Krisis Rohingya : Mengapa Suu Kyi Berdiam Diri?

Krisis rohingya Suu kyi
Share it

Krisis Rohingya sekali lagi menjadi polemik besar di dalam negara susulan tindakan kerajaan Malaysia baru-baru ini yang memintas kapal yang membawa pelarian Rohingya. Tindakan tersebut menyebabkan kapal itu berpatah balik dan diselamatkan oleh agensi maritim Bangladesh dimana 396 orang penumpang telah diselamatkan dengan kira-kira 32 orang telah terkorban.

Sebelum itu, pada awal April kerajaan Malaysia telah menahan lebih 200 orang pelarian Rohingya yang berjaya mendarat di Langkawi.

Tindakan tidak membenarkan bot yang membawa pelarian Rohingya ini dikritik oleh aktivis hak asasi dan turut mendapat perhatian ramai pengguna media sosial di Facebook dan juga Twitter dengan kebanyakkannya membabitkan komen-komen berunsur perkauman.

Konflik Rohingya yang menjadi beban kepada negara-negara rantau Asia ini boleh ditelusuri sejarahnya sebelum Myanmar merdeka sekitar 1947. Etnik minoriti seperti Kristian Karen dan Muslim Rohingya lebih pro-British menyebabkan berlaku persengketaan diantara masyarakat Burma dan Muslim Rohingya. Ramai sejarawan berpendapat British akan dikalahkan di Arakan dan Jepun mampu sampai ke Chittagong tanpa bantuan mereka.

Sehingga kini, Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai rakyatnya dan menggunakan istilah Bengali bagi merujuk kepada etnik Rohingya. Bahkan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, Suu Kyi tidak langsung menyebut perkataan ‘ Rohingya ‘ melainkan ketika beliau merujuk kepada nama kumpulan bersenjata Rohingya yang bergerak aktif di Arakan.

Meskipun konflik Rohingya sudah berlarutan sejak 1947, namun ia bukan satu-satunya konflik yang dihadapi di wilayah Rakhine. Ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat konflik bersenjata di Arakan yang melibatkan beberapa pihak antaranya Arakan Rohingya Salvation Army ( ARSA ) dan juga Arakan Army ( AA ) yang memperjuangkan nasionalisme di Arakan.

Krisis yang berlarutan ini membawa masalah kepada negara-negara jiran. Setakat ini, terdapat lebih 1.6 juta pelarian Rohingya di Bangladesh menurut Pertubuhan Solidariti Rohingya. Di Malaysia, dianggarkan terdapat 200,000 orang pelarian manakala terdapat jumlah yang besar pelarian Rohingya di Arab Saudi dan Pakistan.

Mengapa Krisis Ini Masih Berlarutan?

Krisis Rohingya yang berpanjangan ini turut dipengaruhi oleh faktor politik dalaman Burma. Kerajaan rakyat yang dipimpin oleh Aung San Suu Kyi, kelihatan tidak mampu melakukan apa-apa melainkan untuk menafikan sebarang tuduhan pembunuhan beramai-ramai yang dikemukakan oleh Gambia di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.

Suu Kyi yang dahulunya dikenali sebagai pejuang hak asasi dan keamanan kini telah mendirikan kerajaan apabila partinya, National League of Democracy ( NLD ) memenangi pilihanraya umum 2015 dengan majoriti besar sekaligus mengakhiri pemerintahan tentera. Meskipun begitu, tentera Myanmar yang dikenali sebagai Tadmadaw mempunyai pengaruh yang begitu besar di dalam politik dan pentadbiran Myanmar.

Sebanyak 25% kerusi parlimen di Myanmar telah diperuntukkan untuk Tadmadaw dimana hanya 75% kerusi dipertandingkan diantara parti politik. Meskipun ia hanya satu perempat dari jumlah kerusi parlimen, namun sebarang pindaan perlembagaan Myanmar memerlukan sekurang-kurangnya 75% sokongan. Dalam kata lain, sebarang pindaan perlembagaan di Myanmar memerlukan persetujuan dan sokongan Tadmadaw.

Baru-baru ini, Tadmadaw telah mengagalkan usaha kerajaan Myanmar untuk merendahkan jumlah undi yang diperlukan di parlimen untuk meminda perlembagaan dari 75% kepada 67% apabila

Tadmadaw juga mengawal kementerian-kementerian keselamatan yang penting di Myanmar seperti Kementerian Pertahanan, Kementerian Dalam Negeri dan juga Kementerian Hal Ehwal Sempadan. Selain itu, Tadmadaw turut mempunyai kawalan di dalam ekonomi Myanmar dimana terdapat sektor-sektor strategik yang dimiliki oleh mereka. Ini membolehkan mereka untuk membiayai aktiviti-aktiviti ketenteraan.

Konflik bersenjata di Arakan, Shin dan Kachin menyebabkan Tadmadaw dianggap sebagai entiti penting di dalam politik Myanmar. Tadmadaw dilihat sebagai pelindung kepada rakyat Burma yang majoritinya beragama Buddha daripada ancaman keganasan.

Terdapat juga andaian bahawa konflik-konflik bersenjata di Myanmar ini sengaja dibiarkan berterusan bagi membolehkan Tadmadaw kekal relevan di dalam pentadbiran dan politik Burma.

Suu Kyi yang pernah berada dibawah tahanan rumah selama 15 tahun dibawah pemerintahan junta Myanmar tidak mampu untuk bertegas dengan Tadmadaw menyebabkan Myanmar kelihatan seolah-olah tidak peduli dengan desakan antarabangsa berkaitan konflik Rohingya.

Bahkan Suu Kyi ketika membaca penghujahannya di Belanda sewaktu perbicaraan genosid yang dibawa oleh Gambia mempertahankan tindakan negaranya dengan mengatakan Myanmar sedang melalui konflik bersenjata selain mendakwa tuduhan terhadap Myanmar mengelirukan.

Adakah terdapat penyelesaian krisis Rohingya?

Kelihatan tiada sebarang jalan penyelesaian konkrit berkaitan krisis Rohingya yang boleh dicapai. Hampir mustahil untuk Myanmar mengiktiraf etnik Rohingya buat masa ini ataupun memberikan wilayah serta autonomi untuk Rohingya.

Langkah menerima bot pelarian Rohingya bukanlah suatu jalan penyelesaian yang praktikal buat negara serantau. Ia hanya ibarat membalut luka tanpa menyelesaikan masalah pokok yang dialami.

Walaupun begitu, mungkinkah terdapat sinar pada penghujung tahu ini? Myanmar akan sekali lagi melalui peristiwa penting dalam sejarah demokrasi mereka dimana Pilihanraya Umum akan diadakan pada penghujung tahun ini. Mungkinkah dengan kemenangan besar NLD pada PRU akan datang mampu mengurangkan dominasi Tadmadaw sekaligus dapat meredakan ketegangan di Arakan.