KKM Perlu Peruntukan Tambahan, Doktor Kontrak Perlu Diserap

Share it
Kerajaan Memperuntukan RM1.9 Bilion Untuk Membayar Gaji Doktor Kontrak Pada Tahun 2021

Sekumpulan ahli perubatan di Malaysia telah menggerakkan kempen Hartal Doktor Kontrak bagi mendesak kerajaan untuk menyerap 23,000 doktor kontrak ke jawatan tetap. Isu yang berlanjutan untuk sekian lama ini telah sampai ke kemuncaknya apabila doktor-doktor kontrak mengancam untuk menjalankan mogok pada 26 Julai ini jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Gerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut kerajaan untuk menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada serta menjelaskan kriteria terperinci bagaimana proses lantikan dibuat.

Hal ini kerana penyerapan ke jawatan kontrak sebilangan kecil doktor-doktor kontrak yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini tidak dijalankan secara telus. Sejak tahun 2016, hanya 3.4% ataupun 786 orang doktor kontrak sahaja yang ditawarkan ke jawatan tetap.

Mengapa Jawatan Tetap?

Terdapat beberapa sebab mengapa jawatan tetap menjadi keutamaan buat graduan-graduan perubatan. Salah satunya adalah kerana manfaat yang diperoleh oleh doktor berjawatan tetap lebih menyeluruh berbanding manfaat yang diperoleh doktor kontrak dari sudut gaji, bilangan cuti dan sebagainya.

Selain daripada itu, jaminan pekerjaan yang ada memberikan mereka ruang membina kehidupan tanpa perlu bimbang dengan masa depan kerjaya mereka.

Salah satu kegusaran yang dialami oleh kerajaan adalah kos bagi menanggung pembiayaan doktor-doktor kontrak. Menurut laporan akhbar, kerajaan terpaksa menanggung sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun jika doktor-doktor kontrak diserapkan ke jawatan tetap.

Perbelanjaan Keseluruhan Kementerian Kesihatan Malaysia Berjumlah RM32 Bilion

Perkara ini sememangnya akan memberikan kesan terhadap perbelanjaan negara dalam tempoh jangka masa yang panjang. Gaji-gaji doktor perlu dinaikkan secara tahunan selain menerima pencen apabila bersara kelak.

Ini sekaligus memberikan tekanan terhadap perbelanjaan kerajaan. Berdasarkan laporan perbelanjaan yang dikeluarkan Putrajaya, peruntukan perbelanjaan untuk membayar gaji doktor-doktor kontrak pada tahun ini adalah sebanyak RM1.9 bilion. Angka ini RM650 juta lebih besar berbanding peruntukan yang dibuat pada tahun lalu.

Doktor Bukan Beban, Tetapi Pelaburan Terhadap Negara

Sektor kesihatan merupakan sektor yang paling penting di dalam memastikan keadaan sosio-ekonomi rakyat kekal terpelihara. Saban tahun, sektor kesihatan menerima peruntukan perbelanjaan paling besar selepas bajet pendidikan.

Kerajaan harus melihat perbelanjaan kesihatan sebagai satu bentuk pelaburan kepada negara, bukannya satu beban fiskal yang terpaksa ditanggung. Selain pendidikan, sektor kesihatan juga merupakan pemacu kepada pembentukan modal insan yang berkualiti buat Malaysia.

Rakyat yang pintar dan cerdas tidak dapat dilahirkan tanpa perkhidmatan kesihatan yang berkualiti.

Malaysia Hanya Membelanjakan 4.2% Untuk Perbelanjaan Kesihatan Berbanding Saiz Ekonomi

Berdasarkan statistik terkini yang diperolehi, perbelanjaan keseluruhan kesihatan Malaysia hanyalah 4.2% berbanding KDNK Malaysia. Angka ini jauh lebih rendah berbanding perbelanjaan keseluruhan kesihatan di negara-negara maju.

United Kingdom misalnya membelanjakan 10% daripada saiz ekonomi mereka untuk perbelanjaan kesihatan. Jerman dan Perancis pula masing-masing membelanjakan 11.4% dan 11.3% untuk sektor penting tersebut.

Bilangan doktor di Malaysia juga jauh daripada sasaran yang ditetapkan. Pada penghujung tahun 2019, Malaysia mempunyai 67,586 doktor kesihatan dengan nisbah doktor terhadap populasi sebanyak 482 orang bagi setiap seorang doktor.

