakin rancak, terutamanya sejak pandemik COVID-19 semakin reda. Ketika ini, terdapat lebih 10,000 EV yang berdaftar di bawah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), menurut kenyataan Ketua Pengarah JPJ Dato’ Zailani Hashim ketika majlis pelancaran model EV Atto 3 keluaran BYD sekitar hujung tahun lepas.

Sebagai perbandingan, sebanyak 2,631 unit EV berjaya dijual di Malaysia sepanjang tahun 2022, angka tersebut adalah 860% lebih tinggi berbanding hanya 274 unit EV yang dijual pada tahun sebelumnya. Menurut Fitch Solutions, jualan EV dianggarkan terus meningkat di Malaysia, dengan jangkaan jualan sebanyak 4,449 unit bagi tahun 2023.

EV sering disebut-sebut sebagai pilihan yang lebih selamat serta mesra alam sekitar. Hal ini kerana berbanding kereta yang menggunakan petrol atau diesel, EV dikatakan mengeluarkan gas rumah hijau yang lebih rendah. Ketiadaan ekzos pada model-model kereta EV juga menyebabkan EV langsung tidak membebaskan karbon dioksida ketika pemanduan.

Strategi Kerajaan dalam mengurangkan pelepasan Gas Rumah Hijau

Disebabkan ini, Kerajaan Malaysia begitu bersungguh-sungguh dalam menggiatkan agenda bagi menggalakkan pembelian EV di negara ini demi mencapai matlamat kelestarian alam, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Malaysia meletakkan sasaran untuk mempunyai sekurang-kurangnya 15% jumlah keseluruhan industri (TIV) terdiri daripada kereta EV dan hybrid menjelang tahun 2030, menurut Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon 2021-2030.

Antara faktor utama yang menarik minat pembelian EV di Malaysia ialah pemberian insentif-insentif yang diberikan oleh Kerajaan. Sebagai contoh, pembeli EV dikecualikan daripada menanggung kos  duti import, duti eksais dan cukai jualan bermula 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2025. Pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM2,500 juga turut ditawarkan ke atas kos pembelian, dan pemasangan; sewaan dan sewa beli kemudahan serta bayaran yuran langganan kemudahan pengecasan EV.

Kerajaan juga berbelanja besar bagi menyediakan fasiliti serta kemudahan pengecasan EV demi memastikan pemanduan yang lebih terjamin. Sebanyak 10,000 stesen pengecasan EV akan dibina menjelang tahun 2025.

Antara pelopor dalam pemasangan stesen pengecasan di Malaysia ialah Gentari, sebuah anak syarikat PETRONAS. Stesen pengecasan pantas EV berkuasa 350kW yang pertama di Asia Tenggara dipasang oleh Gentari di Petaling Jaya, Selangor sekitar November tahun lepas. Selain Gentari, TNB turut memainkan peranan aktif dalam membantu Kerajaan merealisasikan hasrat pemasangan sebanyak 10,000 stesen pengecasan EV menjelang tahun 2025. Baru-baru ini, TNB umumkan mereka akan memperuntukkan dana RM90 juta bagi membina lebih banyak stesen pengecasan EV di seluruh negara dalam tempoh dua tahun ini.

Apa yang menarik, TNB turut menyediakan program latihan dan peningkatan kemahiran (upskilling and reskilling) bagi mewujudkan tenaga kerja mahir yang boleh memenuhi kekosongan jawatan yang diperlukan dalam melengkapkan rantaian ekosistem EV di negara ini.

EV Mesra Alam Sekitar, Namun Adakah EV Mesra Ekonomi?

Meskipun tidak dinafikan EV lebih mesra alam sekitar, serta berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga tidak boleh diperbaharui seperti petrol dan diesel, persoalan yang turut sama penting diperbincangkan juga ialah samada EV mesra ekonomi? Adakah kos serta pemberian pelbagai insentif oleh Kerajaan ini benar-benar berbaloi?

