KRI Saran Bantuan Tunai Sejagat Kepada Kanak-Kanak

Share it
Peruntukan Untuk Bantuan Sosial Semakin Berkurang

Institut Penyelidikan Khazanah ( KRI ) di dalam laporan terbaru mereka, Building Resilience, Toward Inclusive Social Protection in Malaysia menyatakan bahawa krisis Covid-19 telah mendedahkan tentang ketempangan sistem keselamatan sosial di Malaysia.

Menurut KRI, meskipun lebih banyak program bantuan telah dijalankan di peringkat persekutuan, namun jumlah peruntukan bantuan sosial telah berkurangan dari RM45.5 bilion pada tahun 2012 kepada RM25.5 bilion pada tahun 2020.

Isu kemiskinan kanak-kanak merupakan agenda pertama yang disentuh oleh KRI. Menurut perangkaan terkini, 8.7% isi rumah yang mempunyai kanak-kanak hidup di dalam kemiskinan, lebih tinggi berbanding kadar kemiskinan isi rumah sebanyak 5.6% di Malaysia.

Manakala bagi isi rumah tanpa kanak-kanak, kemiskinan yang dicatatkan hanya 2.1%.

Kiraan KRI juga mendapati hampir 25% kanak-kanak tinggal di dalam isi rumah dengan pendapatan kurang dari RM3,300 sebulan, sekaligus mendedahkan mereka dengan kejutan kewangan yang mungkin menyebabkan mereka berdepan masalah jika ada insiden tidak diingini berlaku.

Sehubungan dengan itu, KRI mencadangkan agar bantuan pendapatan sejagat untuk kanak-kanak dilaksanakan bagi mengatasi isu kemiskinan kanak-kanak. KRI menganggarkan sekitar RM12 bilion diperlukan kerajaan bagi menyalurkan bantuan RM150 sebulan kepada kanak-kanak.

Isu malnutri kanak-kanak menganggu perkembangan mereka

Langkah ini juga dijangka akan membantu isu malnutrisi ataupun ketidakcukupan zat dalam kalangan kanak-kanak. Perangkaan terbaru yang dikeluarkan menunjukkan 21.8% kanak-kanak di bawah usia lima tahun bantut manakala 14.1% lagi kurang berat badan.

Dalam kalangan kanak-kanak berusia 5 tahun hingga 17 tahun, 14.8% daripada mereka menghadapi obesiti.

KRI turut mencadangkan sistem keselamatan sosial diluaskan kepada keseluruhan individu yang berada di dalam usia bekerja. Menurut KRI, majoriti mereka daripada golongan ini tidak mempunyai perlindungan sosial jika mengalami kecederaan ataupun kehilangan pekerjaan.

Oleh itu, KRI menyarankan kerajaan agar memperluaskan perlindungan sosial kepada mereka yang bekerja sendiri dan juga kepada pekerja asing. Skim bantuan pengangguran juga dicadangkan untuk dinaikkan kepada RM600 sebulan dan dipanjangkan kepada enam bulan selepas kehilangan pekerjaan.

Langkah ini dianggarkan menelan kos sebanyak RM1.7 bilion hingga RM9.1 bilion setahun.

14.5% daripada populasi Malaysia terdiri dari warga emas menjelang tahun 2040

Isu kemiskinan dalam kalangan warga tua turut diutarakan oleh KRI. Hanya kira-kira separuh daripada 14.6 juta ahli KWSP merupakan pencarum aktif iaitu menyumbang sekurang-kurangnya sekali setahun.

Pada tahun 2020, 45% ahli KWSP berusia 54 tahun mempunyai simpanan kurang RM50,000 di dalam akaun persaraan mereka. Jumlah ini jauh lebih rendah berbanding sasaran simpanan asas KWSP iaitu RM240,000 yang ditetapkan pada tahun 2019.

Dalam kata lain, sebilangan besar bakal pesara di Malaysia tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara.

Perkara ini bertambah buruk apabila berlaku pengeluaran simpanan KWSP susulan krisis Covid-19 melalui skim i-Sinar, i-Lestari dan juga i-Citra. KWSP dilaporkan meramalkan kurang daripada 20% ahli KWSP dijangka berjaya menabung lebih daripada sasaran simpanan asas yang ditetapkan oleh KWSP.

Oleh itu, KRI mencadangkan agar sumbangan majikan ditingkatkan daripada 13% kepada 15% bagi pekerja-pekerja yang memperoleh gaji dibawah RM5,000 sebulan. Dividen progresif juga antara cadangan lain boleh dipertimbangkan oleh kerajaan bagi mengatasi isu ini.

KRI turut berharap agar Bantuan Warga Emas dapat diperluaskan seiring dengan populasi Malaysia yang semakin menua.

Laporan setebal 212 muka surat ini disediakan oleh penyelidik KRI iaitu Hawati Abdul Hamid, Adam Manaf, Jarud Romadan, Nur Thuraya, Puteri Marjan dan Siti Aiysyah. Laporan ini boleh didapati dari laman web Institut Penyelidikan Khazanah.