Jumlah ini adalah lebih tinggi berbanding sasaran awal di dalam Rancangan Malaysia ke-11 dimana Malaysia menyasarkan untuk mempunyai seorang doktor bagi setiap 400 orang populasi menjelang tahun 2020.

Naikkan Caj Perubatan Tak Dapat Selesaikan Masalah

Ada sebilangan ahli ekonomi termasuk juga ahli perubatan yang beranggapan bahawa mengenakan caj yang lebih tinggi kepada sebilangan pesakit yang menerima rawatan suatu langkah yang boleh membantu kerajaan menjana pendapatan sekaligus dapat membiayai pelantikan doktor ke jawatan tetap.

Hakikatnya, sistem seperti ini tidak akan berfungsi dengan baik tambahan lagi negara ini mengamalkan sistem kesihatan sejagat. Ini bermaksud perkhidmatan kesihatan yang ditawarkan oleh kerajaan sepatutnya disediakan secara percuma kepada setiap rakyat Malaysia.

Malaysia Masih Lagi Gagal Mencapai Sasaran Nisbah Penduduk Bagi Setiap Doktor Seperti Yang Ditetapkan Pada RMK-11

Jika caj pesakit luar ditingkatkan dari RM1 kepada RM5 sekalipun, wang tambahan yang dijana hanyalah sebanyak RM271 juta* setahun. Jumlah ini amatlah tidak signifikan jika hendak dibandingkan dengan perbelanjaan Kementerian Kesihatan Malaysia berjumlah RM31 bilion pada tahun ini.

*67.7 juta pesakit luar dirawat dibawah Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2019

Tambahan lagi, wang yang dikeluarkan oleh rakyat terhadap perbelanjaan persendirian ( out of pocket expenditure ) dalam membiayai kos perubatan semakin bertambah dari tahun ke tahun. Pada tahun 2010 misalnya, rakyat Malaysia membelanjakan RM9.9 bilion ( 30% daripada keseluruhan perbelanjaan kesihatan ) untuk perbelanjaan persendirian kesihatan. Angka ini terus meningkat kepada RM21 bilion ( 35% ) pada tahun 2018.

Ini bukan sesuatu yang perkara perlu dibanggakan oleh kerajaan kerana tanggungjawab menjaga kesihatan rakyat sepatutnya diletakkan pada bahu kerajaan bukannya rakyat. Kenapa kita teruskan membebankan rakyat dengan menggalakkan peluasan sektor kesihatan swasta tanpa membuat pelaburan yang cukup terhadap sektor kesihatan awam.

Perluasan sektor kesihatan swasta juga langsung tidak akan membantu kualiti perkhidmatan kesihatan di Malaysia. Apa yang bakal berlaku jika perkara ini diteruskan adalah segala kepakaran kesihatan akan lebih tertumpu di sektor swasta tatkala sebahagian besar pesakit mendapatkan rawatan di hospital kerajaan.

Sektor Kesihatan Awam Terpaksa Merawat Lebih Ramai Pesakit Berbanding Sektor Swasta

Untuk perbandingan, hospital-hospital kerajaan menerima 72.1 juta rawatan daripada orang ramai pada tahun 2019 dengan 48,478 orang doktor berkhidmat. Manakala hospital swasta yang hanya menerima 4.7 juta lawatan pesakit mempunyai 15,457 orang doktor yang merawat mereka.

Dalam kata lain, setiap seorang doktor kerajaan perlu merawat 1,488 orang pesakit setiap tahun. Manakala bagi seorang doktor swasta, mereka hanya perlu merawat 306 orang pesakit setiap tahun.

Jika perkara ini dibiarkan berterusan, hospital-hospital kerajaan akan mengalami kesesakan pesakit yang akan mengurangkan kualiti perkhidmatan kesihatan yang diberikan.

Apa yang perlu dilakukan sekarang adalah menambah peruntukan Kementerian Kesihatan Malaysia agar kualiti perkhidmatan kesihatan awam dapat ditingkatkan. Dan salah satu langkah pertama yang perlu dilakukan adalah dengan melantik doktor-doktor kontrak ini ke jawatan tetap.

Ikuti saluran Telegram kami untuk tidak melepaskan perkembangan terkini di https://t.me/EkonomiRakyatMY

One thought on “KKM Perlu Peruntukan Tambahan, Doktor Kontrak Perlu Diserap

Comments are closed.