Hal ini kerana sekiranya diteliti dengan lebih mendalam, kebanyakan model kereta EV ini didatangkan dengan harga yang agak mahal. Tinjauan di laman sesawang Carlist mendapati Tesla Model 3 SR+, yang merupakan paling murah antara kesemua model EV keluaran Tesla, disenaraikan pada harga sekurang-kurangnya RM218,000 bagi model baharu. Manakala, bagi model Atto 3 (versi jarak standard) keluaran BYD, harga yang ditawarkan bermula RM149,800, berdasarkan harga yang diumumkan semasa majlis pelancaran tahun lalu.

Secara logiknya, hanya golongan berpendapatan tinggi sahaja yang layak dan mampu membeli EV di negara ini. Maka, pemberian insentif-insentif seperti pengecualian dan pelepasan cukai harus diteliti samada benar-benar relevan kerana banyak memanfaatkan golongan berpendapatan tinggi di negara ini.

Jika pemandu Myvi perlu membayar RM70 setiap tahun untuk pembaharuan cukai jalan. Mengapa pemilik EV yang rata-ratanya berpendapatan tinggi tidak perlu membayar sesen pun untuk memperbaharui cukai jalan kenderaan elektrik mereka?

EV mendapat insentif pengecualian cukai jalan sehingga tahun 31 Disember 2025

Dalam masa yang sama, meskipun EV dikatakan lebih mesra alam sekitar, penggunaan EV di atas jalan raya adalah sama sahaja kesannya dengan kenderaaan-kenderaan lain daripada aspek kesesakan trafik, terutamanya di kawasan-kawasan yang padat dengan kenderaan seperti di Lembah Klang. Agenda galakan pembelian EV ini juga seakan-akan bercanggah dengan hasrat Kerajaan untuk menyelesaikan isu kesesakan trafik serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam di negara ini.

Hujah utama yang sering dilontarkan oleh mereka yang menyokong penggunaan EV ialah kerana EV menggunakan elektrik sebagai bahan bakar utama kenderaan tersebut. Menurut mereka, EV lebih mesra alam sekitar berbanding kereta yang menggunakan petrol dan diesel.

Hujah ini mungkin benar di negara-negara maju yang menggunakan tenaga boleh diperbaharui seperti tenaga angin, air dan solar untuk menghasilkan elektrik. Di Jerman misalnya, tenaga boleh diperbaharui menghasilkan sejumlah 254 billion kwH atau 44% daripada elektrik di negara itu pada tahun 2022, menurut data Pejabat Statistik Persekutuan Jerman.

Namun begitu, sumber penjanaan elektrik di Malaysia pada ketika ini tidaklah semampan di negara-negara maju tersebut. Hal ini kerana di Malaysia, penjanaan elektrik sebahagian besarnya dihasilkan menggunakan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui.

Menurut data daripada akhbar Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Siri 10, daripada keseluruhan 156.7 billion kwH tenaga elektrik yang dijana pada tahun 2016, 46.0% dihasilkan daripada arang dan 39.7% daripada gas asli. Hanya 13.2% menggunakan kuasa hidro, serta lebih kurang 0.4% sahaja menggunakan tenaga boleh diperbaharui.

Melihatkan kepada pros dan juga cons penggunaan EV di Malaysia, adalah wajar supaya polisi menggalakkan pembelian EV ini disemak secara lebih menyeluruh. Hal ini kerana meskipun kemampanan alam sekitar itu penting untuk diketengahkan, kemampanan ekonomi, terutamanya dari sudut perbelanjaan wang Kerajaan terhadap insentif-insentif yang pro-golongan kaya seperti ini juga sama penting untuk dibincangkan.

Lebih-lebih lagi, Kerajaan menyasarkan untuk mengurangkan nisbah defisit fiskal kepada GDP sebanyak 3.2% menjelang 2025. Sasaran ini mungkin gagal dicapai sekiranya Kerajaan tidak berhati-hati dalam merangka strategi serta polisi-polisi yang menelan belanja besar, serta dalam masa yang sama melepaskan peluang untuk mengutip cukai dari golongan berpendapatan tinggi di negara ini.

Pemberian pelepasan serta pengecualian cukai kepada golongan kaya ini juga mungkin bertentangan dengan prinsip Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sejak sekian lama mendesak Kerajaan supaya tidak memberi muka dalam soal kutipan cukai terhadap golongan kaya di negara ini.

Share via
Copy link